Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hidup Bahagia pada Masa Ini

Hidup Bahagia pada Masa Ini

KEHIDUPAN tanpa penyakit, usia tua, dan kematian—anda dapat menikmati masa depan sebegini! Namun, kehidupan kita sekarang masih dipenuhi masalah dan kesusahan. Apakah yang dapat membantu anda? Nasihat Bible dapat membimbing anda untuk menangani cabaran hidup sekarang dan menikmati kehidupan yang bahagia dan puas. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

MENCARI KEPUASAN

Nasihat Bible: “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.”​Ibrani 13:5.

Dunia hari ini menyajikan bermacam-macam barangan dan perkhidmatan yang kononnya diperlukan. Namun, Bible menyatakan bahawa kita dapat ‘berpuas hati dengan apa yang dimiliki.’ Bagaimana?

Elakkan “sikap cinta akan wang.” Demi wang, sesetengah orang mengorbankan kesihatan, keluarga, sahabat, nilai moral, dan bahkan maruah sendiri. (1 Timotius 6:10) Namun, perbuatan itu langsung tidak berbaloi, kerana orang yang mengejar kekayaan “tidak akan berasa puas.”​—Pengkhutbah 5:10.

Hargai orang, bukan benda. Benda-benda memang ada kegunaannya. Tetapi benda tidak dapat mengasihi atau menghargai kita; hanya manusia dapat berbuat demikian. Jika kita memiliki “sahabat sejati,” kita dapat meraih kepuasan dalam hidup.​—Amsal 17:17.

JIKA KITA MENGIKUT NASIHAT BIBLE, KITA DAPAT HIDUP BAHAGIA SEKARANG JUGA

MENGHADAPI MASALAH KESIHATAN

Nasihat Bible: “Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab.”​Amsal 17:22.

Seperti “ubat yang mujarab,” hati yang gembira dapat membantu kita bertabah meskipun sakit. Tetapi bagaimanakah kita dapat bersukacita semasa sakit?

Bersyukurlah. Jika kita asyik memikirkan masalah sendiri, kita akan berasa bahawa kehidupan kita “sentiasa dipenuhi kesengsaraan.” (Amsal 15:15) Bible menasihati kita, “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.” (Kolose 3:15) Belajarlah untuk menghargai hal-hal yang baik dalam kehidupan, termasuk hal-hal yang kecil. Contohnya, langit senja yang indah, angin yang bertiup sepoi-sepoi, senyuman di wajah orang tersayang—semua itu merupakan nikmat dalam hidup.

Bantulah orang lain. Bible menyatakan, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” Kata-kata itu benar biarpun semasa kita kurang sihat. (Kisah 20:35) Semasa usaha kita dihargai, kita akan berasa puas dan tidak terlalu memikirkan masalah sendiri. Apabila kita membantu orang lain membaiki kehidupan mereka, kehidupan kita pun akan bertambah baik.

MENGUKUHKAN PERKAHWINAN

Nasihat Bible: “Mengenal pasti perkara- perkara yang lebih penting.”​Filipi 1:10.

Jika suami isteri jarang menghabiskan masa bersama-sama, hubungan mereka mungkin menjadi renggang. Oleh itu, suami dan isteri perlu mengutamakan perkahwinan mereka, kerana itulah salah satu perkara yang lebih penting dalam kehidupan.

Lakukan sesuatu bersama-sama. Daripada melakukan aktiviti kegemaran secara berasingan, rancanglah supaya anda berdua dapat melakukan sesuatu bersama-sama. Bible menyatakan, “Berdua lebih baik daripada seorang diri.” (Pengkhutbah 4:9) Anda berdua boleh memasak, bersenam, meminum kopi sambil bersembang, atau melakukan suatu kegiatan bersama-sama sebagai hobi.

Ungkapkan kasih anda. Bible menggalakkan suami isteri untuk mengasihi dan menghormati satu sama lain. (Efesus 5:28, 33) Senyuman yang manis, pelukan yang penuh kasih, atau hadiah yang kecil, sangat berguna untuk menguatkan perkahwinan. Sudah pasti, hubungan seks hanya patut dilakukan antara suami dan isteri.​—Ibrani 13:4.