TOPIK UTAMA
Mengapakah Yesus Menderita dan Mati?
“Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian.”—Roma 5:12
Apakah jawapan anda jika anda ditanya, “Adakah anda ingin hidup selama-lamanya?” Kebanyakan orang mahu kehidupan kekal, tetapi mereka berasa bahawa hal itu mustahil. Hal ini adalah kerana kematian merupakan perkara biasa yang dialami semua hidupan.
Bagaimana pula jika anda ditanya, “Adakah anda ingin mati?” Biasanya orang akan menjawab, “Tidak.” Apakah ertinya? Manusia mempunyai keinginan untuk terus hidup, walaupun mereka menghadapi cabaran dan dugaan. Tuhan menciptakan manusia dengan keinginan untuk hidup selama-lamanya.
Namun, hakikatnya ialah manusia tidak hidup selama-lamanya. Apakah yang berlaku? Adakah Tuhan ingin memulihkan situasi ini? Bible memberikan jawapan yang melegakan hati. Hal ini berkait rapat dengan mengapa Yesus menderita dan mati.
APAKAH YANG BERLAKU?
Dalam Bible, tiga bab pertama dalam buku Kejadian menyatakan bahawa Tuhan memberi Adam dan Hawa peluang untuk hidup kekal serta memberitahu mereka cara untuk mendapatkannya. Kemudian, catatan itu juga menceritakan bahawa mereka mengingkari Tuhan lalu hilang harapan tersebut. Cerita ini sangat ringkas. Oleh itu, ada orang menganggapnya sebagai suatu legenda. Namun, seperti kisah Yesus, buku Kejadian juga merupakan catatan sejarah yang terbukti benar. a
Adam gagal mentaati Tuhan. Apakah akibatnya? Bible berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Dengan mengingkari Tuhan, Adam berdosa. Maka, dia hilang peluang untuk hidup selama-lamanya dan akhirnya dia mati. Oleh sebab kita keturunan Adam, kita mewarisi dosa daripadanya. Itulah sebabnya kita jatuh sakit, menjadi tua, dan mati. Penjelasan ini adalah selaras dengan apa yang dikatakan para saintis tentang cara anak mewarisi ciri-ciri ibu bapa. Namun, adakah Tuhan cuba memulihkan situasi ini?
APAKAH YANG DILAKUKAN TUHAN?
Ya, Tuhan membuat aturan untuk menebus atau membeli kembali apa yang dihilangkan Adam, iaitu peluang bagi umat manusia untuk memperoleh kehidupan kekal.
Roma 6:23 berkata, “Upah dosa ialah kematian.” Hal ini bermaksud bahawa kematian merupakan akibat dosa. Adam mati kerana dia berdosa. Begitu juga, kita menjadi hamba kepada kematian kerana kita berdosa. Namun, kita lahir dalam keadaan berdosa bukan kerana salah kita. Maka, Tuhan mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk menanggung “upah dosa” kita. Bagaimana?
Satu orang, iaitu Adam yang sempurna, menyebabkan kita berdosa dan mati melalui perbuatannya yang tidak taat. Maka, satu orang yang setia sampai akhir adalah diperlukan untuk menebus dosa kita. Bible menjelaskan, “Disebabkan keingkaran satu orang, banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang, banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Roma 5:19) Yesus ialah “satu orang” itu. Dia meninggalkan syurga, menjadi manusia sempurna b, dan mati demi kita. Hasilnya, kita dapat memupuk hubungan yang akrab dengan Tuhan dan berpeluang untuk hidup kekal.
MENGAPA YESUS MENDERITA DAN MATI
Namun, mengapakah Yesus perlu mati untuk melaksanakan hal ini? Bukankah Tuhan Yang Maha Tinggi dapat memerintahkan agar keturunan Adam memperoleh kehidupan kekal? Dia memang berhak untuk melakukannya. Tetapi, tindakan sebegitu akan menunjukkan bahawa Dia tidak mengendahkan hukum yang ditetapkan-Nya, iaitu upah dosa ialah kematian. Hukum itu bukanlah peraturan yang remeh-temeh dan boleh diubah atau dibatalkan bila-bila masa. Hukum itu menyingkapkan keadilan Tuhan.—Mazmur 37:28.
Jika Tuhan tidak menangani hal ini dengan adil, orang mungkin meragui tindakan-Nya dalam hal lain. Contohnya, semasa menentukan siapakah
yang layak menerima kehidupan kekal, adakah Dia akan bertindak adil? Adakah janji-janji-Nya boleh dipercayai? Tindakan-Nya yang adil semasa berusaha untuk menyelamatkan kita dapat meyakinkan kita bahawa Tuhan sentiasa melakukan apa yang benar.Melalui tebusan Yesus, Tuhan memberikan harapan kehidupan kekal di bumi Firdaus. Yesus berkata di Yohanes 3:16, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” Maka, kematian Yesus bukan hanya menggambarkan keadilan Tuhan, tetapi juga kasih-Nya terhadap manusia.
Namun, mengapakah Yesus perlu menderita dan mati dalam cara yang menyakitkan? Iblis menuduh bahawa manusia tidak akan setia kepada Tuhan sewaktu dicubai. Namun, dengan tetap setia walaupun menghadapi ujian yang teruk, Yesus menyangkal tuduhan itu. (Ayub 2:4, 5) Tuduhan Iblis nampaknya benar apabila dia berjaya menyebabkan Adam berdosa. Tetapi Yesus, yang juga sempurna seperti Adam, tetap setia walaupun menghadapi penderitaan yang teruk. (1 Korintus 15:45) Dia membuktikan bahawa Adam boleh memilih untuk setia kepada Tuhan. Dengan bertabah menghadapi cubaan, Yesus memberi kita teladan untuk diikuti. (1 Petrus 2:21) Oleh sebab Yesus taat, Tuhan memberinya nyawa yang tidak dapat mati sebagai ganjaran.
APAKAH MANFAAT BAGI ANDA?
Kematian Yesus benar-benar berlaku. Kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Adakah anda ingin hidup selama-lamanya? Yesus memberitahu kita apa yang harus dilakukan: “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.”—Yohanes 17:3.
Kami ingin menjemput anda untuk mempelajari lebih banyak tentang Yehuwa, Tuhan yang benar, dan tentang Anak-Nya, Yesus Kristus. Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda gembira untuk membantu anda. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tambahan melalui laman web kami, www.jw.org/ms.
a Lihat “Kejadian sebagai Buku Sejarah” dalam buku Pemahaman Alkitab dalam bahasa Indonesia, muka surat 1203, yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
b Tuhan memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria. Daya aktif Tuhan telah melindungi Yesus agar tidak mewarisi ketidaksempurnaan Maria.—Lukas 1:31, 35.