BAB 97
Perumpamaan tentang Pekerja Ladang Anggur
-
PEKERJA LADANG ANGGUR “YANG TERAKHIR” AKAN MENJADI “YANG PERTAMA”
Yesus telah berkata bahawa “ramai orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, manakala orang yang terakhir akan menjadi yang pertama.” (Matius 19:30) Kini dia memberikan satu lagi perumpamaan berkenaan hal ini. Dia berkata,
‘Kerajaan di syurga adalah seperti seorang pemilik ladang anggur yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. Setelah dia bersetuju untuk membayar para pekerja upah satu denari sehari, dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya. Kira-kira pada jam sembilan pagi, dia keluar dan nampak beberapa orang yang menganggur berdiri di tempat awam. Maka dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberi kamu upah yang berpatutan.” Jadi mereka pun pergi. Kira-kira pada jam 12 tengah hari dan jam 3 petang, pemilik ladang itu keluar dan melakukan hal yang sama. Akhirnya, kira-kira pada jam lima petang dia keluar sekali lagi dan nampak beberapa orang yang sedang berdiri tanpa membuat apa-apa. Lalu dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku.”’—Matius 20:1-7.
Apabila orang mendengar tentang “Kerajaan di syurga” dan “pemilik ladang anggur,” mereka mungkin berfikir tentang Yehuwa. Ayat-Ayat Suci pernah menggambarkan Yehuwa sebagai pemilik ladang anggur, dan bangsa Israel sebagai ladang. (Mazmur 80:8, 9; Yesaya 5:3, 4) Pekerja ladang pula menggambarkan orang yang terlibat dalam Perjanjian Hukum Musa. Tetapi Yesus sedang menggambarkan keadaan yang wujud pada zamannya, bukannya zaman Musa.
Para pemimpin agama bagaikan pekerja yang datang paling awal dan bekerja sepanjang hari. Mereka akan menerima upah satu denari.
Orang Yahudi yang biasa dipandang rendah oleh para pemimpin agama. Mereka digambarkan sebagai pekerja yang diupah kira-kira pada jam 9 pagi, jam 12 tengah hari, jam 3 petang, dan jam 5 petang.
Para pengikut Yesus dipandang sebagai orang yang terkutuk. (Yohanes 7:49) Banyak antara mereka bekerja sebagai nelayan atau buruh. Tetapi pada musim luruh tahun 29 M, “pemilik ladang anggur” mengutus Yesus kepada mereka dan menjemput mereka untuk bekerja bagi Tuhan sebagai pengikut Kristus. Mereka ialah ‘orang terakhir’ yang diupah.
Yesus mengakhiri perumpamaannya dengan berkata, “Apabila hari mula senja, pemilik ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, ‘Panggillah semua pekerja dan bayarlah upah mereka, mulai daripada pekerja yang datang terakhir sehingga pekerja yang datang paling awal.’ Pekerja yang datang pada jam lima petang masing-masing menerima upah sebanyak satu denari. Oleh itu, pekerja yang datang paling awal menyangka bahawa mereka akan dibayar lebih. Tetapi mereka juga menerima upah satu denari. Ketika mereka menerima upah itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang. Mereka berkata, ‘Pekerja yang datang terakhir bekerja satu jam sahaja, sedangkan kami bekerja keras sepanjang hari di bawah matahari yang terik. Tetapi tuan memperlakukan kami sama dengan mereka!’ Dia menjawab salah seorang daripada mereka, ‘Dengarlah kawan. Aku tidak bersalah terhadapmu. Bukankah kamu sudah bersetuju untuk bekerja dengan upah satu denari sehari? Ambillah upahmu dan pergilah. Aku mahu memberi pekerja yang terakhir upah yang sama dengan kamu. Tidakkah aku berhak menggunakan harta milikku sendiri dengan sesuka hati? Atau adakah kamu cemburu kerana aku baik?’ Dengan cara ini, orang yang terakhir akan menjadi yang pertama, manakala orang yang pertama akan menjadi yang terakhir.”—Matius 20:8-16.
Bagaimanakah “orang yang pertama,” iaitu para pemimpin agama, akan menjadi “yang terakhir”? Bagaimanakah pengikut Yesus akan menjadi “yang pertama”?
“Orang yang terakhir,” iaitu pengikut Yesus, akan menerima upah terlebih dahulu. Selepas Yesus mati, Tuhan menolak bangsa Israel dan memilih bangsa yang baharu, iaitu “Israel milik Tuhan.” (Galatia 6:16; Matius 23:38) Yohanes Pembaptis pernah berkata bahawa mereka akan “dibaptis dengan kuasa suci Tuhan.” Maka pengikut Yesus akan menjadi golongan pertama yang dibaptis dengan kuasa suci Tuhan dan yang menjadi saksi-saksi Yesus “sampai ke hujung bumi.” (Kisah 1:5, 8; Matius 3:11) Jika para pengikut Yesus memahami perubahan besar yang dinyatakan oleh Yesus, mereka pasti dapat menjangkakan bahawa mereka akan dibenci oleh para pemimpin agama.