Dapatkan Bantuan
Dapatkan Bantuan
“Orang yang bersendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan musuh.”—Pengkhutbah 4:12.
JIKA anda diancam musuh, bantuan orang lain sangat penting. Begitu juga, sokongan orang lain dapat membantu anda berjaya melawan tabiat merokok. Jadi dapatkanlah bantuan daripada ahli keluarga, kawan, dan orang yang ingin membantu anda.
Perhatikan pengalaman orang yang berjaya berhenti merokok. Torben dari Denmark berkata, “Saya sangat menghargai sokongan kawan dan keluarga.” Abraham, yang tinggal di India menulis, “Kasih yang ditunjukkan oleh keluarga dan rakan seiman telah membantu saya untuk berhenti merokok.” Namun, kadangkala sokongan orang lain tidak memadai.
“Saya sudah merokok selama 27 tahun,” kata Bhagwandas, “tetapi selepas belajar ajaran Bible tentang tabiat buruk ini, saya mahu berhenti merokok. Saya cuba kurangkan jumlah rokok, berhenti bergaul dengan kawan lama, dan bahkan pergi kaunseling. Tetapi semuanya tidak berhasil. Akhirnya, pada suatu malam saya berdoa kepada Tuhan Yehuwa dan merayu-Nya untuk membantu saya. Itulah yang membantu saya berjaya mengatasi tabiat buruk ini!”
Satu lagi hal yang dapat membantu anda adalah untuk mempersiapkan hati sebelum cabaran timbul. Apakah cabaran yang mungkin anda hadapi? Bacalah rencana seterusnya.
[Kotak pada muka surat 5]
PATUTKAH ANDA GUNA UBAT UNTUK BERHENTI MEROKOK?
Industri yang menghasilkan bahan penggantian nikotina menjana keuntungan berbilion-bilion dolar setiap tahun. Tampalan nikotina ialah salah satu bahan yang digunakan oleh orang yang ingin berhenti merokok. Sebelum memilih mana-mana ubat atau terapi, pertimbangkanlah soalan berikut:
Apakah kebaikannya? Banyak ubat atau terapi dikatakan dapat mengurangkan gejala negatif akibat berhenti merokok. Namun, manfaat jangka panjangnya tidak dapat dibuktikan.
Apakah risikonya? Sesetengah ubat penggantian nikotina dapat membawa kesan sampingan seperti rasa mual, murung, dan ingin bunuh diri. Lagipun, ubat-ubat ini masih mengandungi nikotina dan membawa risiko kesihatan. Akibatnya, orang yang menggunakannya masih ketagihan nikotina.
Apakah kaedah lain? Dalam satu kajian, 88 peratus orang yang berjaya berhenti merokok berkata bahawa mereka melakukannya tanpa menggunakan ubat pengganti.