Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 55

Kata-Kata Yesus Mengejutkan Banyak Orang

Kata-Kata Yesus Mengejutkan Banyak Orang

YOHANES 6:48-71

  • MAKAN DAGINGNYA DAN MINUM DARAHNYA

  • RAMAI TERSANDUNG DAN MENINGGALKANNYA

Di sebuah rumah ibadat di Kapernaum, Yesus mengajar bahawa dia ialah roti yang turun dari syurga. Dia memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kata-katanya sebelum ini.

Dia berkata, ‘Nenek moyang kamu makan manna di padang belantara, tetapi mereka mati. Namun akulah roti yang memberikan hidup, yang turun dari syurga. Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya. Sebenarnya, roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.’​—Yohanes 6:48-51.

Pada musim bunga tahun 30 M, Yesus memberitahu Nikodemus bahawa Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya sebagai Penyelamat. Sekarang Yesus menekankan bahawa orang perlu makan dagingnya, iaitu beriman kepada korban tebusannya, supaya mereka mendapat hidup kekal.

Tetapi mereka tersinggung dengan kata-kata Yesus. Mereka berkata, “Bagaimanakah orang ini boleh memberi kita dagingnya untuk dimakan?” (Yohanes 6:52) Yesus ingin membantu mereka memahami erti perumpamaannya ini. Dia menjelaskan dengan berkata,

‘Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu. Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan menerima kehidupan kekal kerana dagingku ialah makanan sebenar, dan darahku ialah minuman sebenar. Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan sentiasa bersatu dengan aku, dan aku bersatu dengannya.’​—Yohanes 6:53-56.

Orang Yahudi berasa jijik dengan kata-kata Yesus! Mereka menyangka bahawa Yesus ingin mereka makan daging manusia dan melanggar hukum Tuhan dengan makan darah. (Kejadian 9:4; Imamat 17:10, 11) Tetapi itu bukanlah maksud Yesus. Dia sebenarnya menyatakan bahawa sesiapa yang ingin mendapat hidup sejati mesti beriman kepadanya. Dia akan mempersembahkan tubuhnya yang sempurna dan mencurahkan darahnya sebagai korban tebusan. Setelah mendengar penjelasannya, masih ada sebilangan murid Yesus yang tidak memahami ajaran ini, maka mereka berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?”​—Yohanes 6:60.

Yesus sedar bahawa murid-muridnya sedang bersungut-sungut tentang hal itu. Maka dia berkata, ‘Kalau hal ini pun membuat kamu tersandung, apatah lagi jika kamu melihat Anak Manusia naik ke tempat asalnya. Apa yang aku katakan kepada kamu berasal daripada kuasa suci Tuhan dan memberikan hidup. Namun, ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.’ Disebabkan hal itu, ramai muridnya tidak mengikutnya lagi.​—Yohanes 6:61-64.

Maka Yesus berkata kepada 12 orang rasulnya, “Adakah kamu akan pergi juga?” Petrus menjawab, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal. Kami sudah percaya dan tahu bahawa Tuan ialah Hamba Suci Tuhan.” (Yohanes 6:67-69) Petrus dan rasul-rasul yang lain tetap setia meskipun mereka tidak memahami kata-kata Yesus dengan sepenuhnya.

Biarpun Yesus senang hati dengan jawapan Petrus, dia masih berkata, “Bukankah aku yang memilih kamu 12 orang? Namun salah seorang daripada kamu ialah pemfitnah.” (Yohanes 6:70) Yesus sedang bercakap tentang Yudas Iskariot. Barangkali dia sedar bahawa Yudas mula menyimpang ke haluan yang salah.

Namun begitu, Yesus pasti gembira kerana Petrus dan rasul-rasul yang lain tidak meninggalkannya dan terus menyertainya dalam kerja penyebaran.