Roh-Roh Jahat Itu Pembunuh!
Sejak dulu lagi, Syaitan dan roh-roh jahat bersifat kejam dan berbahaya. Pada zaman kuno, Syaitan membunuh ternakan dan hamba-hamba Ayub, seorang lelaki yang setia. Kemudian, apabila 10 orang anak Ayub berkumpul di dalam sebuah rumah, dia merobohkan rumah itu dengan “angin yang kencang” dan membunuh mereka semua. Selepas itu, Syaitan menyebabkan Ayub “dijangkiti bisul yang sangat teruk dari telapak kaki sampai kepalanya.”—Ayub 1:7-19; 2:7.
Pada zaman Yesus, roh-roh jahat membuat sesetengah orang bisu dan buta. (Matius 9:32, 33; 12:22) Mereka menyeksa seorang lelaki dan membuatnya melukai tubuhnya dengan batu. (Markus 5:5) Mereka juga menyebabkan seorang budak lelaki berteriak, menghempaskannya ke tanah, dan “membuatnya menggigil sambil terkejang-kejang dengan kuat.”—Lukas 9:42.
Kini, Syaitan dan roh-roh jahat tetap mendahagakan darah. Sebenarnya, sejak diusir dari syurga, perbuatan jahat mereka semakin berleluasa.
Laporan-laporan dari serata dunia membuktikan kekejaman mereka. Mereka menyebabkan sesetengah orang jatuh sakit. Ada yang diganggu pada waktu malam, sehingga tidak dapat tidur atau bermimpi ngeri. Yang lain mengalami deraan seksual. Ada pula yang menjadi gila, membunuh orang, atau membunuh diri.Lintina, yang tinggal di Suriname, menceritakan bahawa satu roh jahat telah membunuh 16 orang ahli keluarganya serta menyeksanya dari segi fizikal dan mental selama 18 tahun. Menurut pengalamannya, dia berkata bahawa roh-roh jahat “gemar menyeksa mangsa-mangsa yang enggan menurut kehendak mereka sehingga mati.”
Namun, Yehuwa dapat melindungi hamba-hamba-Nya daripada serangan Syaitan.—Amsal 18:10.