Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
Kepada Saudara Saudari yang Dikasihi,
Beberapa tahun yang lalu, majalah Menara Pengawal edisi umum telah menerbitkan siri rencana baharu yang berjudul “Tirulah Iman Mereka.” Kita berpeluang membaca satu rencana baharu daripada siri ini dari masa ke masa.
Apakah sambutan para pembaca terhadap siri rencana ini? Setelah seorang saudari membaca kisah Marta, dia berkata, “Saya ketawa sewaktu membacanya kerana saya seperti Marta. Saya suka melayan tetamu dan selalu sibuk sehingga tiada masa untuk menikmati pergaulan dengan saudara saudari.” Setelah membaca kisah Ester, seorang remaja berkata, “Saya rasa bahawa kadangkala kita terlalu mementingkan penampilan dan fesyen yang terkini. Kita memang patut menjaga penampilan, tetapi kita tidak patut bersikap keterlaluan. Yehuwa lebih mementingkan batin kita daripada penampilan luaran kita.” Seorang saudari sangat teruja setelah membaca kisah Rasul Petrus. Dia berkata, “Semasa saya membaca rencana ini, saya dapat menyelami kisah Petrus. Saya betul-betul dapat membayangkan apa yang berlaku!”
Ramai saudara saudari yang lain juga telah meluahkan penghargaan mereka terhadap siri rencana ini. Seperti yang dikatakan oleh Rasul Paulus, “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita.” (Rm. 15:4) Ya, Yehuwa telah mencatatkan kisah-kisah ini dalam Bible untuk mengajar kita. Tidak kira kita baru belajar kebenaran atau sudah lama dibaptis, kita semua dapat memperoleh manfaat daripadanya.
Luangkanlah masa untuk membaca buku ini. Semasa membacanya, bayangkanlah apa yang berlaku. Selamilah perasaan watak-watak dalam setiap kisah, perhatikanlah reaksi mereka, dan fikirkanlah bagaimana anda akan bertindak apabila menghadapi situasi yang sama. Selain itu, gunakanlah buku ini semasa Penyembahan Keluarga anda, dan hadirilah Pembelajaran Bible Sidang setiap minggu semasa sidang mempelajari buku ini.
Kami berbesar hati kerana dapat menerbitkan buku ini. Semoga anda dan keluarga anda memperoleh manfaat daripadanya. Terimalah salam kasih daripada kami,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa