BAB 104
Adakah Orang Yahudi Akan Beriman kepada Tuhan?
-
BANYAK ORANG MENDENGAR SUARA TUHAN
-
DASAR PENGHAKIMAN
Pada hari Isnin, 10 Nisan, semasa Yesus berada di Rumah Tuhan, dia berkata bahawa dia akan mati. Dia risau nama baik Tuhan akan dicela, maka dia berkata, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian ada suara dari langit yang berkata, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”—Yohanes 12:27, 28.
Orang di situ hairan. Ada yang berfikir bahawa bunyi itu ialah bunyi guruh. Ada pula yang berkata, “Malaikat telah bercakap kepadanya.” (Yohanes 12:29) Sebenarnya itu ialah suara Yehuwa! Ini bukanlah kali pertama manusia mendengar Tuhan bercakap kepada Yesus.
Tiga tahun setengah yang lalu, semasa Yesus dibaptis, Yohanes Pembaptis mendengar Tuhan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” Kemudian selepas Perayaan Paska tahun 32 M, iaitu semasa rupa Yesus berubah di depan Yakobus, Yohanes, dan Petrus, ketiga-tiga rasul itu mendengar Tuhan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.” (Matius 3:17; 17:5) Kali ini, Yehuwa bercakap kepada Yesus di depan khalayak ramai!
Yesus berkata, “Suara ini kedengaran bukanlah untukku, tetapi untuk kamu.” (Yohanes 12:30) Hal ini membuktikan bahawa dia memang Anak Tuhan, iaitu Mesias yang dijanjikan.
Yesus memberikan teladan baik kepada kita kerana dia setia kepada Tuhan sampai akhir. Kesetiaannya juga membuktikan bahawa Syaitan Si Iblis, iaitu pemerintah dunia ini, patut dimusnahkan. Dia berkata, “Dunia ini sedang dihakimi. Sekarang pemerintah dunia ini akan diusir.” Kemudian dia menyambung, “Semasa aku digantungkan, aku akan memimpin segala macam orang kepadaku.” (Yohanes 12:31, 32) Ya, kematian Yesus akan membantu banyak orang. Dia akan memimpin mereka ke haluan hidup abadi.
Yesus berkata bahawa dia akan “digantungkan,” maka orang ramai bertanya kepadanya, “Kami mendengar bahawa menurut Hukum, Kristus akan kekal selama-lamanya. Maka, mengapakah Guru mengatakan bahawa Anak Manusia harus digantungkan? Siapakah Anak Manusia itu?” (Yohanes 12:34) Meskipun mereka telah diberi banyak bukti dan mendengar Tuhan berfirman dari syurga, ramai antara mereka masih tidak percaya bahawa Yesus ialah Anak Manusia dan Mesias yang dijanjikan.
Yesus pernah berkata bahawa dia ialah “cahaya dunia.” (Yohanes 8:12; 9:5) Dia memberitahu orang ramai, ‘Cahaya masih akan bersama kamu untuk sebentar waktu. Berjalanlah ketika cahaya masih ada, supaya kegelapan tidak menguasai kamu. Berimanlah kepada cahaya sementara cahaya itu masih ada, supaya kamu dapat menjadi anak-anak cahaya.’ (Yohanes 12:35, 36) Kemudian Yesus beredar dari situ kerana saat kematiannya belum tiba. Dia akan dibunuh dan “digantungkan pada tiang” pada Paska 14 Nisan.—Galatia 3:13.
Kebanyakan orang Yahudi degil dan tidak mahu percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat yang dijanjikan. Hal ini terjadi seperti yang dinubuatkan dalam Bible. Yesaya telah menubuatkan bahawa mata mereka tidak dapat melihat dan hati mereka tidak dapat mengerti, maka mereka tidak akan kembali dan disembuhkan.—Yesaya 6:10; Yohanes 12:40.
Nikodemus, Yusuf dari Arimatea, dan banyak penguasa beriman kepada Yesus. Tetapi adakah mereka akan mengakuinya secara terang-terangan? Adakah mereka akan berdiam diri kerana tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat, atau kerana mereka “suka dimuliakan oleh manusia”?—Yohanes 12:42, 43.
Yesus berkata, “Sesiapa yang beriman kepadaku Yohanes 12:44, 45, 48.
bukan sahaja beriman kepadaku, tetapi juga beriman kepada Dia yang mengutus aku. Sesiapa yang melihat aku juga melihat Dia yang mengutus aku.” Tuhan mengutus Yesus untuk mengajar orang tentang kebenaran. Kebenaran ini amat penting kerana Yesus berkata, “Sesiapa yang menolak aku dan enggan menerima kata-kataku akan dihakimi. Kata-kata akulah yang akan menghakiminya pada hari terakhir.”—Sebagai kesimpulan, Yesus berkata, “Kata-kataku tidak berasal daripada diriku sendiri. Sebaliknya, Bapa yang mengutus aku telah memberikan perintah kepadaku tentang apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan. Aku juga tahu bahawa perintah-Nya membawa kehidupan kekal.” (Yohanes 12:49, 50) Yesus tahu bahawa tidak lama lagi, dia akan menyerahkan nyawanya untuk menyelamatkan semua orang yang beriman kepadanya.—Roma 5:8, 9.