BAB 101
Makan di Rumah Simon di Betania
MATIUS 26:6-13 MARKUS 14:3-9 YOHANES 11:55–12:11
-
YESUS KEMBALI KE BETANIA YANG BERDEKATAN YERUSALEM
-
MARIA MENUANGKAN MINYAK WANGI KE ATAS KEPALA YESUS
Yesus meninggalkan Yerikho dan pergi ke Betania. Perjalanan itu susah kerana dia perlu mendaki lereng sejauh kira-kira 20 kilometer. Yerikho terletak kira-kira 250 meter di bawah aras laut, Betania pula terletak kira-kira 610 meter di atas aras laut. Lazarus, Marta, dan Maria tinggal di Betania, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem.
Ramai orang Yahudi berada di Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paska. Mereka datang lebih awal untuk “menjalankan upacara penyucian diri” kerana orang yang najis tidak dapat merayakan Paska. (Yohanes 11:55; Bilangan 9:6-10) Sebilangan orang yang datang awal itu berkumpul di Rumah Tuhan. Mereka tertanya-tanya sama ada Yesus akan menghadiri perayaan ini atau tidak.—Yohanes 11:56.
Yesus menjadi buah mulut orang. Para pemimpin agama ingin menangkap dan membunuh Yesus. Mereka telah mengeluarkan perintah agar orang yang mengetahui di mana Yesus berada harus melaporkannya kepada mereka. (Yohanes 11:57) Mereka pernah mencuba untuk membunuh Yesus selepas dia membangkitkan Lazarus. (Yohanes 11:49-53) Maka tidak hairanlah orang ramai tertanya-tanya sama ada Yesus akan menghadiri perayaan ini atau tidak.
Yesus tiba di Betania pada hari Jumaat, iaitu “enam hari sebelum Perayaan Paska.” (Yohanes 12:1) Hari yang baharu (iaitu hari Sabat, 8 Nisan) bermula selepas matahari terbenam. Maka Yesus tiba di Betania sebelum hari Sabat. Dia tidak boleh memulakan perjalanannya pada hari Sabat, iaitu dari waktu matahari terbenam pada hari Jumaat hingga waktu matahari terbenam pada hari Sabtu, kerana hal ini melanggar hukum orang Yahudi. Seperti biasa, Yesus mungkin pergi ke rumah Lazarus.
Simon menjemput Yesus dan rakan-rakannya, termasuk Lazarus, untuk makan di rumahnya pada petang Sabtu. Simon “dahulunya menghidap penyakit kusta,” tetapi dia telah disembuhkan oleh Yesus. Marta, seorang wanita yang rajin, membantu menyambut para tetamu. Maria pula melakukan sesuatu yang menimbulkan kekecohan.
Maria membawa sebuah botol kecil yang berisi “minyak akar wangi tulen” yang sangat mahal. (Yohanes 12:3) Harga minyak itu ialah 300 denari, iaitu kira-kira upah setahun! Dia menuangkan minyak itu ke atas kepala dan kaki Yesus lalu mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. Seluruh rumah dipenuhi dengan keharuman minyak wangi itu.
Pengikut Yesus berkata dengan marah, “Mengapakah minyak itu dibazirkan?” (Markus 14:4) Yudas Iskariot berkata, “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga 300 denari dan wangnya diberikan kepada orang miskin?” (Yohanes 12:5) Yudas sebenarnya tidak prihatin terhadap orang miskin, dan dia sering mencuri wang dari peti wang yang disimpannya.
Yesus mempertahankan Maria dengan berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia melakukan sesuatu yang baik untuk aku. Orang miskin sentiasa ada bersama kamu, tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu. Semasa wanita ini menuangkan minyak wangi pada tubuhku, dia sedang membuat persiapan untuk pengebumianku. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Di mana sahaja berita baik disebarkan di seluruh dunia, perbuatan wanita ini juga akan diceritakan untuk mengenang dia.”—Matius 26:10-13.
Banyak orang Yahudi tahu bahawa Yesus berada di Betania, maka mereka datang ke rumah Simon untuk melihat Yesus dan Lazarus “yang telah dibangkitkan.” (Yohanes 12:9) Maka ketua-ketua imam berkomplot untuk membunuh Yesus dan Lazarus. Mereka berasa bahawa pembangkitan Lazarus merupakan sebab utama ramai orang beriman kepada Yesus. Betapa jahatnya para pemimpin agama itu!