Bertekad untuk ‘Sentiasa Mengasihi Saudara Seiman’!
“Sebagai saudara-saudara seiman, hendaklah kamu sentiasa saling mengasihi.”—IBR. 13:1.
LAGU: 72, 119
1, 2. Mengapakah Paulus menulis surat kepada orang Kristian Ibrani?
PADA tahun 61 M, sidang-sidang di sekitar Israel menikmati kedamaian. Walaupun rasul Paulus dipenjarakan di Roma, dia berharap agar dapat dibebaskan tidak lama lagi. Rakan menginjilnya, iaitu Timotius baru sahaja dibebaskan dari penjara. Mereka berdua berharap agar dapat melawat saudara saudari di Yudea. (Ibr. 13:23) Dalam masa lima tahun, orang Kristian di Yudea dan mereka yang tinggal di Yerusalem harus bertindak dengan segera. Mengapa? Yesus pernah memberitahu para pengikutnya bahawa jika mereka nampak Yerusalem dikepung oleh para askar, mereka harus melarikan diri.—Luk. 21:20-24.
2 Selama 28 tahun telah berlalu sejak Yesus memberikan amaran kepada para pengikutnya. Pada masa itu, orang Kristian di Israel tetap setia walaupun mengalami banyak penganiayaan dan cabaran. (Ibr. 10:32-34) Namun Paulus ingin mempersiapkan mereka untuk peristiwa yang akan datang. Mereka akan mengalami ujian iman yang paling besar. (Mat. 24:20, 21; Ibr. 12:4) Mereka memerlukan ketabahan dan iman yang kuat supaya dapat mentaati perintah Yesus untuk melarikan diri. Hal ini melibatkan nyawa mereka. (Baca Ibrani 10:36-39.) Jadi Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis surat kepada saudara saudari. Surat yang dikenali sebagai buku Ibrani itu ditulis untuk menguatkan iman mereka supaya mereka dapat menghadapi peristiwa yang akan berlaku.
3. Mengapakah kita harus berminat terhadap kandungan buku Ibrani?
3 Sebagai umat Tuhan, kita harus berminat terhadap kandungan buku Ibrani. Mengapa? Kerana keadaan kita serupa dengan orang Kristian di Yudea. Kita hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” Sesetengah orang Kristian yang setia menghadapi cubaan atau penganiayaan. (2 Tim. 3:1, 12) Namun, kebanyakan antara kita menikmati keadaan yang damai dan tidak mengalami penganiayaan. Tetapi seperti orang Kristian pada zaman Paulus, kita perlu berjaga-jaga. Mengapa? Tidak lama lagi, kita akan mengalami ujian iman yang terbesar!—Baca Lukas 21:34-36.
4. Apakah ayat tahunan 2016? Mengapakah ayat ini sesuai?
4 Apakah yang akan membantu kita untuk mempersiapkan diri bagi peristiwa ini? Dalam buku Ibrani, Paulus menyatakan banyak perkara yang dapat menguatkan iman kita. Di Ibrani 13:1, Paulus menggalakkan kita: ‘Hendaklah kamu sentiasa mengasihi saudara seiman.’ Ayat ini dipilih sebagai ayat tahunan 2016.
Ayat tahunan 2016: ‘Hendaklah kamu sentiasa mengasihi saudara seiman.’—Ibrani 13:1
APAKAH MAKSUD MENGASIHI SAUDARA SEIMAN?
5. Apakah maksud mengasihi saudara seiman?
5 Apakah maksud mengasihi saudara seiman? Perkataan asal dalam bahasa Yunani bermaksud “kasih sayang terhadap saudara.” Kasih ini mendalam dan merangkumi perasaan akrab antara ahli keluarga atau sahabat karib. (Yoh. 11:36) Kita bukannya berpura-pura menjadi saudara seiman. Kita memang saudara seiman. (Mat. 23:8) Paulus berkata, “Sepertimana adik-beradik kandung mengasihi satu sama lain, kamu juga harus saling mengasihi. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Rm. 12:10) Ya, kita mengasihi satu sama lain sepertimana adik-beradik saling mengasihi. Kasih ini dan kasih yang berdasarkan prinsip Bible membantu umat Tuhan untuk menjadi rapat dan bersatu padu.
6. Apakah maksud “saudara” bagi orang Kristian sejati?
6 Kasih antara saudara seiman biasanya dibahaskan dalam buku-buku Kristian. Bagi orang Yahudi dahulu, “saudara” boleh merujuk kepada saudara-mara atau ada kalanya orang yang bukan keluarga. Namun perkataan ini selalu merujuk kepada orang sebangsa sahaja. Tetapi bagi orang Kristian sejati, perkataan “saudara” merujuk kepada semua orang Kristian sejati, tidak kira negara asal mereka. (Rm. 10:12) Kita diajar oleh Yehuwa untuk mengasihi saudara seiman. (1 Tes. 4:9) Mengapakah penting untuk mengekalkan kasih ini?
MENGAPA PENTING MENGASIHI SAUDARA SEIMAN
7. (a) Apakah sebab utama kita mengasihi saudara seiman? (b) Apakah sebab lain kita perlu mengeratkan hubungan kasih kita?
7 Sebab utama kita mengasihi saudara seiman adalah kerana Yehuwa menyuruh kita berbuat demikian. Sekiranya kita enggan mengasihi saudara seiman, kita sebenarnya tidak mengasihi Yehuwa. (1 Yoh. 4:7, 20, 21) Selain itu, kita memerlukan satu sama lain terutamanya semasa menghadapi kesusahan. Apabila Paulus menulis surat kepada orang Kristian Ibrani, dia tahu bahawa sesetengah daripada mereka perlu meninggalkan rumah dan barang milik mereka tidak lama lagi. Yesus sudah pun menjelaskan betapa susahnya masa itu. (Mrk. 13:14-18; Luk. 21:21-23) Jadi sebelum masa itu tiba, orang Kristian perlu mengeratkan kasih mereka.—Rm. 12:9.
8. Apakah yang harus kita lakukan sekarang sebelum kesengsaraan besar tiba?
8 Kesengsaraan yang paling besar akan dialami oleh umat manusia tidak lama lagi. (Mrk. 13:19; Why. 7:1-3) Maka kita harus mengendahkan nasihat ini: ‘Masuklah ke dalam rumah kamu, hai bangsaku, dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika, sehingga kemurkaan Tuhan sudah reda.’ (Yes. 26:20) “Rumah” yang disebutkan mungkin merujuk kepada sidang-sidang kita. Di situlah kita beribadat bersama saudara saudari. Namun berkumpul bersama sahaja tidak cukup. Paulus mengingatkan orang Kristian Ibrani untuk menggalakkan satu sama lain serta “memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24, 25) Kita harus memupuk kasih terhadap saudara seiman sekarang, kerana hal ini akan membantu kita menghadapi cubaan dan dugaan yang bakal dialami.
9. (a) Mengapakah terdapat banyak peluang untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman? (b) Berikan contoh tentang umat Yehuwa yang menunjukkan kasih terhadap saudara mereka. (Lihat nota kaki.)
9 Terdapat banyak peluang bagi kita untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman sebelum kesengsaraan besar tiba. Ramai daripada saudara seiman menderita akibat gempa bumi, banjir, ribut taufan, tsunami, atau bencana alam yang lain. Ada juga yang dianiaya. (Mat. 24:6-9) Masalah kewangan juga semakin menular. (Why. 6:5, 6) Namun, semakin banyak masalah yang berlaku, semakin banyak peluang bagi kita untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman. Walaupun kasih kebanyakan orang duniawi mendingin, kita ingin tetap menunjukkan kasih terhadap saudara seiman.—Mat. 24:12. [1]
CARA MENGEKALKAN KASIH TERHADAP SAUDARA SEIMAN
10. Apakah yang akan dikaji sekarang?
10 Walaupun kita menghadapi masalah, bagaimanakah kita mengekalkan kasih terhadap saudara seiman? Bagaimanakah kita boleh menunjukkan kasih ini? Selepas rasul Paulus memberikan nasihat untuk ‘sentiasa mengasihi saudara seiman,’ dia menyenaraikan beberapa cara untuk melakukannya. Mari kita mengkaji enam cara.
11, 12. Apakah maksud “menyambut orang dengan ramah”? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
11 “Janganlah lupa menyambut orang dengan ramah.” (Baca Ibrani 13:2.) Apakah maksud “menyambut orang dengan ramah”? Dalam bahasa asal, ungkapan ini bermaksud “menunjukkan kebaikan hati kepada orang asing.” Kita mungkin terfikir tentang contoh Abraham dan Lot. Mereka menunjukkan kebaikan hati kepada pelawat yang tidak dikenali. Kemudian, mereka sedar bahawa pelawat itu merupakan malaikat. (Kej. 18:2-5; 19:1-3) Contoh-contoh ini menggalakkan orang Kristian Ibrani untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman dan menyambut mereka dengan ramah.
12 Bagaimanakah kita menyambut orang dengan ramah? Kita boleh menjemput saudara saudari ke rumah kita untuk makan bersama atau untuk bergaul. Kita mungkin tidak seberapa mengenali penyelia litar dan isterinya, maka kita boleh menjemput mereka semasa mereka mengunjungi sidang kita. (3 Yoh. 5-8) Kita tidak perlu menyediakan hidangan istimewa atau menggunakan banyak wang. Matlamat kita adalah untuk menggalakkan saudara kita, bukannya mengagumkan mereka dengan harta milik kita. Selain itu, kita tidak patut hanya menjemput mereka yang dapat membalas kebaikan kita. (Luk. 10:42; 14:12-14) Walaupun kita menjalani kehidupan yang sibuk, “janganlah lupa menyambut orang dengan ramah”!
13, 14. Bagaimanakah kita boleh ‘ingat akan orang yang dipenjarakan’?
13 “Ingatlah akan orang yang dipenjarakan.” (Baca Ibrani 13:3.) Semasa Paulus menulis ayat tersebut, dia merujuk kepada saudara saudari yang dipenjarakan kerana iman mereka. Paulus memuji sidang Kristian yang “bersimpati terhadap mereka yang dipenjarakan.” (Ibr. 10:34) Sesetengah saudara telah membantu Paulus apabila dia dipenjarakan selama empat tahun. Namun, bagaimanakah mereka yang tinggal di tempat yang jauh dapat membantu Paulus? Mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh baginya.—Flp. 1:12-14; Ibr. 13:18, 19.
14 Hari ini, banyak Saksi dipenjarakan kerana iman mereka. Saudara saudari yang tinggal berdekatan boleh membantu mereka secara praktikal. Namun kebanyakan saudara saudari tinggal jauh daripada mereka. Bagaimanakah kita boleh ingat akan mereka? Kasih terhadap saudara akan menggerakkan kita untuk berdoa bersungguh-sungguh bagi mereka. Contohnya, kita boleh berdoa bagi saudara, saudari, dan kanak-kanak yang dipenjarakan di Eritrea, termasuk Saudara Paulos Eyassu, Isaac Mogos, dan Negede Teklemariam yang sudah dipenjarakan di sana lebih daripada 20 tahun.
15. Bagaimanakah kita menghormati perkahwinan kita?
15 “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang.” (Baca Ibrani 13:4.) Kita boleh menunjukkan kasih terhadap saudara seiman dengan tetap bersih secara moral. (1 Tim. 5:1, 2) Contohnya, jika kita melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dengan seorang saudara atau saudari, kita akan membawa kesan buruk terhadap orang itu dan keluarganya. Hal ini akan menyebabkan saudara saudari kurang mempercayai satu sama lain. (1 Tes. 4:3-8) Selain itu, fikirkan perasaan seorang isteri jika dia mengetahui suaminya menonton bahan lucah. Adakah dia akan berasa bahawa suaminya masih mengasihinya dan menghormati aturan perkahwinan?—Mat. 5:28.
16. Bagaimanakah sikap berpuas hati membantu kita untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman?
16 “Berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.” (Baca Ibrani 13:5.) Kita akan berpuas hati apabila kita mempercayai Yehuwa. Bagaimanakah hal ini membantu kita untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman? Jika kita berpuas hati, kita akan menganggap saudara saudari lebih penting daripada wang atau harta benda. (1 Tim. 6:6-8) Kita tidak akan mengadu tentang saudara saudari atau keadaan hidup kita. Kita juga tidak akan berasa cemburu terhadap orang lain atau bersikap tamak. Sebaliknya, jika kita berpuas hati, kita akan bersikap murah hati.—1 Tim. 6:17-19.
17. Bagaimanakah keberanian membantu kita untuk menunjukkan kasih terhadap saudara seiman?
17 “Penuh keberanian.” (Baca Ibrani 13:6.) Jika kita percaya kepada Yehuwa, kita akan mendapat keberanian untuk menghadapi kesusahan. Keberanian membantu kita untuk bersikap positif. Jika kita bersikap positif, kita akan menunjukkan kasih terhadap saudara seiman dengan memberikan galakan dan kelegaan kepada mereka. (1 Tes. 5:14, 15) Semasa kesengsaraan besar, kita boleh tetap berani kerana kita tahu bahawa penyelamatan kita sudah dekat.—Luk. 21:25-28.
18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih terhadap para penatua?
18 “Ingatlah akan mereka yang mengambil pimpinan.” (Baca Ibrani 13:7, 17.) Para penatua dalam sidang meluangkan masa peribadi mereka untuk bekerja keras demi kita. Apabila kita berfikir tentang segala yang dilakukan mereka, kasih dan penghargaan kita terhadap mereka akan bertambah. Kita tidak ingin mereka hilang sukacita atau berasa kecewa terhadap apa yang kita lakukan. Sebaliknya, kita ingin mentaati mereka. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan “hormat dan kasih yang lebih mendalam kepada mereka.”—1 Tes. 5:13.
“TERUS MELAKUKANNYA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH”
19, 20. Bagaimanakah kita boleh mengasihi saudara seiman dengan lebih mendalam?
19 Umat Yehuwa dikenali ramai kerana mereka mengasihi saudara seiman. Hal yang sama juga berlaku pada zaman Paulus. Namun Paulus menggalakkan saudaranya untuk menunjukkan kasih dengan lebih mendalam. Dia berkata, “Terus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.” (1 Tes. 4:9, 10) Sudah pasti kita boleh membuat kemajuan dalam hal ini!
20 Semasa kita melihat ayat tahunan di Dewan Perjumpaan sepanjang tahun ini, fikirkan soalan-soalan berikut: “Dapatkah saya menyambut orang dengan lebih ramah? Bagaimanakah saya dapat membantu saudara saudari yang dipenjarakan? Adakah saya menghormati aturan perkahwinan? Apakah yang akan membantu saya untuk berpuas hati? Bagaimanakah saya boleh lebih mempercayai Yehuwa? Bagaimanakah saya boleh lebih mentaati saudara yang mengambil pimpinan?” Semoga kita mencurahkan usaha dalam enam aspek ini. Dengan demikian, ayat tahunan bukan sekadar kata-kata di papan tanda, sebaliknya ayat itu akan mengingati kita untuk ‘sentiasa mengasihi saudara seiman.’—Ibr. 13:1.
^ [1] (perenggan 9) Mengenai Saksi-Saksi Yehuwa yang menunjukkan kasih terhadap rakan seiman semasa bencana, lihat Menara Pengawal 15 Disember 2014, muka surat 26, perenggan 19-21, dan buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah! muka surat 246-247.