Siapakah Tuhan?
Ramai orang berkata bahawa mereka percaya kepada Tuhan. Tetapi jika anda bertanya tentang Tuhan, anda akan mendapat jawapan yang berbeza-beza. Bagi sesetengah orang, Tuhan seperti hakim yang tegas, yang hanya berfikir untuk menghukum orang. Yang lain pula berasa Tuhan itu pengasih dan akan terus mengampuni kita tidak kira apa pun yang kita lakukan. Ada yang berpendapat bahawa Tuhan jauh daripada kita dan tidak peduli tentang kita. Pandangan-pandangan yang bercanggahan ini membuat ramai orang berasa bahawa mereka tidak mungkin dapat mengenali Tuhan.
Adakah penting untuk mengenali Tuhan? Ya. Jika anda mengenali Tuhan, hidup anda akan lebih bermakna. (Kisah 17:26-28) Apabila anda semakin menghampiri Tuhan, anda akan semakin merasai kasih dan bantuan-Nya. (Yakobus 4:8) Dengan memiliki pengetahuan yang tepat tentang Tuhan, anda dapat menikmati kehidupan yang kekal.—Yohanes 17:3.
Bagaimanakah anda dapat mengenali Tuhan? Fikirkan seorang yang anda kenali dengan baik, misalnya kawan karib anda. Bagaimanakah persahabatan anda terjalin? Setelah mengetahui namanya, anda mengenali sifat-sifatnya, hal yang disukai dan dibencinya, perkara yang pernah dan yang akan dilakukannya, dan sebagainya. Ya, setelah anda belajar tentangnya, anda menjadi lebih rapat dengannya.
Begitu juga, kita dapat mengenali Tuhan dengan memikirkan hal-hal berikut:
Majalah ini akan menunjukkan jawapannya daripada Bible. Rencana-rencana seterusnya akan membantu anda, bukan sahaja untuk mengenali Tuhan, tetapi juga untuk mengetahui manfaat yang akan anda raih setelah menjalin hubungan yang akrab dengan-Nya.