Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 103

Rumah Tuhan Disucikan Sekali Lagi

Rumah Tuhan Disucikan Sekali Lagi

MATIUS 21:12, 13, 18, 19 MARKUS 11:12-18 LUKAS 19:45-48 YOHANES 12:20-27

  • YESUS MENGUTUK POKOK ARA DAN MENYUCIKAN RUMAH TUHAN

  • YESUS PERLU MATI UNTUK MENYELAMATKAN NYAWA RAMAI ORANG

Yesus dan murid-muridnya telah menghabiskan tiga malam di Betania. Pada awal pagi hari Isnin, 10 Nisan, mereka bertolak ke Yerusalem. Yesus lapar, maka dia menghampiri sebatang pokok ara.

Meskipun sekarang ialah akhir bulan Mac, dan musim buah ara hanya akan bermula pada bulan Jun, Yesus berharap agar dia akan menjumpai buah ara kerana pokok itu sudah berdaun. Tetapi dia tidak menjumpai sebiji buah pun, maka dia berkata kepada pokok itu, “Mulai sekarang, tiada orang akan makan buah daripadamu lagi.” (Markus 11:14) Dengan serta-merta, pokok ara itu mula layu.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di Yerusalem. Yesus pergi ke Rumah Tuhan dan memperhatikan apa yang berlaku di sana. Kemudian dia melakukan sesuatu seperti yang pernah dilakukannya tiga tahun yang lalu semasa Perayaan Paska tahun 30 M. (Yohanes 2:14-16) Yesus mengusir “semua orang yang berjual beli di sana.” Dia juga “menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.” (Markus 11:15) Dia bahkan tidak membenarkan sesiapa pun untuk menggunakan halaman Rumah Tuhan sebagai jalan pintas.

Mengapakah Yesus mengusir para penukar wang dan penjual di Rumah Tuhan? Dia berkata, “Bukankah ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya sarang perompak.” (Markus 11:17) Dia memanggil mereka “perompak” kerana mereka mengenakan harga yang sangat tinggi kepada orang yang ingin membeli binatang untuk dipersembahkan sebagai korban.

Setelah para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin, mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Yesus, mereka lebih bertekad untuk membunuhnya. Tetapi mereka tidak berani berbuat demikian kerana orang ramai sentiasa mengikut Yesus.

Orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi datang untuk menyambut Perayaan Paska. Semasa perayaan itu, ada beberapa orang Yunani datang kepada Filipus dan memberitahunya bahawa mereka mahu berjumpa dengan Yesus. (Filipus ialah nama orang Yunani, maka mungkin itulah sebabnya mereka datang kepadanya.) Filipus tidak tahu sama ada dia patut berbuat demikian atau tidak, maka dia pergi memberitahu Andreas. Kemudian mereka berdua pergi berjumpa dengan Yesus, yang nampaknya masih berada di Rumah Tuhan.

Yesus tahu bahawa dia akan mati dalam masa beberapa hari lagi, maka sekarang bukanlah masanya untuk memuaskan rasa ingin tahu orang atau mengejar kemasyhuran. Jadi dia menceritakan satu perumpamaan kepada dua orang rasul itu, “Masanya sudah tiba bagi Anak Manusia dimuliakan. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sebutir gandum tidak jatuh ke tanah dan mati, apa yang ada cuma sebutir gandum. Tetapi jika gandum itu mati, banyak buah akan terhasil.”​—Yohanes 12:23, 24.

Sebutir gandum nampaknya tidak bernilai. Tetapi semasa gandum itu ditanam, gandum itu seolah-olah “mati,” lalu tunasnya akan bertumbuh dan menghasilkan banyak buah. Begitu juga, Yesus ialah seorang manusia yang sempurna. Jika dia setia kepada Tuhan sehingga mati, dia akan membuka jalan agar manusia dapat menikmati hidup abadi. Itulah sebabnya dia berkata, “Sesiapa yang mengasihi nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang membenci nyawanya di dunia ini akan menyelamatkan nyawanya dan mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 12:25.

Kemudian Yesus menyatakan berkat yang akan dinikmati oleh pengikutnya. Dia berkata, “Jika sesiapa mahu menjadi hambaku, hendaklah dia mengikut aku. Ke mana sahaja aku pergi, hambaku juga akan berada di sana. Jika sesiapa menjadi hambaku, Bapaku akan memberkatinya.” (Yohanes 12:26) Ya, mereka akan diberkati oleh Tuhan dan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan!

Yesus tahu bahawa dia akan diseksa dan dibunuh, maka dia berkata, “Sekarang aku sangat sedih dan apa yang patut aku katakan? Bapa, selamatkanlah aku daripada saat penderitaan ini.” Adakah Yesus enggan melakukan kehendak Tuhan? Tidak, kerana dia menyambung, “Untuk saat inilah aku datang ke bumi.” (Yohanes 12:27) Biarpun Yesus harus mengorbankan nyawanya, dia tetap sudi melakukan kehendak Tuhan.