Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

Mengapakah Ada Banyak Penderitaan?

Mengapakah Ada Banyak Penderitaan?

1, 2. Apakah soalan yang ditanya banyak orang?

SEBUAH bandar musnah kerana gempa bumi. Ramai orang terbunuh apabila sebuah bom meletup di hotel. Lima orang anak hidup susah selepas ibu mereka mati akibat kanser.

2 Semasa hal-hal buruk seperti itu berlaku, banyak orang bertanya, “Kenapa?” Mereka tidak memahami sebabnya dunia ini penuh dengan penderitaan dan rasa benci. Pernahkah anda menanyakan soalan sebegitu?

3, 4. (a) Apakah soalan yang ditanya Habakuk? (b) Apakah perasaan Yehuwa tentang kejahatan dan penderitaan?

3 Bible memberitahu kita bahawa orang yang sangat beriman pun pernah menanyakan soalan sebegitu. Contohnya Nabi Habakuk menanya Yehuwa, “Mengapakah Engkau membiarkan aku menyaksikan kejahatan? Mengapakah Engkau membenarkan penindasan terjadi? Mengapakah kehancuran dan keganasan berlaku di hadapanku? Mengapakah pergaduhan dan pertengkaran berleluasa?”​—Habakuk 1:3.

4 Di Habakuk 2:2, 3, Tuhan menjawab soalan Habakuk dan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu. Yehuwa sangat mengasihi manusia. Bible berkata, “Dia mengambil berat tentang kamu.” (1 Petrus 5:7) Sebenarnya, Tuhan lebih membenci kejahatan daripada kita membenci kejahatan. (Yesaya 55:8, 9) Jika begitu, mengapakah ada begitu banyak penderitaan di dunia?

MENGAPAKAH ADA BANYAK PENDERITAAN?

5. Apakah yang dikatakan banyak guru agama tentang penderitaan? Apakah yang diajarkan Bible?

5 Paderi, imam, dan guru agama sering berkata bahawa penderitaan ialah kehendak Tuhan. Mereka berkata bahawa semua perkara yang berlaku, termasuk kecelakaan, sudah ditentukan oleh Tuhan dan kita tidak akan mengetahui sebabnya. Ada yang berkata bahawa orang, termasuk kanak-kanak, mati kerana Tuhan mahu membawa mereka ke syurga. Tetapi ajaran sebegitu salah. Yehuwa tidak mungkin berbuat begitu. Bible berkata, “Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!”​—Ayub 34:10.

6. Mengapakah ramai orang menyalahkan Tuhan atas semua penderitaan di dunia?

6 Ramai orang menyalahkan Tuhan atas semua penderitaan di dunia kerana mereka menyangka Tuhan ialah pemerintah dunia. Tetapi dalam Bab 3, kita sudah belajar bahawa Syaitan Si Iblis ialah pemerintah dunia yang sebenar.

7, 8. Mengapakah ada banyak penderitaan di dunia?

7 Bible menyatakan, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.” (1 Yohanes 5:19) Syaitan sedang “menyesatkan seluruh dunia.” (Wahyu 12:9) Banyak orang terikut-ikut dengan perangainya yang jahat dan kejam. Itulah salah satu sebab dunia penuh dengan rasa benci, kekejaman, dan penipuan.

8 Terdapat sebab-sebab lain juga. Selepas Adam dan Hawa melawan Tuhan, mereka mewariskan dosa kepada anak-anak mereka. Manusia yang berdosa sering menyakiti satu sama lain. Mereka mementingkan diri, jadi mereka berlawan, berperang, dan membuli orang lain. (Pengkhutbah 4:1; 8:9) Ada kalanya, penderitaan berlaku kerana “waktu dan kejadian yang tidak terduga.” (Pengkhutbah 9:11) Jika seseorang berada di tempat yang salah pada masa yang salah, dia mungkin jadi mangsa kemalangan atau perkara buruk yang lain.

9. Adakah Tuhan mahu kita menderita?

9 Yehuwa tidak pernah menyebabkan peperangan, jenayah, dan penindasan berlaku. Bencana seperti gempa bumi, taufan, dan banjir juga tidak disebabkan oleh-Nya. Jadi anda mungkin bertanya, “Jika Yehuwa begitu berkuasa, kenapa Dia tidak menghentikan semua hal itu?” Tuhan sangat menyayangi kita dan tidak mahu kita menderita, jadi pasti ada sebabnya Dia membiarkan penderitaan berlaku.​—1 Yohanes 4:8.

MENGAPA TUHAN MEMBIARKAN PENDERITAAN BERLAKU

10. Syaitan mahu Adam dan Hawa percaya apa?

10 Di Taman Eden, Syaitan menyesatkan Adam dan Hawa. Dia menuduh bahawa Tuhan ialah Pemerintah yang teruk kerana tidak memberi mereka sesuatu yang baik. Syaitan mahu mereka percaya bahawa dia ialah pemerintah yang lebih baik daripada Yehuwa, dan bahawa mereka tidak memerlukan Tuhan.​—Kejadian 3:2-5; lihat Penjelasan 27.

11. Apakah soalan yang perlu dijawab?

11 Adam dan Hawa melawan cakap Yehuwa dan memberontak. Mereka berfikir bahawa mereka berhak menentukan apa yang betul dan salah bagi diri sendiri. Bagaimanakah Yehuwa dapat membuktikan bahawa fikiran mereka salah, dan bahawa Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita?

12, 13. (a) Mengapakah Yehuwa tidak segera memusnahkan Adam dan Hawa? (b) Mengapakah Yehuwa mengizinkan Syaitan menjadi pemerintah dunia dan membiarkan manusia mendirikan pemerintahan sendiri?

12 Yehuwa tidak segera memusnahkan Adam dan Hawa. Sebaliknya, Dia mengizinkan mereka beranak cucu. Kemudian, Tuhan membiarkan keturunan Adam dan Hawa memilih siapa yang diingini mereka sebagai pemerintah. Yehuwa mahu bumi dipenuhi manusia yang sempurna, dan tujuan itu akan tercapai biarpun Iblis cuba menghalangnya.​—Kejadian 1:28; Yesaya 55:10, 11.

13 Syaitan menuduh Yehuwa di hadapan jutaan malaikat. (Ayub 38:7; Daniel 7:10) Jadi Yehuwa memberi Syaitan masa untuk membuktikan tuduhan itu. Tuhan juga memberi manusia masa untuk mendirikan pemerintahan sendiri di dunia yang dikuasai Syaitan. Dengan itu, mereka dapat menunjukkan sama ada mereka mampu berjaya tanpa bantuan Tuhan.

14. Setelah beribu-ribu tahun berlalu, apakah yang kita belajar?

14 Selama beribu-ribu tahun, manusia cuba memerintah diri sendiri, tetapi mereka gagal. Tuduhan Syaitan terbukti salah kerana manusia memang memerlukan bantuan Tuhan. Betul kata-kata Nabi Yeremia, “Ya Yehuwa, aku tahu benar bahawa manusia tidak berkuasa untuk menentukan jalan hidupnya, bahkan manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.”​—Yeremia 10:23.

MENGAPAKAH YEHUWA MENUNGGU BEGITU LAMA?

15, 16. (a) Mengapakah Yehuwa membiarkan penderitaan berlaku begitu lama? (b) Mengapakah Yehuwa tidak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan Syaitan?

15 Mengapakah Yehuwa membiarkan penderitaan berlaku begitu lama? Mengapakah Dia tidak menghalang perkara buruk? Masa diperlukan untuk membuktikan bahawa pemerintahan Syaitan telah gagal. Manusia sudah cuba bermacam-macam kerajaan, tetapi mereka gagal. Biarpun sains dan teknologi semakin canggih, kemiskinan, jenayah, peperangan, dan hal yang tidak adil semakin bertambah. Tanpa Tuhan, kita tidak dapat memerintah diri sendiri dengan baik.

16 Yehuwa juga tidak menyelesaikan masalah yang ditimbulkan Syaitan. Jika Tuhan campur tangan, maksudnya Dia menyokong pemerintahan Syaitan. Selain itu, manusia akan percaya bahawa mereka mampu memerintah diri sendiri. Tetapi hal itu tidak benar, dan Yehuwa tidak akan menyokong hal yang tidak benar kerana Dia tidak mungkin berbohong.​—Ibrani 6:18.

17, 18. Bagaimanakah Yehuwa akan membaiki semua kerosakan yang disebabkan Syaitan?

17 Dapatkah Yehuwa membaiki kerosakan yang disebabkan oleh Syaitan dan orang jahat? Ya, tiada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan. Selepas tuduhan Syaitan dijawab dengan sepenuhnya, Tuhan akan bertindak. Dia akan mengubah bumi menjadi firdaus, seperti yang dihendaki-Nya dahulu. Semua orang di “makam peringatan” akan dibangkitkan. (Yohanes 5:28, 29) Orang tidak akan jatuh sakit atau mati lagi. Yesus akan membaiki semua kerosakan yang disebabkan oleh Syaitan. Yehuwa akan menggunakan Yesus untuk “menghancurkan perbuatan Iblis.” (1 Yohanes 3:8) Kita bersyukur sebab Yehuwa bersabar terhadap kita dan memberi kita peluang untuk mengenali-Nya dan memilih-Nya sebagai Pemerintah. (Baca 2 Petrus 3:9, 10.) Semasa kita menderita, Dia akan membantu kita tetap tabah.​—Yohanes 4:23; baca 1 Korintus 10:13.

18 Yehuwa tidak memaksa kita untuk memilih-Nya sebagai Pemerintah, kerana Dia memberi manusia kebebasan untuk memilih. Mari kita lihat mengapa kebebasan itu sangat bernilai.

BAGAIMANAKAH ANDA AKAN MENGGUNAKAN KEBEBASAN UNTUK MEMILIH?

19. Apakah kurniaan istimewa yang diberikan Yehuwa kepada kita? Mengapakah kita harus menghargainya?

19 Oleh sebab Yehuwa mengurniai manusia kebebasan untuk memilih, kita sangat berbeza daripada binatang. Binatang bertindak mengikut naluri, tetapi kita dapat memilih cara hidup sendiri dan memilih sama ada kita mahu menggembirakan Yehuwa. (Amsal 30:24) Tidak seperti mesin, kita dapat memilih sifat yang ingin kita tunjukkan, apa yang ingin kita lakukan, dan siapa yang menjadi kawan kita. Yehuwa mahu kita menikmati kehidupan.

20, 21. Apakah pilihan terbaik yang dapat anda buat sekarang?

20 Apabila seorang anak berkata, “Saya sayang Ayah” dengan ikhlas dan bukannya kerana dipaksa, ayahnya akan sangat gembira. Begitu juga, Yehuwa ingin kita mengasihi-Nya dengan ikhlas. (Matius 22:37, 38) Dia memberi kita kebebasan untuk memilih sama ada kita ingin menyembah-Nya atau tidak. Syaitan, Adam, dan Hawa, memilih untuk menolak Yehuwa. Bagaimana pula dengan anda?

21 Gunakanlah kebebasan memilih anda untuk menyembah Yehuwa. Jutaan orang telah memilih untuk menggembirakan Yehuwa dan menolak Syaitan. (Amsal 27:11) Apakah yang dapat anda buat sekarang supaya dapat tinggal di dunia baharu Tuhan setelah Dia menghapuskan semua penderitaan? Bab seterusnya akan menjawab soalan itu.