Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 34

Yesus Memilih 12 Orang Rasul

Yesus Memilih 12 Orang Rasul

MARKUS 3:13-19 LUKAS 6:12-16

  • DUA BELAS ORANG RASUL

Kira-kira setahun setengah telah berlalu sejak Yohanes Pembaptis memperkenalkan Yesus sebagai Anak Bebiri Tuhan. Apabila Yesus mula menginjil, Andreas, Simon Petrus, Yohanes, mungkin Yakobus (saudara kandung Yohanes), Filipus, dan Bartolomeus (juga dipanggil Natanael), menjadi muridnya. Banyak orang lain juga menjadi murid Yesus.​—Yohanes 1:45-47.

Sekarang Yesus akan memilih rasul-rasulnya. Mereka akan bergaul rapat dengannya dan menerima latihan khas. Tetapi sebelum itu, Yesus naik ke atas sebuah gunung untuk berdoa. Gunung itu terletak dekat Tasik Galilea dan Kapernaum. Yesus berdoa sepanjang malam, dan dia memohon kebijaksanaan dan berkat daripada Tuhan. Pada keesokan harinya, dia memanggil murid-muridnya dan memilih 12 orang daripada mereka untuk menjadi rasulnya.

Selain daripada enam orang yang disebutkan tadi, Yesus juga memilih Matius (seorang pemungut cukai), Yudas (juga dipanggil Tadius “anak Yakobus”), Simon yang bersemangat, Tomas, Yakobus anak Alfeus, dan Yudas Iskariot.​—Matius 10:2-4; Lukas 6:16.

Dua belas rasul ini telah menginjil bersama Yesus, dan dia sudah mengenal mereka. Sebilangan daripada mereka ialah saudara-maranya. Yakobus dan Yohanes ialah sepupu Yesus. Mungkin Yakobus anak Alfeus juga sepupu Yesus, kerana sesetengah orang percaya bahawa Alfeus ialah saudara kandung Yusuf, iaitu bapa angkat Yesus.

Dapatkah anda mengingati nama semua rasul Yesus? Ada dua orang rasul yang bernama Simon, dua yang bernama Yakobus, dan dua lagi bernama Yudas. Simon (Petrus) ada seorang saudara yang bernama Andreas, dan Yakobus (anak Zebedeus) ada seorang saudara yang bernama Yohanes. Empat rasul yang lain pula ialah Matius (pemungut cukai), Tomas (yang kemudiannya meragui Yesus), Natanael (yang ditemui di bawah pokok ara), dan Filipus (kawan Natanael).

Sebelas orang rasul berasal dari daerah Galilea, iaitu kampung halaman Yesus. Natanael tinggal di Kana. Filipus, Petrus, dan Andreas, dahulunya tinggal di Betsaida, tetapi Petrus dan Andreas kemudiannya berpindah ke Kapernaum, dan Matius pun mungkin tinggal di situ. Yakobus dan Yohanes juga tinggal di Kapernaum atau kawasan yang berdekatan, dan mereka bekerja sebagai nelayan di situ. Hanya seorang rasul berasal dari daerah Yudea, iaitu Yudas Iskariot, yang kemudiannya mengkhianati Yesus.