Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 26

Firdaus Dipulihkan!

Firdaus Dipulihkan!

Yehuwa menyucikan nama-Nya, menegakkan kedaulatan-Nya, dan membasmi segala kejahatan melalui Kerajaan yang diperintah oleh Kristus

BUKU yang terakhir di dalam Bible dipanggil buku Wahyu dan ditulis oleh Rasul Yohanes. Buku ini memberikan harapan kepada semua manusia dan mengandungi penglihatan-penglihatan yang memuncak dengan pelaksanaan tujuan Yehuwa.

Dalam penglihatan pertama, Yesus yang telah dibangkitkan memberi pujian dan menegur beberapa buah sidang Kristian. Dalam penglihatan yang seterusnya, kita dibawa ke hadirat Tuhan, iaitu di hadapan takhta-Nya. Di situ, makhluk-makhluk roh sedang memberi-Nya pujian.

Seraya tujuan Tuhan terus berkembang maju, Anak Bebiri, iaitu Yesus Kristus menerima gulungan naskhah dengan tujuh buah meterai. Empat meterai yang pertama dibuka dan penunggang-penunggang kuda simbolik meluru ke pentas dunia. Penunggang pertama ialah Yesus Kristus. Dia ditabalkan sebagai Raja dan sedang menunggang seekor kuda putih. Seterusnya, penunggang-penunggang dengan kuda yang berlainan warna muncul. Hal ini melambangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit yang akan berlaku pada hari-hari terakhir sistem dunia ini. Pembukaan meterai yang ketujuh disusuli tiupan tujuh trompet simbolik yang melambangkan penghebahan berita penghakiman Tuhan. Peristiwa-peristiwa ini pula membawa kepada tujuh tulah simbolik yang menandakan kemurkaan Tuhan.

Kerajaan Tuhan, yang digambarkan oleh seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan, ditubuhkan di syurga. Peperangan meletus di syurga dan Syaitan dengan malaikat-malaikatnya yang jahat dibuang ke bumi. “Malanglah bumi,” suara lantang dari syurga berkata. Iblis sangat marah kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.Wahyu 12:12.

Yohanes nampak Yesus dilambangkan sebagai seekor anak bebiri di syurga. Bersama-sama Yesus ialah 144,000 orang yang dipilih daripada kalangan umat manusia. Mereka “akan memerintah bersama-sama” Yesus. Maka, buku Wahyu menyingkapkan bahawa bahagian kedua benih akan berjumlah 144,000 orang.Wahyu 14:1; 20:6.

Pemerintah-pemerintah bumi berkumpul ke Armagedon, iaitu ‘perang pada hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’ Mereka melancarkan perang ke atas Yesus, iaitu penunggang kuda putih yang memimpin pasukan tentera di syurga. Semua pemerintah di bumi dibinasakan. Syaitan dirantai, dan Yesus dan 144,000 orang yang dipilih dari bumi akan memerintah bumi “selama seribu tahun.” Pada akhir 1,000 tahun itu, Syaitan akan dibinasakan.Wahyu 16:14; 20:4.

Apakah yang akan berlaku semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus dan 144,000 orang yang memerintah dengannya? Yohanes memberitahu kita apa yang akan dinikmati oleh manusia yang taat kepada Tuhan. Dia menulis, “[Yehuwa] akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.” (Wahyu 21:4) Bumi akan menjadi sebuah firdaus!

Maka, buku Wahyu menyempurnakan mesej Bible. Melalui Kerajaan Mesias, nama Yehuwa disucikan dan kedaulatan-Nya ditegakkan secara sempurna untuk selama-lamanya!

Berdasarkan buku Wahyu.