Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 138

Kristus di Sebelah Kanan Tuhan

Kristus di Sebelah Kanan Tuhan

KISAH 7:56

  • YESUS DUDUK DI SEBELAH KANAN TUHAN

  • SAULUS MENJADI PENGIKUT YESUS

  • KITA ADA SEBAB UNTUK BERSUKACITA

Sepuluh hari selepas Yesus diangkat ke langit, kuasa suci Tuhan dicurahkan pada hari Pentakosta. Hal ini membuktikan bahawa Yesus sudah berada di syurga. Selain itu, sebelum Stefanus direjam, dia juga berkata, “Aku melihat langit terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Tuhan.”​—Kisah 7:56.

Yesus berada di syurga bersama Bapanya, dan dia harus menunggu arahan daripada Tuhan. Hal ini telah dinubuatkan oleh Daud, yang menulis, “Yehuwa berfirman kepada Tuanku [Yesus], ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.’” Selepas waktu itu berakhir, Yesus akan ‘pergi dalam kalangan musuh-musuhnya dan menakluki mereka.’ (Mazmur 110:1, 2) Tetapi apakah yang akan dilakukan oleh Yesus di syurga sementara dia menunggu arahan itu?

Pada Pentakosta 33 M, sidang Kristian ditubuhkan. Dari syurga, Yesus mula memerintah para pengikutnya yang diurapi kuasa suci Tuhan. (Kolose 1:13) Dia membimbing kerja penyebaran mereka dan mempersiapkan mereka untuk tugas penting. Apakah tugas itu? Mereka yang setia sampai akhir hayat akan dibangkitkan, dan mereka akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaannya.

Salah seorang daripada mereka ialah Saulus, yang lebih dikenali dengan nama Romanya, iaitu Paulus. Dia lelaki Yahudi yang tekun mematuhi Hukum Tuhan dan sangat bersemangat. Tetapi dia telah disesatkan oleh para pemimpin agama Yahudi sehingga dia menyetujui tindakan merejam Stefanus. Dia bahkan pergi ke Damsyik untuk mengancam murid-murid Yesus dan membunuh mereka. Dia diberi kuasa oleh Imam Agung Kayafas untuk menangkap mereka dan membawa mereka ke Yerusalem. (Kisah 7:58; 9:1) Tetapi, semasa Saulus dalam perjalanan ke Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekelilingnya dan dia rebah ke tanah.

Kemudian dia mendengar suara yang berkata, “Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?” Dia berkata, “Tuan, siapakah kamu?” Suara itu menjawab, “Akulah Yesus, yang kamu aniaya.”—​Kisah 9:4, 5.

Yesus menyuruh Saulus untuk pergi ke Damsyik dan di situ dia akan diberitahu apa yang mesti dilakukannya. Tetapi orang perlu memimpinnya ke Damsyik kerana cahaya itu telah membutakan matanya. Kemudian dalam penglihatan yang lain, Yesus muncul kepada Ananias, seorang pengikutnya di Damsyik. Dia menyuruh Ananias untuk pergi ke sebuah rumah untuk mencari Saulus, tetapi Ananias takut. Maka Yesus berkata kepadanya, “Pergilah, kerana aku sudah memilih lelaki ini untuk memberitakan namaku kepada raja-raja, umat Israel, dan bangsa-bangsa lain.” Penglihatan Saulus dipulihkan, dan di Damsyik, dia mula “menyebarkan berita bahawa Yesus ialah Anak Tuhan.”​—Kisah 9:15, 20.

Dengan bantuan Yesus, Paulus dan para penginjil yang lain meneruskan kerja penyebaran yang dimulakan oleh Yesus. Tuhan memberkati usaha mereka, dan mereka meraih banyak hasil. Kira-kira 25 tahun selepas Yesus bercakap kepada Paulus dalam perjalanannya ke Damsyik, Paulus menulis bahawa berita baik “sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.”​—Kolose 1:23.

Bertahun-tahun kemudian, Yesus memberi Yohanes beberapa penglihatan. Penglihatan itu telah dicatatkan dalam buku Wahyu. Dalam penglihatan itu, Yohanes seolah-olah dapat melihat Yesus datang sebagai Raja Kerajaan Tuhan. (Yohanes 21:22) “Di bawah ilham kuasa suci Tuhan, [Yohanes] berada pada hari Tuan.” (Wahyu 1:10) Bilakah hari itu akan tiba?

Nubuat Bible menunjukkan bahawa “hari Tuan” bermula pada tahun 1914. Pada tahun itu, Perang Dunia Pertama tercetus. Sejak itu, peperangan, wabak penyakit, kebuluran, gempa bumi, dan pelbagai kejadian buruk, membuktikan bahawa “tanda” yang diberikan oleh Yesus tentang ‘kehadirannya’ dan “penghujung sistem ini” sedang menjadi kenyataan. (Matius 24:3, 7, 8, 14) Selain itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan bukan sahaja disebarkan di kawasan Empayar Roma, tetapi juga disebarkan ke seluruh bumi.

Semua kejadian ini menunjukkan bahawa “Tuhan kita telah menyelamatkan umat-Nya. Kuasa-Nya sudah dinyatakan, Kerajaan-Nya sudah didirikan, dan Kristus-Nya kini berkuasa.” (Wahyu 12:10) Ya, Kerajaan Tuhan di syurga, yang diberitakan oleh Yesus, sudah datang!

Hal ini menggembirakan semua pengikut Yesus yang setia. Mereka digalakkan oleh kata-kata Yohanes yang berikut: “Bersukacitalah hai syurga dan kamu yang tinggal di syurga! Tetapi malanglah bumi dan laut kerana Iblis sudah turun kepada kamu dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”​—Wahyu 12:12.

Maka, Yesus tidak lagi duduk di sebelah kanan Bapanya. Sekarang dia sedang memerintah sebagai raja, dan tidak lama lagi, dia akan melenyapkan semua musuhnya. (Ibrani 10:12, 13) Apakah perkembangan menarik yang menantikan kita?