Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | SUDIKAH ANDA MENERIMA KURNIAAN TUHAN YANG TERUNGGUL?

Kurniaan yang Tiada Tandingnya

Kurniaan yang Tiada Tandingnya

KAPAL kecil dalam tangan Jordan nampaknya biasa sahaja. Namun, hadiah itu sangat bernilai baginya. “Russell memberikannya kepada saya semasa saya kecil. Dia sangat rapat dengan keluarga kami,” kata Jordan. Selepas Russell meninggal, Jordan mendapat tahu bahawa dia pernah banyak membantu datuk dan ibu bapanya pada masa kesusahan. “Setelah mengetahui hal ini,” kata Jordan, “saya lebih menghargai hadiah kecil itu.”

Pengalaman Jordan menunjukkan bahawa pemberian yang tidak seberapa penting bagi sesetengah orang mungkin merupakan hadiah yang tidak ternilai bagi seseorang yang menghargainya. Alkitab juga menyebut tentang suatu pemberian yang nilainya tidak terhingga: “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”Yohanes 3:16.

Kurniaan yang membawa kehidupan kekal! Dapatkah mana-mana hadiah lain menandinginya? Biarpun sesetengah orang tidak menyedari nilainya, orang Kristian sejati menganggapnya sebagai sesuatu “yang berharga.” (1 Petrus 1:18, 19; Mazmur 49:9) Namun, mengapakah Tuhan memberikan nyawa Anak-Nya kepada umat manusia?

Rasul Paulus menjelaskan sebabnya: “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang.” (Roma 5:12) Adam, manusia yang pertama, sengaja berdosa terhadap Tuhan. Oleh sebab dia mengingkari Tuhan, dia dihukum mati. Melalui Adam, kematian tersebar kepada semua orang.

“Upah dosa ialah kematian, tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus, Tuan kita.” (Roma 6:23) Untuk membebaskan manusia daripada cengkaman maut, Tuhan telah mengutus Anak-Nya Yesus Kristus ke bumi untuk mengorbankan nyawanya yang sempurna. Dengan adanya korban, atau “tebusan” itu, semua orang yang beriman kepada Yesus dapat hidup kekal.Roma 3:24.

Melalui Yesus Kristus, Tuhan mengurniakan berkat yang melimpah kepada semua penyembah-Nya. Paulus berkata, “Marilah kita bersyukur kepada Tuhan atas kurniaan percuma-Nya yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” (2 Korintus 9:15) Ya, tebusan memang merupakan kurniaan yang tidak terhingga. Namun, mengapakah tebusan merupakan kurniaan Tuhan yang paling unggul? * Bagaimanakah kurniaan itu harus mempengaruhi kita? Marilah kita lihat jawapan Alkitab dalam dua rencana yang seterusnya.

^ per. 8 Yesus telah “menyerahkan nyawanya untuk kita.” (1 Yohanes 3:16) Namun, memandangkan pengorbanannya ialah sebahagian daripada tujuan Tuhan, siri rencana ini bertumpu kepada peranan Tuhan sebagai Pemberi tebusan.