Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 5

Tebusan​—Kurniaan Terbesar daripada Tuhan

Tebusan​—Kurniaan Terbesar daripada Tuhan

1, 2. (a) Hadiah apakah yang akan anda hargai? (b) Mengapakah tebusan ialah kurniaan terbesar daripada Tuhan?

APAKAH hadiah terbaik yang pernah anda terima? Hadiah yang anda hargai tidak semestinya mahal. Yang penting, hadiah itu membuat anda gembira atau memenuhi keperluan anda.

2 Tuhan memberi kita banyak hadiah, atau kurniaan, tetapi ada satu kurniaan-Nya yang paling istimewa. Kurniaan itu memenuhi keperluan kita yang terbesar. Dalam bab ini, kita akan belajar bahawa Yehuwa telah mengutus Anak-Nya Yesus Kristus sebagai tebusan supaya kita dapat hidup selama-lamanya. (Baca Matius 20:28.) Kurniaan itu membuktikan bahawa Yehuwa benar-benar mengasihi kita.

APAKAH ITU TEBUSAN?

3. Mengapakah manusia mati?

3 Yehuwa memberikan tebusan untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. (Efesus 1:7) Mengapakah kita memerlukan tebusan? Beribu-ribu tahun lalu di Taman Eden, nenek moyang kita, Adam dan Hawa, telah berdosa. Oleh itu, mereka akhirnya mati. Kita mewarisi dosa Adam dan Hawa, jadi kita pun akan mati.​—Lihat Penjelasan 9.

4. Siapakah Adam? Apakah hadiah yang diberikan Tuhan kepada Adam?

4 Semasa Yehuwa menciptakan manusia yang pertama, Adam, Dia memberi Adam suatu hadiah yang sangat bernilai: Nyawa yang sempurna. Adam ada minda dan tubuh yang sempurna. Dia tidak akan sakit, menjadi tua, atau mati. Yehuwa menciptakan Adam, maka Dia seperti bapa kepada Adam. (Lukas 3:38) Yehuwa sering bercakap kepadanya. Dengan jelas, Dia memberitahu Adam apa yang harus dilakukan, dan Dia juga memberi Adam kerja yang menyeronokkan.​—Kejadian 1:28-30; 2:16, 17.

5. Apakah maksud Adam diciptakan “menurut gambaran Tuhan”?

5 Adam diciptakan “menurut gambaran Tuhan.” (Kejadian 1:27) Maksudnya, Adam diberi sifat-sifat Yehuwa, seperti kasih, kebijaksanaan, keadilan, dan kuasa. Adam tidak diciptakan seperti robot. Sebaliknya, Tuhan memberinya kebebasan untuk memilih antara yang betul dengan yang salah. Jika Adam memilih untuk taat kepada Tuhan, dia akan hidup selama-lamanya di Firdaus.

6. Semasa Adam melanggar perintah Tuhan, dia kehilangan berkat-berkat apa? Disebabkan perbuatan Adam, apakah yang terjadi kepada kita?

6 Semasa Adam melanggar perintah Tuhan dan dihukum mati, dia kehilangan banyak berkat. Dia bukan lagi sahabat Yehuwa, dia kehilangan nyawa yang sempurna, dan dia tidak boleh tinggal di Firdaus lagi. (Kejadian 3:17-19) Adam dan Hawa sengaja melanggar perintah Tuhan, jadi mereka tidak ada harapan untuk hidup selama-lamanya. Disebabkan perbuatan Adam, “dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Kerana Adam berdosa, dia dan kita “dijual” sebagai hamba kepada dosa dan kematian. (Roma 7:14) Namun, adakah kita masih mempunyai harapan? Ya!

7, 8. Apakah itu tebusan?

7 Apakah itu tebusan? Tebusan melibatkan dua hal: Pertama, tebusan ialah bayaran yang dibuat untuk membebaskan seseorang atau untuk membeli semula sesuatu. Kedua, tebusan ialah bayaran untuk menutup kos sesuatu, contohnya untuk membayar ganti rugi.

8 Akibat dosa Adam, kita semua akan mati. Tiada manusia yang mampu membayar ganti rugi atas perbuatan Adam, tetapi Yehuwa membuka jalan supaya kita dapat dibebaskan daripada dosa dan kematian. Mari kita belajar lebih banyak tentang tebusan dan cara untuk mendapat manfaat daripadanya.

CARA YEHUWA MENYEDIAKAN TEBUSAN

9. Apakah yang diperlukan untuk membayar tebusan?

9 Tiada orang dapat menebus kembali nyawa sempurna yang dihilangkan Adam. Mengapa? Kerana semua orang tidak sempurna. (Mazmur 49:7, 8) Tebusan yang dibayar haruslah sama nilai dengan nyawa yang dihilangkan Adam. Jadi, untuk menyediakan “tebusan yang sepadan,” nyawa seorang manusia yang sempurna diperlukan.​—1 Timotius 2:6.

10. Bagaimanakah Yehuwa menyediakan tebusan?

10 Bagaimanakah Yehuwa menyediakan tebusan? Dia mengutus Anak kesayangan-Nya, iaitu ciptaan-Nya yang pertama, ke bumi. (1 Yohanes 4:9, 10) Yesus sanggup meninggalkan Bapanya dan tempat tinggalnya di syurga. (Filipi 2:7) Yehuwa memindahkan nyawa Yesus dari syurga ke dalam rahim Maria. Maka Yesus dilahirkan di bumi sebagai seorang manusia yang sempurna, yang bebas daripada dosa.​—Lukas 1:35.

Yehuwa memberikan Anak kesayangan-Nya sebagai tebusan untuk kita

11. Bagaimanakah satu orang dapat menjadi tebusan untuk semua manusia?

11 Adam, manusia yang pertama, tidak mentaati Yehuwa. Jadi dia dan semua manusia kehilangan nyawa yang sempurna. Dapatkah sesiapa menyelamatkan keturunan Adam daripada kematian? Ya. (Baca Roma 5:19.) Yesus tidak pernah berdosa, maka dia memiliki nyawa yang sempurna. Dia telah mengorbankan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan. (1 Korintus 15:45) Dengan itu, keturunan Adam dapat diselamatkan daripada kematian.​—1 Korintus 15:21, 22.

12. Mengapakah Yesus perlu menderita dengan begitu teruk?

12 Bible memberitahu kita bahawa Yesus diseksa dengan kejam sebelum dia mati. Dia disebat, dipakukan pada tiang, dan menderita sampai mati. (Yohanes 19:1, 16-18, 30) Mengapakah Yesus perlu mengalami semua itu? Sebab Syaitan pernah berkata bahawa tiada seorang pun akan setia kepada Tuhan jika mereka menghadapi cubaan yang besar. Tetapi Yesus telah membuktikan bahawa manusia yang sempurna dapat setia kepada Tuhan biarpun diseksa dengan teruk sekali. Yehuwa pasti sangat bangga dengan Yesus!​—Amsal 27:11; lihat Penjelasan 15.

13. Bagaimanakah tebusan dibayar?

13 Bagaimanakah tebusan dibayar? Yehuwa membiarkan Yesus dibunuh oleh musuh pada 14 bulan Nisan dalam kalendar orang Yahudi, tahun 33 M. (Ibrani 10:10) Tiga hari kemudian, Yehuwa membangkitkan Yesus sebagai roh. Selepas Yesus kembali ke syurga, dia menyerahkan nyawanya sebagai manusia yang sempurna kepada Yehuwa. (Ibrani 9:24) Tuhan menerima nyawa itu sebagai bayaran untuk tebusan. Setelah tebusan dibayar, kita berpeluang dibebaskan daripada dosa dan kematian.​—Baca Roma 3:23, 24.

CARA MENDAPAT MANFAAT DARIPADA TEBUSAN

14, 15. Apakah yang patut kita lakukan supaya dosa kita diampunkan?

14 Tebusan memang kurniaan terbesar daripada Tuhan. Mari kita lihat bagaimana tebusan bermanfaat untuk kita sekarang dan pada masa depan.

15 Dosa kita diampunkan. Kita tidak dapat sentiasa melakukan apa yang betul. Kita sering melakukan atau mengatakan sesuatu yang salah. (Kolose 1:13, 14) Namun, jika kita betul-betul menyesali kesalahan kita dan memohon maaf daripada Yehuwa dengan rendah hati, Dia pasti mengampunkan dosa kita.​—1 Yohanes 1:8, 9.

16. Apakah yang harus kita lakukan untuk memiliki hati nurani yang bersih?

16 Kita ada hati nurani yang bersih. Jika hati nurani kita terganggu, kita akan berasa bersalah, tidak berguna, dan hilang semangat. Tetapi jika kita memohon maaf daripada Yehuwa, Dia pasti mendengar doa kita dan mengampuni kita. (Ibrani 9:13, 14) Yehuwa mahu kita memberitahu-Nya semua masalah dan kelemahan kita. (Ibrani 4:14-16) Jika kita berbuat demikian, kita akan menikmati hubungan yang baik dengan Tuhan.

17. Kerana Yesus mati demi kita, apakah peluang yang kita miliki?

17 Kita ada harapan untuk hidup selama-lamanya. “Upah dosa ialah kematian, tetapi kurniaan daripada Tuhan ialah kehidupan kekal melalui Kristus Yesus.” (Roma 6:23) Kerana Yesus mati demi kita, kita ada peluang untuk hidup kekal dan menikmati kesihatan yang sempurna. (Wahyu 21:3, 4) Tetapi apakah yang perlu kita lakukan untuk menerima berkat-berkat itu?

ADAKAH ANDA MENGHARGAI TEBUSAN?

18. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa menyayangi kita?

18 Anda pasti gembira semasa menerima hadiah yang istimewa. Tebusan ialah hadiah yang paling istimewa, maka kita patut bersyukur kepada Yehuwa. Yohanes 3:16 menyatakan, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya.” Yesus juga sangat mengasihi kita kerana dia sanggup mati demi kita. (Yohanes 15:13) Ya, tebusan ialah bukti yang kukuh bahawa Yehuwa dan Yesus benar-benar menyayangi anda.​—Galatia 2:20.

Apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kita akan menjadi sahabat-Nya dan semakin mengasihi-Nya

19, 20. (a) Bagaimanakah kita dapat menjadi sahabat Yehuwa? (b) Bagaimanakah anda dapat beriman kepada tebusan Yesus?

19 Selepas belajar tentang kasih Tuhan yang besar, anda mungkin mahu membalas kasih-Nya. Untuk mengasihi Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya, anda perlu mengenali-Nya terlebih dahulu, seperti yang dikatakan di Yohanes 17:3. Apabila anda semakin mengenali Tuhan, anda akan lebih mengasihi-Nya dan ingin membuat-Nya gembira. Jadi, teruslah mempelajari Bible supaya anda lebih mengenali Yehuwa.​—1 Yohanes 5:3.

20 Beriman kepada tebusan Yesus. Bible mengatakan, “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal.” (Yohanes 3:36) Apakah maksud beriman? Maksudnya, kita mesti mengikut ajaran Yesus. (Yohanes 13:15) Sekadar berkata, “Saya percaya kepada Yesus” tidak cukup. Kita mesti ada perbuatan kerana Yakobus 2:26 berkata, “Iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.”

21, 22. (a) Mengapakah kita patut menghadiri Peringatan kematian Kristus setiap tahun? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam Bab 6 dan 7?

21 Mengingati kematian Kristus. Pada malam sebelum Yesus mati, dia berkata bahawa kita harus mengingati kematiannya. Maka, setiap tahun kita mengadakan Peringatan atau “Perjamuan Malam Tuan.” (1 Korintus 11:20; Matius 26:26-28) Yesus mahu kita ingat bahawa dia telah mengorbankan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan untuk kita. Dia berkata, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Baca Lukas 22:19.) Jika anda menghadiri Peringatan, anda membuktikan bahawa anda menghargai tebusan dan kasih agung yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus.​—Lihat Penjelasan 16.

22 Tebusan ialah kurniaan yang paling istimewa. (2 Korintus 9:14, 15) Kurniaan itu bahkan dapat membantu jutaan orang yang sudah meninggal. Kita akan membincangkan hal itu dalam Bab 6 dan 7.