Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 11

Pemurnian Moral—Mencerminkan Kesucian Tuhan

Pemurnian Moral—Mencerminkan Kesucian Tuhan

FOKUS BAB INI

Cara Raja Mesias mengajar rakyatnya untuk menghormati piawaian moral Tuhan

Bayangkan anda memasuki pintu laluan masuk ke halaman luar Rumah Rohani Tuhan

1. Apakah penglihatan menakjubkan yang dilihat oleh Yehezkiel?

 BAYANGKAN anda ialah nabi Yehezkiel yang hidup kira-kira 2,500 tahun yang lalu. Anda menghampiri bangunan Rumah Tuhan yang besar dan gemilang. Satu malaikat yang perkasa bersedia membawa anda melawat tempat itu. Anda mendaki tujuh anak tangga lalu tiba di salah satu daripada tiga pintu laluan masuk. Laluan masuk itu seperti sebuah bangunan yang tingginya kira-kira 30 meter. Di sisi laluan itu terdapat bilik-bilik pengawal. Laluan itu juga dihiasi dengan rekaan pokok palma yang cantik.​—Yeh. 40:1-4, 10, 14, 22.

2. (a) Apakah yang dilambangkan oleh Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel? (Lihat juga nota kaki.) (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada ciri-ciri laluan masuk Rumah Tuhan?

2 Itulah Rumah Rohani Tuhan yang ditunjukkan dalam penglihatan Yehezkiel. Catatannya tentang Rumah Rohani Tuhan begitu teliti sehingga memenuhi sembilan bab dalam buku Yehezkiel, iaitu dari bab 40 hingga 48. Rumah itu melambangkan aturan Yehuwa untuk ibadat yang murni. Setiap ciri Rumah itu bermakna bagi kita yang menyembah Tuhan pada hari-hari terakhir. a Apakah yang dapat kita pelajari daripada laluan masuk yang tinggi itu? Kita diingatkan bahawa orang yang ingin mengambil bahagian dalam ibadat Yehuwa mesti hidup sejajar dengan piawaian atau prinsip-Nya yang luhur. Rekaan pokok palma yang menghiasi laluan masuk juga menegaskan hal ini, kerana pokok palma ada kalanya digunakan dalam Bible untuk menggambarkan sifat-sifat yang terpuji. (Mzm. 92:13) Bagaimana pula dengan bilik-bilik pengawal? Jelaslah, orang yang tidak menghormati piawaian Tuhan tidak dibenarkan untuk menyertai ibadat yang murni, dan mereka tidak akan meraih kehidupan kekal.​—Yeh. 44:9.

3. Mengapakah pengikut Kristus perlu terus dimurnikan?

3 Bagaimanakah penglihatan Yehezkiel menjadi kenyataan? Dalam Bab 2, kita telah membincangkan bagaimana Yehuwa menggunakan Kristus untuk memurnikan umat-Nya dari tahun 1914 hingga awal 1919. Adakah proses pemurnian berhenti selepas itu? Tidak! Sepanjang abad yang lalu, Kristus sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Yehuwa yang suci. Oleh itu, para pengikutnya perlu terus dimurnikan. Mengapa? Kerana para pengikut Kristus diambil keluar dari dunia yang rosak akhlaknya, dan Syaitan sentiasa mencuba untuk menggoda mereka agar kembali ke lembah kehinaan. (Baca 2 Petrus 2:20-22.) Mari kita kaji tiga cara orang Kristian sejati dimurnikan secara beransur-ansur. Cara pertama berkaitan dengan soal moral, cara kedua berkaitan dengan kebersihan sidang, dan cara ketiga berkaitan dengan aturan keluarga.

Pemurnian Moral

4, 5. Apakah muslihat yang sudah lama digunakan oleh Syaitan? Adakah muslihatnya berjaya?

4 Dari dahulu lagi, kelakuan yang bermoral amat penting bagi umat Yehuwa. Oleh itu, apabila terdapat arahan yang lebih jelas dalam hal itu, mereka segera menerimanya. Perhatikan contoh-contoh berikut.

5 Perbuatan seks yang tidak bermoral. Hubungan seks antara suami dan isteri merupakan kurniaan yang istimewa daripada Yehuwa. Namun, Syaitan suka menyebabkan orang mempunyai pandangan yang serong terhadap kurniaan itu, dan dia menggunakannya sebagai jerat untuk menggoda umat Yehuwa supaya mereka berdosa terhadap Tuhan. Ramai daripada umat Tuhan telah menjadi mangsa Syaitan pada zaman Bileam, dan Si Iblis makin gemar menggunakan helah itu pada hari-hari terakhir.​—Bil. 25:1-3, 9; Why. 2:14.

6. Ikrar apakah yang diterbitkan dalam Watch Tower terbitan 15 Jun 1908, dan apakah hasilnya? Mengapakah ikrar itu tidak digunakan lagi? (Lihat juga nota kaki.)

6 Untuk menangkis serangan Syaitan, majalah Watch Tower terbitan 15 Jun 1908 menerbitkan ikrar yang mengandungi kata-kata berikut: “Bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja, kelakuan saya terhadap orang yang berlawanan jantina semasa kami bersendirian akan sama seperti semasa kami di tempat awam.” b Meskipun ikrar itu tidak diwajibkan, ramai telah membuat ikrar tersebut dan nama mereka telah dihantar untuk diterbitkan dalam Zion’s Watch Tower. Ikrar tersebut pernah membantu ramai orang, tetapi bertahun-tahun kemudian, organisasi kita telah sedar bahawa meskipun ramai orang membuat ikrar itu, mereka tidak hidup selaras dengannya. Maka, ikrar itu tidak dilafazkan lagi. Sungguhpun begitu, prinsip-prinsip yang luhur di sebalik ikrar itu tetap dijunjung tinggi.

7. Masalah apakah yang dibincangkan dalam majalah The Watchtower tahun 1935, dan apakah yang dinyatakan dengan terus terang?

7 Serangan Syaitan menjadi semakin kuat. Majalah The Watchtower terbitan 1 Mac 1935 telah menyatakan satu gejala dalam kalangan umat Tuhan yang semakin membimbangkan. Sesetengah orang dalam kalangan umat Tuhan berfikir bahawa jika mereka bergiat dalam aktiviti penyebaran, mereka dikecualikan daripada mematuhi piawaian moral Yehuwa dalam kehidupan peribadi mereka. The Watchtower menyatakan dengan terus terang, “Seseorang harus ingat bahawa kewajipannya bukan sekadar menyertai kerja memberikan kesaksian. Saksi-Saksi Yehuwa ialah wakil-Nya, maka mereka bertanggungjawab memberikan gambaran yang sewajarnya tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya.” Rencana itu kemudiannya memberikan nasihat yang jelas mengenai perkahwinan dan pandangan Tuhan terhadap seks. Dengan demikian, umat Tuhan dibantu agar ‘menjauhkan diri daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.’​—1 Kor. 6:18.

8. Mengapakah The Watchtower berulang kali memberi penekanan pada erti penuh perkataan Yunani yang merujuk kepada perbuatan seks yang tidak bermoral?

8 Sejak puluhan tahun yang lalu, The Watchtower berulang kali menekankan erti penuh perkataan por·neiʹa yang digunakan dalam Kitab Yunani untuk merujuk kepada perbuatan seks yang tidak bermoral. Perkataan itu bukan sahaja merujuk kepada hubungan seks, tetapi merangkumi banyak lagi perbuatan yang tidak bermoral, termasuk semua perbuatan lucah yang berlaku di rumah pelacuran. Dengan demikian, para pengikut Kristus dilindungi daripada amalan seks terkutuk yang telah menjangkiti begitu ramai orang pada hari ini.​—Baca Efesus 4:17-19.

9, 10. (a) Apakah isu moral yang dibincangkan dalam The Watchtower pada tahun 1935? (b) Apakah ajaran Bible tentang penggunaan minuman keras?

9 Penyalahgunaan minuman keras. The Watchtower terbitan 1 Mac 1935 mengungkit satu lagi isu moral dengan menyatakan, “Kami mendapati bahawa sesetengah orang menyertai kerja penyebaran dan melakukan tugas-tugas rohani di bawah pengaruh [minuman keras.] Menurut Bible, bilakah masa yang sesuai untuk meminum wain? Wajarkah kita meminum wain sehingga menjejaskan khidmat kita dalam organisasi Tuan kita?”

10 Majalah itu membincangkan pandangan seimbang terhadap minuman keras yang terdapat dalam Bible. Bible tidak melarang orang daripada meminum wain atau minuman keras secara sederhana, tetapi mengutuk amalan pemabukan. (Mzm. 104:14, 15; 1 Kor. 6:9, 10) Dalam soal menjalankan kerja Tuhan di bawah pengaruh minuman keras, sudah lama hamba-hamba Tuhan diingatkan tentang apa yang berlaku kepada anak-anak Harun. Mereka dihukum mati oleh Tuhan kerana mempersembahkan api yang tidak suci di atas mazbah Tuhan. Catatan Bible menunjukkan faktor yang mungkin menyebabkan mereka mempersembahkan api yang tidak suci. Tidak lama selepas kejadian itu, Tuhan telah memberikan hukum yang melarang semua imam daripada meminum wain atau minuman keras semasa mereka melakukan tugas suci. (Im. 10:1, 2, 8-11) Para pengikut Kristus berpegang pada prinsip di sebalik hukum itu dan tidak akan menjalankan khidmat suci di bawah pengaruh minuman keras.

11. Mengapakah umat Tuhan bersyukur atas pemahaman yang diterima tentang masalah ketagihan minuman keras?

11 Dalam puluhan tahun yang lalu, pengikut Kristus telah diberi pemahaman yang lebih jelas tentang alkoholisme, iaitu masalah ketagihan minuman keras. Dengan adanya makanan rohani yang disediakan pada waktu yang sesuai, ramai orang dibantu untuk menghindari masalah ketagihan minuman keras. Mereka yang sudah ketagih pula dibantu agar tidak lagi diperhamba oleh masalah ini. Semua hamba Tuhan tidak patut menyalahgunakan minuman keras, kerana hal itu akan menjejaskan harga diri dan kehidupan keluarga mereka. Penting sekali, penyalahgunaan minuman keras akan menyebabkan mereka kehilangan peluang istimewa untuk menyertai ibadat suci Yehuwa.

“Susah untuk membayangkan Tuan kita berbau rokok atau memasukkan apa sahaja yang menajiskan ke dalam mulutnya.”​—C. T. Russell

12. Sebelum bermulanya hari-hari terakhir, apakah pandangan hamba-hamba Kristus tentang penggunaan tembakau atau rokok?

12 Penggunaan tembakau. Bahkan sebelum hari-hari terakhir bermula, hamba-hamba Kristus mula menggalakkan orang agar menjauhi amalan merokok. Bertahun-tahun yang lalu, seorang saudara yang bernama Charles Capen menceritakan pengalamannya semasa dia bertemu dengan Charles Taze Russell buat kali pertama. Peristiwa itu berlaku pada hujung abad ke-19 ketika Capen berusia 13 tahun. Dia serta tiga adik-beradiknya sedang berada di tangga Rumah Bible di Allegheny, Pennsylvania. Semasa Russell lalu di situ, dia bertanya, “Kamu sedang merokokkah? Saya terhidu bau rokok.” Mereka meyakinkan Russell bahawa mereka tidak merokok, tetapi peristiwa itu pasti telah mengajar mereka pandangannya terhadap penggunaan tembakau. Dalam Watch Tower terbitan 1 Ogos 1895, Saudara Russell telah mengulas kata-kata di 2 Korintus 7:1. Dia berkata, “Saya tidak dapat memahami bagaimana orang Kristian yang menggunakan tembakau dalam apa jua cara dapat memuliakan Tuhan atau membawa manfaat kepada diri sendiri. . . . Susah untuk membayangkan Tuan kita berbau rokok atau memasukkan apa sahaja yang menajiskan ke dalam mulutnya.”

13. Apakah pemurnian moral yang berlaku pada tahun 1973?

13 Pada tahun 1935, majalah The Watchtower menyifatkan tembakau sebagai “lalang yang menjijikkan” dan menyatakan bahawa sesiapa yang mengunyah tembakau atau merokok tidak diizinkan untuk berkhidmat di Bethel atau menjadi wakil organisasi Tuhan sebagai perintis atau penyelia lawatan. Pada tahun 1973, pemurnian moral dijalankan lagi. Majalah The Watchtower terbitan 1 Jun menjelaskan bahawa tiada Saksi Yehuwa yang akan dianggap sebagai ahli sidang sekiranya dia masih berpegang pada amalan merokok yang boleh membunuh, yang menajiskan, dan yang tidak bertimbang rasa. Mereka yang enggan berhenti merokok akan disingkirkan. c Sesungguhnya, Kristus telah mengambil satu lagi langkah yang penting untuk memurnikan para pengikutnya.

14. Apakah piawaian Tuhan tentang darah, dan bagaimanakah rawatan pemindahan darah menjadi popular?

14 Penyalahgunaan darah. Pada zaman Nuh, Tuhan telah menyatakan bahawa memakan darah itu salah. Semasa memberikan Hukum kepada umat Israel, Tuhan menegaskan perintah itu sekali lagi, dan Dia juga memberikan perintah kepada sidang Kristian agar “menjauhi darah.” (Kis. 15:20, 29; Kej. 9:4; Im. 7:26) Walau bagaimanapun, Syaitan telah mencari jalan untuk menyebabkan ramai orang pada zaman moden melanggar perintah Tuhan. Pada abad ke-19, penggunaan transfusi darah, atau pemindahan darah, masih dalam tahap percubaan. Namun setelah empat kumpulan darah manusia ditemui, transfusi darah mula diamalkan dengan lebih meluas. Pada tahun 1937, darah mula dikumpulkan dan disimpan di tabung darah. Semasa Perang Dunia Kedua, amalan itu telah menjadi kaedah rawatan yang popular. Tidak lama selepas itu, transfusi darah menjadi amalan yang lazim dalam dunia perubatan.

15, 16. (a) Apakah pendirian Saksi-Saksi Yehuwa dalam soal transfusi darah? (b) Apakah bantuan yang diberikan kepada pengikut Kristus yang berdepan dengan isu transfusi darah dan rawatan tanpa darah? Apakah hasilnya?

15 Pada tahun 1944, majalah The Watchtower menunjukkan bahawa menerima transfusi darah tiada bezanya dengan memakan darah. Pada tahun berikutnya, prinsip Bible tentang hal itu telah ditegaskan dan dinyatakan dengan lebih jelas lagi. Pada tahun 1951, senarai soalan dan jawapan telah diterbitkan untuk membantu umat Tuhan berdepan dengan pakar perubatan. Para pengikut Kristus yang setia di serata dunia berpegang teguh pada pendirian mereka meskipun dicemuh, dilayan dengan buruk, dan dianiaya. Namun, Kristus terus membimbing organisasinya untuk menyediakan bantuan yang diperlukan. Setelah kajian yang mendalam tentang transfusi darah dibuat, pelbagai brosur dan rencana telah diterbitkan.

16 Pada tahun 1979, sesetengah penatua mula berjumpa dengan doktor di hospital untuk membantu mereka memahami pendirian kita, bukti-bukti Bible yang menyokong pendirian kita, dan rawatan alternatif yang tidak melibatkan transfusi darah. Pada tahun 1980, penatua di 39 bandar di Amerika Syarikat telah diberikan latihan khusus untuk kerja ini. Badan Pimpinan kemudiannya telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Hospital di serata dunia. Adakah semua usaha itu membuahkan apa-apa hasil selama ini? Hari ini, terdapat berpuluh-puluh ribu doktor, pakar bedah, dan pakar bius yang sudi bekerjasama dengan pesakit Saksi. Mereka menghormati pilihan kita untuk menerima rawatan tanpa darah. Semakin banyak hospital menawarkan rawatan tanpa darah, dan ada yang menganggapnya sebagai rawatan yang terbaik. Tidakkah kita digalakkan semasa memikirkan tindakan yang diambil oleh Yesus untuk melindungi para pengikutnya daripada rancangan jahat Syaitan?​—Baca Efesus 5:25-27.

Semakin banyak hospital menawarkan rawatan tanpa darah, dan ada yang menganggapnya sebagai rawatan yang terbaik

17. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai cara yang digunakan oleh Kristus untuk memurnikan pengikutnya?

17 Kita masing-masing perlu bertanya, “Adakah saya menghargai cara yang digunakan oleh Kristus untuk memurnikan para pengikutnya dan membantu kita supaya hidup selaras dengan piawaian moral Yehuwa yang tinggi?” Ingatlah bahawa Syaitan sentiasa mencari jalan untuk mempengaruhi kita supaya kita tidak menghormati piawaian moral Tuhan. Hal ini kerana dia mahu kita menjauhi Yehuwa dan Yesus. Untuk melindungi kita, organisasi Yehuwa terus memberikan amaran dan peringatan tentang sikap dunia yang tidak bermoral. Semoga kita sentiasa peka terhadap nasihat yang diberikan dan segera mematuhinya.​—Ams. 19:20.

Melindungi Sidang daripada Keruntuhan Moral

18. Penglihatan Yehezkiel mengingatkan kita tentang hal apa?

18 Cara kedua pemurnian moral dijalankan melibatkan langkah-langkah yang diambil untuk memelihara kebersihan sidang. Malangnya, sesetengah orang yang menerima prinsip-prinsip Yehuwa dan membaktikan diri kepada Tuhan kemudiannya berubah dan sengaja melanggar prinsip-prinsip-Nya. Apakah yang harus dilakukan terhadap orang sedemikian? Cuba fikir kembali tentang penglihatan Yehezkiel. Dalam penglihatannya, terdapat bangunan tinggi yang merupakan laluan masuk ke dalam Rumah Rohani Tuhan. Di sisi laluan itu terdapat bilik-bilik pengawal. Terdapat pengawal yang akan melindungi Rumah Tuhan dan menghalang ‘orang yang tidak taat kepada-Nya’ daripada memasuki Rumah itu. (Yeh. 44:9) Hal itu mengingatkan kita bahawa penghormatan untuk menjalankan ibadat murni hanya akan diberikan kepada orang yang berusaha untuk memelihara kelakuan yang selaras dengan prinsip-prinsip Yehuwa. Begitu juga, penghormatan untuk menyembah Tuhan bersama rakan-rakan Kristian tidak diberikan kepada semua orang.

19, 20. (a) Bagaimanakah Kristus beransur-ansur memurnikan cara pengikutnya mengendalikan kes salah laku yang serius? (b) Apakah tiga sebab untuk menyingkirkan seorang pendosa yang enggan bertaubat?

19 Pada tahun 1892, majalah Watch Tower menyatakan bahawa “kita wajib menyingkirkan (daripada kalangan orang Kristian) mereka yang secara langsung atau tidak langsung, menafikan bahawa Kristus telah mengorbankan dirinya sebagai tebusan [yang sepadan] bagi semua.” (Baca 2 Yohanes 10.) Pada tahun 1904, buku The New Creation menyatakan bahawa orang yang terus berkelakuan buruk adalah berbahaya kerana mereka dapat melemahkan semangat sidang. Pada masa itu, seluruh sidang akan mengadakan “perbicaraan” untuk mengadili kes salah laku yang serius. Namun, perbicaraan sedemikian jarang berlaku. Pada tahun 1944, The Watchtower menunjukkan bahawa hanya saudara-saudara tertentu patut mengendalikan kes sedemikian. Pada tahun 1952, The Watchtower telah menerbitkan tatacara yang berdasarkan Bible untuk mengendalikan soal disiplin, dan majalah itu juga menyatakan satu sebab utama orang yang enggan bertaubat harus disingkirkan: Untuk memelihara kebersihan sidang.

20 Sejak masa itu, Kristus telah memberi pengikutnya pemahaman yang lebih jelas dan memurnikan cara mereka mengendalikan kes salah laku yang serius. Para penatua dilatih dengan baik supaya mereka mengendalikan kes disiplin menurut cara Yehuwa. Mereka dilatih supaya tidak keterlaluan semasa berpegang pada prinsip keadilan dan semasa menunjukkan belas kasihan. Terdapat sekurang-kurangnya tiga sebab untuk menyingkirkan seorang pendosa yang enggan bertaubat: (1) Agar nama Yehuwa bebas daripada celaan, (2) agar sidang tidak dicemari dosa yang serius, dan (3) agar seorang pesalah didorong untuk bertaubat.

21. Bagaimanakah aturan penyingkiran melindungi umat Tuhan?

21 Dapatkah anda melihat bagaimana aturan penyingkiran telah membantu para pengikut Kristus dewasa ini? Pada zaman Israel kuno, orang yang berbuat jahat sering kali menjadi pengaruh buruk kepada seluruh bangsa, dan ada kalanya bilangan mereka bahkan lebih ramai daripada orang yang berusaha berbuat baik dan yang mengasihi Yehuwa. Akibatnya, bangsa Israel sering menyebabkan nama Yehuwa dicela, dan mereka kehilangan perkenan-Nya. (Yer. 7:23-28) Namun, umat Yehuwa hari ini terdiri daripada sekumpulan lelaki dan wanita yang berfikiran rohani. Oleh sebab pesalah yang enggan bertaubat disingkirkan, pengaruh buruk mereka dapat dikekang. Dengan demikian, mereka tidak dapat diperalatkan oleh Syaitan untuk mengeruhkan keadaan dalam sidang sehingga nama baik sidang terjejas. Aturan penyingkiran membolehkan seluruh sidang terus diperkenankan Yehuwa. Yehuwa pernah berjanji bahawa ‘tiada senjata yang dapat mencederakan kita.’ (Yes. 54:17) Adakah kita memberikan sokongan dengan setia kepada para penatua yang diberikan tanggungjawab berat untuk mengendalikan kes pengadilan?

Memuliakan Pengasas Keluarga

22, 23. Mengapakah rakan-rakan Kristian kita pada awal abad ke-20 harus dipuji? Namun, apakah yang menunjukkan bahawa pandangan yang lebih seimbang terhadap tanggungjawab keluarga perlu dipupuk?

22 Cara ketiga pengikut Kristus meraih manfaat daripada pemurnian yang berterusan adalah dari segi perkahwinan dan kehidupan keluarga. Selama ini, adakah kita dibantu agar mempunyai pandangan yang lebih seimbang terhadap aturan keluarga? Ya. Sebagai contoh, semasa kita membaca tentang pengalaman hamba-hamba Tuhan pada awal abad ke-20, kita sangat kagum dengan pengorbanan mereka. Mereka memang harus dipuji kerana mereka benar-benar mengutamakan khidmat Tuhan. Namun, pada masa yang sama, kita dapat lihat bahawa mereka perlu memupuk pandangan yang lebih seimbang. Apakah yang dimaksudkan?

23 Pada masa itu, para penyelia lawatan atau saudara-saudara yang diberikan tugasan teokratik tertentu harus meninggalkan ahli keluarga selama berbulan-bulan. Meskipun Bible hanya mengatakan bahawa kehidupan membujang ada kelebihannya, bahan bacaan kita ada kalanya tidak menggalakkan saudara saudari kita untuk berkahwin. Pada masa yang sama, kita tidak ada banyak maklumat tentang cara mengukuhkan ikatan perkahwinan. Adakah keadaan sedemikian masih wujud dalam kalangan pengikut Kristus dewasa ini? Tidak!

Tanggungjawab keluarga tidak boleh diabaikan semata-mata untuk mengejar peluang khidmat teokratik

24. Bagaimanakah Kristus membantu pengikutnya yang setia untuk memupuk pandangan yang seimbang terhadap perkahwinan dan kehidupan keluarga?

24 Kini, tanggungjawab keluarga tidak boleh diabaikan semata-mata untuk mengejar peluang khidmat teokratik. (Baca 1 Timotius 5:8.) Tambahan lagi, Kristus telah memastikan agar para pengikutnya di bumi sentiasa menerima nasihat yang berguna dan seimbang daripada Bible tentang perkahwinan dan kehidupan keluarga. (Ef. 3:14, 15) Pada tahun 1978, buku Making Your Family Life Happy dikeluarkan. Kira-kira 18 tahun kemudian, buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga dikeluarkan (terjemahan bahasa Malaysia dikeluarkan pada tahun 2012). Selain itu, majalah The Watchtower mengandungi banyak rencana yang membantu pasangan suami isteri menerapkan prinsip-prinsip Bible dalam hubungan mereka.

25-27. Bagaimanakah keperluan rohani anak-anak dipenuhi selama ini?

25 Bagaimana pula dengan kaum muda? Keperluan mereka telah diberi semakin banyak perhatian. Sejak dahulu lagi, organisasi Yehuwa telah menyediakan bahan yang berguna untuk kaum muda dari pelbagai lapisan umur. Namun, bahan-bahan itu kini disediakan dengan berlimpah. Sebagai contoh, bahagian “Pembelajaran Bible untuk Remaja” telah disiarkan dalam majalah The Golden Age dari tahun 1919 hingga 1921. Selepas itu, terdapat brosur The Golden Age ABC pada tahun 1920, dan buku Children pada tahun 1941. Pada tahun 1970-an, buku-buku seperti Listening to the Great Teacher, Your Youth—Getting the Best out of It, dan Buku Cerita Bible Saya telah dikeluarkan (terjemahan bahasa Malaysia dikeluarkan pada tahun 2010). Pada tahun 1982, siri rencana “Pertanyaan Kaum Muda” mula dimuatkan dalam majalah Awake! Pada tahun 1989, buku Questions Young People Ask​—Answers That Work telah dikeluarkan.

Adik-adik di Jerman gembira menerima brosur Adik Belajar Bible semasa konvensyen

26 Sekarang, kita ada dua jilid buku Young People Ask yang dikemaskinikan, dan siri rencana untuk kaum muda terus disediakan di laman Web kita, jw.org. Kita juga ada buku Learn From the Great Teacher. Laman Web kita mempunyai banyak bahan untuk anak-anak, termasuk kad watak Bible, dan projek pembelajaran Bible untuk anak yang lebih tua dan anak yang lebih muda. Selain itu, terdapat aktiviti Bible, video, dan cerita Bible dalam bentuk gambar, serta pelajaran Bible untuk anak-anak yang berusia tiga tahun dan ke bawah. Pada abad pertama, Kristus memeluk kanak-kanak yang datang kepadanya. Perasaannya terhadap anak-anak masih tidak berubah. (Mrk. 10:13-16) Dia mahu anak-anak dalam kalangan kita berasa bahawa mereka dikasihi, dan dia mahu mereka dijaga secara rohani.

27 Yesus juga mahu melindungi anak-anak kita. Memandangkan keruntuhan nilai moral sekarang semakin menjadi-jadi, masalah penderaan anak pun semakin parah. Oleh itu lebih banyak arahan yang jelas dan terus terang telah diterbitkan supaya ibu bapa dapat melindungi anak mereka daripada menjadi mangsa penderaan. d

28. (a) Seperti yang ditunjukkan dalam penglihatan Yehezkiel, apakah syarat yang harus kita penuhi jika kita mahu menjalankan ibadat sejati? (b) Apakah tekad anda?

28 Kita telah membincangkan bagaimana Kristus melatih para pengikutnya untuk menghormati prinsip-prinsip moral Yehuwa, hidup menurut prinsip-prinsip itu, dan meraih manfaat daripada berbuat demikian. Setelah meneliti cara yang digunakan oleh Kristus untuk memurnikan para pengikutnya, tidakkah kita berasa teruja? Fikirkan sekali lagi tentang Rumah Tuhan dalam penglihatan Yehezkiel. Adakah anda masih ingat akan laluan masuk yang tinggi itu? Meskipun Rumah Tuhan itu bukan sebuah bangunan yang sebenar, adakah Rumah Tuhan itu nyata bagi kita? Jika kita ingin memasukinya, sekadar pergi ke Dewan Perjumpaan, membuka Bible, atau mengetuk pintu semasa kerja penyebaran tidak memadai. Perbuatan-perbuatan tersebut dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja untuk dilihat orang. Bahkan orang munafik yang tidak layak memasuki Rumah Tuhan pun dapat berbuat demikian. Namun, jika kita melakukan semua itu dengan sikap yang sewajarnya, dan pada masa yang sama berusaha untuk hidup berlandaskan piawaian moral Yehuwa, kita sudah memasuki Rumah Tuhan, iaitu aturan untuk ibadat suci Tuhan Yehuwa! Semoga kita menghargai peluang istimewa untuk berkhidmat dalam tempat yang suci itu, dan berusaha sedaya upaya untuk menjunjung prinsip Yehuwa agar kita tetap mencerminkan kesucian-Nya!

a Pada tahun 1932, buku Vindication, Jilid 2, menunjukkan bahawa nubuat Bible tentang kepulangan umat Tuhan ke tanah air juga menjadi kenyataan pada zaman moden. Namun, umat yang dimaksudkan bukan bangsa Israel jasmani, tetapi Israel rohani. Nubuat-nubuat itu menggambarkan pemulihan ibadat sejati. The Watchtower terbitan 1 Mac 1999 menjelaskan bahawa penglihatan Yehezkiel tentang Rumah Tuhan menggambarkan pemulihan rohani yang berlaku pada hari-hari terakhir.

b Menurut ikrar itu, seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan suami isteri atau saudara mara dekat tidak dibenarkan bersendirian di dalam bilik jika pintu bilik tidak dibuka luas. Selama bertahun-tahun, ikrar itu dilafazkan setiap hari sebagai sebahagian daripada Ibadat Pagi Bethel.

c Penyalahgunaan tembakau merangkumi amalan merokok, mengunyah tembakau, atau menanam tembakau untuk tujuan sedemikian.

d Sebagai contoh, lihat bab 32 dalam buku Learn From the Great Teacher; dan lihat juga rencana, “Keep Your Children Safe!” dalam majalah Awake! terbitan Oktober 2007.