Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 118

Pertengkaran tentang Siapa yang Terbesar

Pertengkaran tentang Siapa yang Terbesar

MATIUS 26:31-35 MARKUS 14:27-31 LUKAS 22:24-38 YOHANES 13:31-38

  • NASIHAT YESUS TENTANG KEDUDUKAN

  • PENYANGKALAN PETRUS DINUBUATKAN

  • KASIH IALAH TANDA PENGENAL PENGIKUT YESUS

Yesus telah membasuh kaki para rasulnya untuk mengajar mereka tentang sikap rendah hati, kerana mereka masih mementingkan kedudukan. (Markus 9:33, 34; 10:35-37) Sekarang mereka menunjukkan kelemahan ini sekali lagi.

‘Pertengkaran besar tercetus antara para rasul tentang siapa yang terbesar.’ (Lukas 22:24) Sikap mereka pasti membuat Yesus sangat sedih.

Tetapi Yesus tidak memarahi mereka. Sebaliknya dia berkata dengan penuh sabar, ‘Raja bangsa-bangsa lain mengawal rakyat mereka, dan orang yang berkuasa digelar Dermawan. Namun, janganlah kamu menjadi seperti mereka. Siapakah yang lebih besar, orang yang makan di meja atau orang yang melayaninya?’ Kemudian dia mengingatkan mereka bahawa selama ini, ‘dialah yang melayani mereka.’​—Lukas 22:25-27.

Biarpun mereka tidak sempurna, mereka telah mengharungi banyak cabaran bersama Yesus. Maka dia berkata, “Sebagaimana Bapaku telah membuat perjanjian dengan aku untuk memberi aku sebuah kerajaan, aku juga membuat perjanjian dengan kamu.” (Lukas 22:29) Ya, mereka setia kepada Yesus. Oleh itu, dia berjanji bahawa mereka akan memerintah bersamanya.

Meskipun demikian, mereka masih tidak sempurna. Yesus memberitahu mereka, “Syaitan telah mengatakan bahawa dia mahu menampi kamu semua seperti seseorang yang memisahkan gandum daripada sekamnya.” (Lukas 22:31) Dia juga berkata, “Malam ini, kamu semua akan tersandung kerana apa yang bakal menimpa aku. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Aku akan menyerang gembala, dan kawanan bebirinya akan berselerak ke merata tempat.’”​—Matius 26:31; Zakharia 13:7.

Dengan yakin, Petrus menjawab, “Walaupun mereka semua tersandung kerana apa yang bakal menimpa Guru, aku sama sekali tidak akan tersandung!” (Matius 26:33) Yesus memberitahu Petrus bahawa pada malam itu, sebelum ayam jantan berkokok dua kali, Petrus akan menyangkalnya. Dia juga berkata, “Namun, aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman. Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.” (Lukas 22:32) Tetapi Petrus berkeras, “Biarpun aku terpaksa mati bersamamu, aku tidak akan menafikan bahawa aku mengenalmu.” (Matius 26:35) Rasul-rasul yang lain juga mengatakan hal yang sama.

Yesus berkata, “Aku akan bersama kamu hanya untuk seketika lagi. Kamu akan mencari aku, tetapi seperti yang pernah aku katakan kepada orang Yahudi, aku juga berkata kepada kamu sekarang, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’” Kemudian dia menambah, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—Yohanes 13:33-35.

Apabila Petrus mendengar bahawa Yesus akan bersama mereka hanya untuk seketika lagi, dia bertanya, “Tuan, ke manakah Tuan akan pergi?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak boleh mengikut aku ke tempat yang akan aku pergi.” Dengan hairan, Petrus bertanya, “Tuan, mengapakah aku tidak boleh mengikut Tuan sekarang? Aku rela mengorbankan nyawaku untuk Tuan.”​—Yohanes 13:36, 37.

Kemudian Yesus merujuk kepada waktu apabila dia mengutus mereka untuk menginjil di Galilea. (Matius 10:5, 9, 10) Dia berkata, “Semasa kamu diutus tanpa membawa beg duit, beg makanan, dan kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Tidak!” Tetapi sekarang Yesus memberi mereka arahan yang baharu. Dia berkata, “Orang yang mempunyai beg duit atau beg makanan harus membawanya, dan orang yang tidak memiliki pedang harus menjual jubah luarnya untuk membeli pedang. Ketahuilah bahawa apa yang tertulis mengenai aku mesti terjadi: ‘Dia dipandang sebagai penjahat.’ Sebenarnya apa yang tertulis mengenai aku sedang berlaku.”​—Lukas 22:35-37.

Yesus merujuk kepada masa apabila dia akan dipakukan pada tiang bersama dengan penjahat. Selepas itu, pengikutnya akan dianiaya dengan teruk. Tetapi para rasul berasa bahawa mereka sudah bersedia menghadapi cabaran itu, maka mereka berkata, “Tuan, lihatlah! Di sini ada dua bilah pedang.” Dia berkata, “Itu sudah cukup.” (Lukas 22:38) Yesus berkata demikian kerana tidak lama lagi, dia akan mengajar mereka satu lagi pengajaran yang penting.