Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 88

Keadaan Lelaki Kaya dan Lazarus Berubah

Keadaan Lelaki Kaya dan Lazarus Berubah

LUKAS 16:14-31

  • PERUMPAMAAN TENTANG LELAKI KAYA DAN LAZARUS

Yesus mengajar murid-muridnya cara menggunakan kekayaan dengan bijak. Orang Farisi turut hadir di situ, dan mereka juga perlu memikirkan nasihat itu dengan serius. Mengapa? Kerana mereka “cinta akan wang.” Namun, setelah mendengar kata-kata Yesus, ‘mereka mula mencemuhnya.’​—Lukas 15:2; 16:13, 14.

Hal ini tidak membuat Yesus berasa takut. Dia berkata, “Di hadapan orang, kamu mengatakan bahawa kamu berbuat benar, tetapi Tuhan mengetahui isi hati kamu. Sebenarnya apa yang dianggap penting di mata manusia menjijikkan di mata Tuhan.”​—Lukas 16:15.

Orang Farisi sudah lama “dianggap penting di mata manusia,” tetapi keadaan mereka akan berubah. Mereka yang diagung-agungkan kerana kekayaan dunia, kuasa politik, dan kedudukan dalam agama, akan direndahkan. Orang biasa yang sedar akan keperluan rohani mereka pula akan ditinggikan. Yesus menyatakan perubahan yang akan berlaku dengan berkata,

“Hukum dan Ajaran Para Nabi telah dikhabarkan sehingga zaman Yohanes. Selepas itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan telah dikhabarkan, dan segala macam orang kini berusaha dengan gigih untuk memasuki kerajaan itu. Sesungguhnya, biarpun langit dan bumi lenyap, huruf yang terkecil atau satu titik pun dalam Hukum tidak akan lenyap sehingga semua yang tertulis berlaku.” (Lukas 3:18; 16:16, 17) Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus?

Para pemimpin agama Yahudi berbangga kerana mereka mematuhi Hukum Musa dengan teliti. Semasa Yesus menyembuhkan seorang lelaki buta di Yerusalem, orang Farisi dengan bangganya berkata, “Kami murid Musa. Kami tahu bahawa Tuhan telah berfirman kepada Musa.” (Yohanes 9:13, 28, 29) Salah satu tujuan Hukum Musa diberikan adalah untuk memimpin orang yang rendah hati kepada Mesias, iaitu Yesus. Yohanes Pembaptis menyatakan bahawa Yesus ialah Anak Bebiri Tuhan. (Yohanes 1:29-34) Sejak Yohanes mula menginjil, orang Yahudi yang rendah hati, terutamanya orang yang miskin, telah diajar tentang “Kerajaan Tuhan.” Ya, “berita baik” disebarkan kepada semua orang yang ingin diberkati dan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan.

Selepas tujuan Hukum Musa tercapai, umat Tuhan tidak lagi wajib untuk mematuhi hukum ini. Sebagai contoh, Hukum mengizinkan perceraian atas pelbagai alasan. Namun Yesus menjelaskan bahawa “sesiapa menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia telah berzina. Sesiapa yang mengahwini seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya juga telah berzina.” (Lukas 16:18) Kata-kata Yesus membuat orang Farisi sangat marah kerana mereka cenderung membuat peraturan dalam semua perkara!

Yesus menceritakan satu perumpamaan untuk menekankan betapa besarnya perubahan yang akan berlaku. Dia menyebut tentang dua orang lelaki yang akan mengalami perubahan besar. Orang Farisi yang cinta akan wang dan dipuja oleh manusia turut hadir dan mendengar perumpamaan ini.

Yesus berkata, “Ada seorang lelaki kaya yang menikmati hidup yang serba mewah setiap hari. Dia biasa memakai pakaian yang diperbuat daripada kain ungu dan kain linen. Seorang pengemis yang bernama Lazarus sering dibawa ke pintu pagar rumah lelaki kaya itu. Badannya penuh dengan bisul, dan dia berharap dapat mengisi perutnya dengan sisa makanan yang jatuh dari meja lelaki kaya itu. Bahkan anjing pun datang dan menjilat bisulnya.”​—Lukas 16:19-21.

Siapakah “lelaki kaya” yang digambarkan dalam perumpamaan Yesus? Sudah pastilah orang Farisi kerana mereka amat mencintai wang. Para pemimpin agama ini juga suka mengenakan pakaian yang mahal dan mewah. Selain itu, nampaknya mereka juga menikmati banyak penghormatan dan hak istimewa dalam masyarakat. Kain ungu melambangkan kedudukan yang dihormati, dan kain linen yang berwarna putih melambangkan sikap mereka yang menganggap diri alim.​—Daniel 5:7.

Bagaimanakah para pemimpin yang sombong ini memandang orang biasa dan orang miskin? Mereka memanggil golongan ini ‛am ha·’aʹrets, yang bererti “penduduk tanah.” Golongan ini dihina dan dianggap tidak mengetahui Hukum dan tidak layak untuk diajar. (Yohanes 7:49) Itulah keadaan yang digambarkan oleh “pengemis yang bernama Lazarus,” yang sangat lapar dan berharap dapat makan “sisa makanan yang jatuh dari meja lelaki kaya itu.” Seperti Lazarus yang badannya penuh dengan bisul, orang biasa dipandang rendah seolah-olah mereka telah ditolak oleh Tuhan.

Keadaan yang menyedihkan itu sudah lama wujud, tetapi Yesus tahu bahawa masa perubahan sudah tiba bagi kedua-dua golongan itu.

PERUBAHAN BAGI LELAKI KAYA DAN LAZARUS

Yesus menjelaskan perubahan yang dialami oleh mereka. Dia berkata, “Akhirnya, pengemis itu meninggal dan dibawa oleh malaikat-malaikat ke sisi Abraham. Lelaki kaya itu juga meninggal dan dikebumikan. Semasa dia menderita di Kuburan, dia mendongak dan melihat Abraham dari jauh bersama Lazarus di sisinya.”—Lukas 16:22, 23.

Para pendengar Yesus tahu bahawa Abraham sudah lama meninggal. Ayat-Ayat Suci menyatakan bahawa orang yang sudah mati, termasuk Abraham, tidak dapat melihat atau bercakap. (Pengkhutbah 9:5, 10) Jadi apakah yang difikirkan oleh para pemimpin agama itu semasa mereka mendengar perumpamaan Yesus? Apakah yang ingin disampaikan oleh Yesus kepada pemimpin agama yang mencintai wang dan kepada orang biasa?

Yesus telah mengatakan bahawa ‘Hukum dan Ajaran Para Nabi telah dikhabarkan sehingga zaman Yohanes Pembaptis, dan selepas itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan telah dikhabarkan.’ Ya, Yesus sedang menunjukkan bahawa melalui kerja penyebaran yang dilakukan olehnya dan Yohanes, keadaan lelaki kaya dan Lazarus akan berubah. Mereka seolah-olah mengalami kematian, dan kedudukan mereka berubah dalam pandangan Tuhan.

Selama ini, golongan yang miskin dan dipandang rendah telah diabaikan secara rohani. Namun mereka telah dibantu apabila mereka menyambut baik berita Kerajaan Tuhan yang disampaikan oleh Yohanes Pembaptis dan Yesus. Sebelum itu, mereka cuma bergantung pada ‘sisa yang jatuh dari meja rohani’ para pemimpin agama. Kini mereka dikenyangkan dengan ajaran benar, terutamanya perkara-perkara menakjubkan yang disampaikan oleh Yesus. Mereka seolah-olah menikmati kedudukan yang diperkenankan Yehuwa.

Sebaliknya, golongan pemimpin agama menolak berita Kerajaan Tuhan yang dikhabarkan oleh Yohanes dan Yesus. (Matius 3:1, 2; 4:17) Mereka berasa marah atau terseksa dengan mesej yang mengandungi penghakiman daripada Tuhan. (Matius 3:7-12) Tentu mereka akan berasa lega jika Yesus dan murid-muridnya berhenti menyebarkan mesej Tuhan. Para pemimpin itu seperti lelaki kaya dalam perumpamaan Yesus yang berkata, “Bapa Abraham, kasihanilah aku. Utuslah Lazarus untuk mencelup hujung jarinya ke dalam air dan menyejukkan lidahku, kerana aku sangat sengsara di dalam api yang berkobar ini.”​—Lukas 16:24.

Tetapi para pemimpin agama itu tidak akan mendapat kelegaan. Mereka enggan “mendengar perintah dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi,” yang dapat memimpin mereka kepada Mesias. (Lukas 16:29, 31; Galatia 3:24) Mereka juga enggan merendahkan diri dan enggan dibantu oleh orang miskin yang telah mendapat perkenan Tuhan melalui Yesus. Murid-murid Yesus pula tidak seharusnya meremehkan kebenaran semata-mata untuk menyenangkan hati para pemimpin agama. Yesus menggambarkan hakikat ini menerusi kata-kata yang diucapkan oleh Abraham kepada lelaki kaya itu,

“Anakku, ingatlah bahawa kamu sudah menikmati segala yang baik semasa kamu masih hidup, tetapi Lazarus pula ditimpa pelbagai kesusahan. Sekarang, dia mendapat kelegaan di sini, tetapi kamu pula sedang menderita. Selain itu, ada jurang dalam yang memisahkan kita, jadi orang dari sini tidak dapat pergi kepada kamu, dan orang dari situ juga tidak dapat datang kepada kami.”​—Lukas 16:25, 26.

Perubahan tersebut memang adil dan sesuai! Akan ada jurang yang memisahkan dua golongan ini. Pemimpin agama yang angkuh telah kehilangan perkenan Tuhan, manakala orang yang rendah hati yang menerima ajaran Yesus telah disegarkan secara rohani. (Matius 11:28-30) Jurang ini akan bertambah besar dalam masa beberapa bulan lagi, iaitu apabila Perjanjian Hukum Musa diganti dengan Perjanjian Baharu. (Yeremia 31:31-33; Kolose 2:14; Ibrani 8:7-13) Sewaktu Tuhan mencurahkan kuasa suci-Nya pada Pentakosta 33 M, jelaslah bahawa murid-murid Yesus yang mendapat perkenan Tuhan dan bukannya para pemimpin agama.