Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tebusan yang memberi kita peluang untuk hidup kekal ialah hadiah yang terbaik daripada Yehuwa

TOPIK UTAMA | APAKAH HADIAH YANG TERBAIK?

Apakah Hadiah yang Terbaik?

Apakah Hadiah yang Terbaik?

“Setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna berasal dari syurga dan diturunkan oleh Sumber segala cahaya.” (Yakobus 1:17) Ayat itu menggambarkan kemurahan hati Bapa kita yang di syurga, Tuhan Yehuwa. Tuhan telah memberi manusia banyak kurniaan, tetapi ada satu kurniaan-Nya yang paling istimewa. Apakah kurniaan itu? Yesus memberitahu kita di Yohanes 3:16, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”

Anak tunggal Tuhan merupakan kurniaan terunggul, kerana melaluinya kita dapat dibebaskan daripada menjadi hamba kepada dosa, usia tua, dan kematian. (Mazmur 51:7; Yohanes 8:34) Kita langsung tidak dapat membebaskan diri daripada semua itu, namun oleh sebab Tuhan sangat mengasihi kita, Dia telah menyediakan apa yang diperlukan untuk membebaskan kita. Dengan memberikan Anak tunggal-Nya Yesus Kristus sebagai tebusan, Tuhan Yehuwa memberi manusia yang taat peluang untuk hidup selama-lamanya. Namun apakah itu tebusan? Mengapakah tebusan diperlukan? Bagaimanakah kita boleh mendapat manfaat daripadanya?

Tebusan ialah harga yang dibayar untuk membeli semula apa yang hilang atau untuk membebaskan sesuatu. Bible menjelaskan bahawa Adam dan Hawa, nenek moyang kita yang pertama, diciptakan tanpa dosa. Mereka berpeluang hidup selama-lamanya di bumi firdaus bersama anak cucu mereka. (Kejadian 1:26-28) Sedihnya, mereka sengaja mengingkari Tuhan, kehilangan harapan itu, dan menjadi pendosa. Apakah kesannya? Bible menjelaskan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Adam tidak dapat mewariskan kehidupan yang sempurna kepada anak cucunya. Sebaliknya mereka semua mewarisi dosa dan harus mati.

Bayaran untuk tebusan mesti sama nilainya dengan apa yang hilang. Semasa Adam sengaja melanggar perintah Tuhan, satu nyawa manusia yang sempurna telah hilang—nyawa Adam. Menurut Bible, hal itu menyebabkan semua keturunannya dibelenggu dosa dan kematian. Untuk membebaskan mereka, satu nyawa manusia yang sempurna perlu dikorbankan—nyawa Yesus. (Roma 5:19; Efesus 1:7) Tuhan kita yang pengasih telah membayar tebusan itu, barulah manusia berpeluang menikmati apa yang dihilangkan Adam dan Hawa—kehidupan kekal di bumi firdaus.​—Wahyu 21:3-5.

Tebusan merupakan hadiah Tuhan yang terunggul kerana membuka peluang bagi manusia untuk hidup kekal. Rencana sebelum ini telah membincangkan beberapa faktor yang menjadikan sesebuah hadiah sangat bernilai. Sekarang, mari kita lihat ciri-ciri “pemberian yang sempurna” itu, yang menjadikannya hadiah yang terbaik.

Memuaskan keinginan kita. Manusia ada keinginan yang kuat untuk terus hidup. (Pengkhutbah 3:11) Kita tidak dapat memenuhi keinginan itu, tetapi tebusan dapat memuaskan keinginan tersebut. Bible menyatakan, “Upah dosa ialah kematian, tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus, Tuan kita.”​—Roma 6:23.

Memenuhi keperluan kita. Manusia tidak mampu membayar tebusan. Bible menjelaskan, “Harga tebusan manusia itu terlalu mahal; apa yang dapat dibayarnya tidak sekali-kali cukup.” (Mazmur 49:9) Maka kita amat memerlukan bantuan Tuhan agar dapat dibebaskan daripada dosa dan kematian. “Melalui tebusan yang dibayar oleh Kristus Yesus,” Tuhan telah menyediakan apa yang diperlukan.​—Roma 3:23, 24.

Masa yang tepat. Bible menyatakan, “Kristus telah mati untuk kita semasa kita masih berdosa.” (Roma 5:8) Tebusan yang diberikan “semasa kita masih berdosa” menunjukkan betapa dalamnya kasih Tuhan terhadap kita. Meskipun kita perlu menderita akibat dosa, kita masih dapat menantikan masa depan yang cerah.

Niat yang murni dan ikhlas. Bible menyatakan sebabnya Tuhan memberikan Anak-Nya sebagai tebusan: ‘Inilah caranya kasih Tuhan menjadi nyata dalam diri kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melaluinya kita memperoleh kehidupan. Tuhan mengutus Anak-Nya, bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita.’​—1 Yohanes 4:9, 10.

Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai hadiah yang terbaik ini? Di Yohanes 3:16, Yesus menyatakan bahawa hanya “orang yang beriman” kepadanya akan diselamatkan. Menurut Bible, iman ialah “keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” (Ibrani 11:1) Pengetahuan yang tepat amat penting untuk membina keyakinan itu. Maka, luangkanlah masa untuk menimba pengetahuan tentang Tuhan Yehuwa, Sumber “pemberian yang sempurna” itu. Selain itu, belajarlah apa yang harus anda lakukan untuk menikmati kehidupan kekal yang ditawarkan kepada anda melalui korban tebusan Yesus.

Anda dapat mempelajari semua maklumat itu di www.jw.org/ms. Saksi-Saksi Yehuwa gembira membantu anda berbuat demikian. Kami yakin bahawa apabila anda mengenali dan memanfaatkan hadiah yang terbaik itu, anda akan terdorong untuk bersyukur kepada Tuhan melalui Yesus Kristus, Tuan kita!​—Roma 7:25.