Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 77

Yesus Memberikan Nasihat tentang Kekayaan

Yesus Memberikan Nasihat tentang Kekayaan

LUKAS 12:1-34

  • PERUMPAMAAN TENTANG LELAKI YANG KAYA

  • YESUS BERCAKAP TENTANG BURUNG DAN BUNGA

  • “KAWANAN KECIL” AKAN MEWARISI KERAJAAN TUHAN

Semasa Yesus makan di rumah seorang Farisi, ribuan orang menunggunya di luar. Hal ini pernah terjadi di Galilea. (Markus 1:33; 2:2; 3:9) Orang di Yudea ingin melihat Yesus dan mendengar ajarannya. Sikap mereka jauh berbeza dengan sikap orang Farisi yang ada bersama Yesus.

Kata-kata Yesus yang berikut membawa erti yang mendalam kepada pengikutnya: “Berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi, iaitu sikap mereka yang bermuka dua.” Yesus pernah memberikan amaran ini, tetapi apa yang dilihatnya semasa jamuan itu menunjukkan betapa pentingnya amaran ini. (Lukas 12:1; Markus 8:15) Orang Farisi cuba menyembunyikan kejahatan mereka dengan berpura-pura alim, tetapi kemunafikan mereka perlu didedahkan. Yesus menjelaskan, “Apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan didedahkan, dan apa sahaja yang dirahsiakan akan diketahui.”​—Lukas 12:2.

Kemungkinan kebanyakan orang yang menunggu Yesus di luar rumah ialah orang Yudea yang tidak pernah mendengar tentang ajaran Yesus. Maka dia berkata, “Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi selepas itu tidak dapat melakukan apa-apa lagi.” (Lukas 12:4) Yesus menekankan bahawa pengikutnya perlu beriman kepada Anak Manusia, dan yakin bahawa Tuhan akan membantu mereka dan menjaga keperluan mereka.​—Matius 10:19, 20, 26-33; 12:31, 32.

Kemudian seorang lelaki berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudaraku memberikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepadaku.” (Lukas 12:13) Hukum Tuhan menyatakan bahawa anak sulung berhak menerima dua bahagian daripada harta warisan, maka hal ini memang tidak perlu dipertikaikan. (Ulangan 21:17) Nampaknya lelaki ini bersikap tamak. Oleh itu, Yesus enggan masuk campur. Dia berkata kepadanya, “Siapakah yang melantik aku untuk menghakimi hal ini atau untuk membahagikan harta antara kamu berdua?”​—Lukas 12:14.

Yesus memberikan nasihat ini kepada semua orang: “Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan. Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.” (Lukas 12:15) Tidak kira berapa banyak harta seseorang, akhirnya dia akan mati dan meninggalkan segala hartanya. Kemudian Yesus menceritakan sebuah perumpamaan yang menunjukkan betapa pentingnya untuk mengukir nama yang baik di hadapan Tuhan. Dia berkata,

“Tanah seorang lelaki yang kaya menghasilkan banyak tuaian. Jadi, dia mula berfikir, ‘Sekarang aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan hasil tuaianku. Apakah yang harus aku lakukan?’ Maka dia berkata, ‘Inilah yang akan aku lakukan: Aku akan merobohkan gudang-gudangku dan membina gudang-gudang yang lebih besar, supaya aku dapat mengumpulkan semua gandum dan hartaku di situ. Aku akan berkata kepada diriku, “Aku sudah mengumpulkan banyak harta yang dapat dinikmati untuk bertahun-tahun. Sekarang aku boleh bersenang-lenang, makan, minum, dan berseronok.”’ Tetapi Tuhan berfirman kepadanya, ‘Hai orang yang tidak munasabah, malam ini engkau akan kehilangan nyawamu. Jadi siapakah yang akan mendapat apa yang sudah engkau simpan?’ Itulah yang akan terjadi kepada orang yang menyimpan harta untuk diri sendiri tetapi tidak kaya di mata Tuhan.”​—Lukas 12:16-21.

Yesus tidak mahu pengikutnya dan para pendengarnya sibuk mengejar kekayaan. Dia juga tahu bahawa kerisauan hidup boleh mengalihkan perhatian mereka daripada hal-hal rohani. Maka dia mengulangi nasihat yang diberikannya kira-kira satu tahun setengah yang lalu. Dia berkata,

‘Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, tentang apa yang akan kamu makan, dan jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, tentang apa yang akan kamu pakai. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai benih, menuai, atau memiliki gudang ataupun jelapang. Namun Tuhan memberi burung-burung itu makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung? Perhatikan bagaimana bunga-bunga tumbuh. Bunga-bunga tidak bekerja atau menenun pakaian. Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu. Jadi jangan asyik berfikir tentang apa yang akan kamu makan dan apa yang akan kamu minum, dan jangan lagi terlalu khuatir. Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini. Oleh itu, teruslah mengutamakan Kerajaan-Nya, dan perkara-perkara itu akan diberikan kepada kamu.’​—Lukas 12:22-31; Matius 6:25-33.

Siapakah yang akan mengutamakan Kerajaan Tuhan? Yesus berkata bahawa sekumpulan kecil manusia yang dipanggil “kawanan kecil” akan berbuat demikian. Mereka berjumlah 144,000 orang. Yesus berjanji kepada mereka, “Bapa kamu berkenan untuk memberi kamu Kerajaan-Nya.” Maka mereka tidak akan bertumpu kepada harta di bumi yang akan dicuri. Sebaliknya mereka akan bertumpu kepada “harta di syurga yang tidak akan habis.” Ya, mereka akan memerintah bersama Kristus di syurga.​—Lukas 12:32-34.