Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 8

Yehuwa “Menjadikan Semuanya Baharu”

Yehuwa “Menjadikan Semuanya Baharu”

1, 2. Apakah hal-hal yang mungkin kita hadapi dewasa ini? Apakah kesannya atas kita?

 SEORANG anak kecil menangis tersedu-sedu kerana alat permainannya hilang atau rosak. Suara tangisannya memilukan! Namun, pernahkah anda melihat betapa berseri-serinya wajah seorang anak sewaktu ibu atau bapanya menjumpai alat permainannya yang hilang? Bagi ibu bapa, mencari atau membaiki alat permainan tersebut merupakan perkara yang mudah. Tetapi, bagi anak itu, hal itu membuatnya sangat gembira.

2 Pada “masa genting yang sukar dihadapi” ini, kita mungkin jatuh sakit dan kehilangan rumah, harta, dan pekerjaan. (2 Timotius 3:1-5) Kita juga mungkin berasa sedih sewaktu melihat kepupusan flora dan fauna yang disebabkan oleh pencemaran alam sekitar. Tetapi, dugaan paling pahit yang kita alami adalah sewaktu kehilangan orang tersayang. (2 Samuel 18:33) Namun Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa, Bapa kita yang di syurga, memiliki kuasa untuk memulihkan apa sahaja yang telah hilang.

3. Apakah yang dinyatakan di Kisah 3:21 tentang kuasa Yehuwa, dan apakah yang akan digunakan oleh Yehuwa untuk melaksanakan tujuan-Nya?

3 Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa memiliki kuasa untuk “memulihkan semua perkara.” (Kisah 3:21) Untuk berbuat demikian, Yehuwa menggunakan Kerajaan Mesias, yang diperintah oleh Anak-Nya. Bukti-bukti menunjukkan bahawa kerajaan tersebut sudah mula memerintah di syurga sejak tahun 1914. (Matius 24:3-14) Sekarang, marilah kita membincangkan bagaimana Yehuwa telah menggunakan kuasa pemulihan-Nya, dan bagaimana Dia akan menggunakan kuasa pemulihan-Nya dalam skala yang lebih besar pada masa depan. a

Pemulihan Ibadat Sejati

4, 5. Apakah yang menimpa umat Tuhan pada tahun 607 Sebelum Masihi? Apakah harapan yang dijanjikan oleh Yehuwa?

4 Satu hal yang telah dipulihkan oleh Yehuwa ialah ibadat sejati. Untuk memahami hal ini, marilah kita mengimbas kembali sejarah kerajaan Yehuda. Dengan demikian, kita dapat melihat bagaimana Yehuwa menggunakan kuasa pemulihan-Nya.​—Roma 15:4.

5 Bayangkan perasaan orang Yahudi yang setia ketika kota Yerusalem dibinasakan pada tahun 607 Sebelum Masihi. Kota mereka dimusnahkan dan tembok-temboknya diruntuhkan. Yang lebih teruk lagi, Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo, iaitu satu-satunya pusat ibadat sejati di bumi, kini menjadi timbunan reruntuhan. (Mazmur 79:1) Tanah air mereka menjadi tempat tinggal binatang liar kerana saki-baki penduduk di situ telah ditawan ke Babilon. (Yeremia 9:11) Dari sudut pandangan manusia, mereka telah kehilangan semuanya. (Mazmur 137:1) Tetapi Yehuwa telah berjanji bahawa mereka akan kembali ke tanah air mereka dan memulihkan ibadat sejati pada masa hadapan.

6-8. (a) Banyak nubuat Bible menyebut tentang apa? Bagaimanakah nubuat-nubuat itu menjadi kenyataan pada zaman kuno? (b) Bagaimanakah nubuat-nubuat itu menjadi kenyataan pada zaman moden?

6 Sebenarnya, terdapat banyak nabi b yang menyebut tentang pemulihan ini. Menerusi para nabi, Yehuwa berjanji bahawa orang Yahudi akan kembali ke tanah air mereka, dan tanah air mereka akan menjadi tempat yang subur, dipenuhi dengan penduduk, dan bebas daripada ancaman musuh dan serangan binatang liar. Dia bahkan menggambarkan tanah itu sebagai firdaus! (Yesaya 65:25; Yehezkiel 34:25; 36:35) Yang terpenting, ibadat sejati akan dipulihkan dan Rumah Tuhan akan dibina semula. (Mikha 4:1-5) Nubuat-nubuat ini memberikan sinar harapan kepada orang Yahudi yang berada dalam pembuangan di Babilon selama 70 tahun.

7 Akhirnya masa pemulihan tiba, dan orang Yahudi dibebaskan dari Babilon. Mereka pulang ke Yerusalem dan membina semula Rumah Yehuwa. (Ezra 1:1, 2) Selagi mereka berpaut pada ibadat sejati, Yehuwa memberkati mereka, menjadikan tanah mereka subur dan makmur, dan melindungi mereka daripada serangan musuh dan binatang liar. Mereka pasti bersukacita kerana dapat melihat Yehuwa membantu mereka! Tetapi nubuat-nubuat tentang pemulihan akan menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar “pada hari-hari terakhir,” iaitu apabila Yesus memerintah.​—Yesaya 2:2-4; 9:6, 7.

8 Tidak lama selepas Yesus menjadi raja Kerajaan Tuhan pada tahun 1914, dia menumpukan perhatiannya kepada keperluan rohani umat Tuhan di bumi. Sebagaimana Kores, raja Persia, membebaskan orang Yahudi dari Babilon pada tahun 537 Sebelum Masihi, Yesus membebaskan orang Yahudi rohani daripada “Babilon Besar,” iaitu empayar agama palsu sedunia. (Wahyu 18:1-5; Roma 2:29) Sejak tahun 1919, ibadat sejati mula dipulihkan. (Maleakhi 3:1-5) Maka, umat Tuhan dapat menyembah-Nya dalam Rumah Rohani Tuhan yang telah disucikan, iaitu aturan-Nya untuk ibadat sejati. Mengapakah hal ini begitu penting bagi kita?

Mengapa Pemulihan Rohani Penting

9. Selepas kematian para rasul, apakah yang dilakukan oleh para pemimpin gereja Kristian? Tetapi apakah yang dilakukan oleh Yehuwa?

9 Pada abad pertama, orang Kristian menikmati banyak berkat rohani. Tetapi Yesus dan para rasulnya menubuatkan bahawa ibadat sejati akan dicemari ajaran palsu. (Matius 13:24-30; Kisah 20:29, 30) Selepas kematian para rasul, gereja-gereja Kristian ditubuhkan. Para pemimpin gereja mencampuradukkan ibadat sejati dengan ajaran dan amalan kafir. Mereka menghina Tuhan dengan menggambarkan-Nya sebagai tuhan tritunggal, menyuruh orang membuat pengakuan dosa kepada paderi, dan berdoa kepada Maria dan santo-santo. Ya, ibadat sejati telah dicemari selama berabad-abad. Tetapi Yehuwa akan memulihkan ibadat sejati! Hal ini ialah perkembangan yang terpenting pada zaman moden ini.

10, 11. (a) Apakah dua unsur penting dalam firdaus rohani? Apakah manfaatnya bagi anda? (b) Siapakah yang dapat menjadi sebahagian daripada firdaus rohani Tuhan? Mereka berpeluang untuk melihat apa?

10 Dewasa ini, orang Kristian sejati dapat menikmati firdaus rohani yang semakin maju dan berkembang. Firdaus rohani ini mempunyai dua unsur utama. Unsur pertama ialah ibadat yang tidak dicemari ajaran-ajaran palsu. Yehuwa membekalkan makanan rohani kepada kita agar kita dapat belajar tentang diri-Nya, menyenangkan hati-Nya, dan menghampiri-Nya. (Yohanes 4:24) Unsur kedua ialah persaudaraan Kristian. Yesaya pernah menubuatkan bahawa “pada hari-hari terakhir,” Yehuwa akan mengajar para penyembah-Nya untuk hidup dengan damai. Meskipun kita tidak sempurna, Yehuwa membantu kita untuk “mengenakan keperibadian baharu” dan memberi kita kuasa suci-Nya agar kita dapat memupuk sifat-sifat yang baik. (Efesus 4:22-24; Galatia 5:22, 23) Apabila kita hidup selaras dengan bimbingan kuasa suci Tuhan, kita akan menjadi sebahagian daripada firdaus rohani.

11 Yehuwa telah mengumpulkan orang yang dikasihi-Nya ke dalam firdaus rohani itu. Mereka yang dikumpulkan ini mengasihi-Nya, mencintai kedamaian, dan “sedar akan keperluan rohani mereka.” (Matius 5:3) Mereka berpeluang untuk melihat bagaimana Dia akan memulihkan keadaan umat manusia dan seluruh bumi.

“Lihatlah! Aku Sedang Menjadikan Semuanya Baharu”

12, 13. (a) Mengapakah kita yakin bahawa nubuat-nubuat tentang pemulihan akan menjadi kenyataan secara harfiah pada masa depan? (b) Apakah tujuan asal Yehuwa bagi bumi? Mengapakah hal ini memberi kita harapan?

12 Nubuat-nubuat tentang pemulihan bukan sekadar merujuk kepada pemulihan rohani. Contohnya, Yesaya menulis tentang waktunya apabila orang yang sakit, tempang, buta, dan pekak akan disembuhkan, dan bahkan kematian juga akan dilenyapkan buat selama-lamanya. (Yesaya 25:8; 35:1-7) Nubuat-nubuat ini tidak menjadi kenyataan secara harfiah pada zaman Israel kuno. Biarpun nubuat-nubuat ini menjadi kenyataan secara rohani dewasa ini, kita dapat yakin bahawa nubuat-nubuat ini akan menjadi kenyataan secara harfiah dan dalam skala yang lebih besar pada masa depan. Apakah yang membuat kita yakin akan hal ini?

13 Semasa di Taman Eden, Yehuwa menyatakan bahawa Dia ingin bumi didiami oleh manusia yang gembira, sihat, dan suka akan kedamaian. Mereka akan menjaga bumi dan semua makhluk hidup serta menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus. (Kejadian 1:28) Tetapi keadaan dewasa ini jauh berbeza daripada apa yang dikehendaki oleh Tuhan. Biarpun begitu, Yehuwa masih akan melaksanakan kehendak-Nya itu. (Yesaya 55:10, 11) Dia telah melantik Yesus untuk menjadi raja, dan Yesus akan menjadikan bumi ini sebuah firdaus.​—Lukas 23:43.

14, 15. (a) Bagaimanakah Yehuwa akan “menjadikan semuanya baharu”? (b) Gambarkan bagaimana keadaan di firdaus kelak. Apakah yang akan anda paling nikmati?

14 Bayangkan perasaan anda jika anda berpeluang melihat seluruh bumi diubah menjadi sebuah firdaus! Berkenaan masa itu, Yehuwa berfirman, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.” (Wahyu 21:5) Hal ini bermaksud bahawa selepas Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk membinasakan sistem dunia Syaitan, kita akan menikmati “langit baharu dan bumi baharu.” “Langit baharu” merujuk kepada sebuah pemerintahan yang baharu dari syurga. “Bumi baharu” pula merujuk kepada sebuah masyarakat yang baharu di bumi yang terdiri daripada orang yang mengasihi Yehuwa dan yang melakukan kehendak-Nya. (2 Petrus 3:13) Syaitan dan roh-roh jahatnya akan ‘dibuang ke dalam jurang yang dalam.’ (Wahyu 20:3) Buat kali pertama selepas ribuan tahun, manusia akan dibebaskan daripada pengaruh jahat Syaitan. Sudah pasti hal ini akan melegakan hati kita.

15 Akhirnya tujuan asal Yehuwa bagi manusia akan menjadi kenyataan. Sebenarnya bumi mempunyai kemampuan semula jadi untuk memulihkan apa yang dirosakkan oleh manusia. Contohnya, tasik dan sungai yang tercemar akan menjadi bersih jika sumber pencemarannya disingkirkan. Tanah yang rosak akibat peperangan juga akan kembali seperti sediakala jika peperangan berhenti. Kita pasti berasa sukacita kerana dapat bekerjasama untuk menjadikan bumi sebuah taman yang indah, yang dipenuhi dengan beraneka jenis tumbuhan dan haiwan. Manusia tidak akan melenyapkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan dengan sesuka hati. Kita akan menikmati kedamaian dengan semua ciptaan di bumi sehingga anak kecil pun tidak perlu takut kepada binatang buas.​—Yesaya 9:6, 7; 11:1-9.

16. Bagaimanakah kita masing-masing akan merasai kuasa pemulihan Yehuwa di firdaus?

16 Kita juga akan merasai kuasa pemulihan Yehuwa secara peribadi. Selepas Armagedon, orang yang terselamat akan disembuhkan secara mukjizat. Yesus akan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Tuhan untuk menyembuhkan orang. Yang buta akan dapat melihat, yang pekak akan dapat mendengar, yang tempang akan dapat berjalan, dan yang sakit akan menjadi sihat semula. (Matius 15:30) Yang tua pula akan menjadi bertenaga dan sihat seperti orang muda. (Ayub 33:25) Kedut-kedut akan hilang, dan otot-otot yang lemah akan menjadi kuat. Semua akibat buruk dosa akan hilang secara beransur-ansur. Pada masa itu, kita pasti amat bersyukur kepada Yehuwa! Tetapi sekarang marilah kita berfokus kepada satu aspek pemulihan ini.

Yang Mati Akan Hidup Semula

17, 18. (a) Mengapakah Yesus menegur orang Saduki? (b) Apakah yang menggerakkan Elia untuk memohon Yehuwa supaya membangkitkan seorang anak kecil?

17 Pada abad pertama Masihi, sebilangan pemimpin agama yang dipanggil Saduki tidak percaya akan pembangkitan. Maka Yesus menegur mereka dengan berkata, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan.” (Matius 22:29) Ya, Ayat-Ayat Suci menunjukkan bahawa Yehuwa dapat membangkitkan orang mati.

18 Bayangkan apa yang berlaku pada zaman Elia. Anak tunggal kepada seorang balu telah jatuh sakit dan mati. Elia, yang pernah menjadi tetamu di rumah balu itu selama beberapa waktu, pasti sangat terkejut. Sebelum ini, dia telah menyelamatkan balu itu dan anaknya daripada kebuluran. Barangkali dia akrab dengan anak kecil itu. Balu itu patah hati kerana anaknya ialah satu-satunya orang yang dapat mengingatkannya tentang suaminya. Dia mungkin berharap agar anak itu akan menjaganya apabila dia tua nanti. Tetapi sekarang, dia takut dan menyangka bahawa dia sedang dihukum kerana dosa lampaunya. Elia tidak sampai hati melihat tragedi ini. Maka dengan lembut, dia mengambil mayat anak itu dari pangkuan ibunya lalu membawanya ke dalam bilik. Kemudian dia memohon Yehuwa untuk menghidupkan semula anak itu.​—1 Raja-Raja 17:8-21.

19, 20. (a) Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia beriman bahawa Yehuwa dapat membangkitkan orang? Apakah dasar kepercayaannya itu? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati iman Elia?

19 Elia bukanlah orang pertama yang percaya akan pembangkitan. Berabad-abad sebelum itu, Abraham juga percaya bahawa Yehuwa dapat membangkitkan orang mati. Mengapa? Hal ini demikian kerana sewaktu dia berusia 100 tahun dan Sara berusia 90 tahun, Yehuwa memulihkan keupayaan mereka untuk menghasilkan zuriat. Hasilnya Sara melahirkan seorang anak lelaki, Ishak. (Kejadian 17:17; 21:2, 3) Kemudian, selepas Ishak menjadi dewasa, Yehuwa meminta Abraham untuk mengorbankan Ishak. Abraham mematuhi Yehuwa kerana dia yakin bahawa Yehuwa dapat menghidupkan semula anaknya. (Ibrani 11:17-19) Itulah sebabnya sebelum Abraham naik ke gunung untuk mempersembahkan anaknya sebagai korban, dia memberitahu para hambanya bahawa mereka akan kembali bersama.​—Kejadian 22:5.

“Lihatlah, anak lelakimu sudah hidup”!

20 Ishak tidak dikorbankan, maka dia tidak perlu dibangkitkan. Tetapi bagaimana pula dengan anak balu itu yang sudah mati? Yehuwa memberkati iman Elia dengan membangkitkan anak itu. Kemudian Elia membawa anak itu kepada ibunya dan berkata, “Lihatlah, anak lelakimu sudah hidup”!​—1 Raja-Raja 17:22-24.

21, 22. (a) Mengapakah Bible mencatatkan kisah-kisah pembangkitan? (b) Di firdaus, siapakah yang akan dibangkitkan? Siapakah yang akan membangkitkan mereka?

21 Inilah catatan Bible yang pertama mengenai pembangkitan orang mati. Pada kemudian hari, Yehuwa juga memberikan kuasa kepada Elisa, Yesus, Paulus, dan Petrus untuk membangkitkan orang. Meskipun orang yang telah dibangkitkan akhirnya mati, catatan-catatan pembangkitan ini memberi kita gambaran tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

22 Di firdaus, Yesus akan membangkitkan jutaan orang mati dan memberi mereka peluang untuk hidup selama-lamanya. (Yohanes 5:28, 29; 11:25) Bayangkanlah suasananya apabila sahabat handai dan sanak saudara yang telah dipisahkan oleh kematian dapat bersua semula! Ya, umat manusia akan memuji Yehuwa kerana kuasa pemulihan-Nya.

23. Apakah jaminan yang telah diberikan oleh Yehuwa? Bagaimanakah hal ini menguatkan keyakinan kita terhadap kuasa Yehuwa untuk membangkitkan orang?

23 Selain itu, Yehuwa memberi kita jaminan bahawa pembangkitan pasti akan berlaku dengan membangkitkan Anak-Nya, Yesus. Yesus telah dibangkitkan sebagai makhluk roh yang perkasa dan diberi kedudukan tertinggi antara semua ciptaan Yehuwa. Lagipun setelah dia dibangkitkan, dia menampakkan dirinya kepada ratusan orang. (1 Korintus 15:5, 6) Maka kita dapat yakin bahawa Yehuwa memang mempunyai kuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati.

24. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan membangkitkan orang mati? Apakah harapan kita?

24 Yehuwa bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk membangkitkan orang mati, Dia bahkan juga mempunyai hasrat untuk berbuat demikian. Ayub berkata bahawa Yehuwa sangat rindu akan orang yang telah mati. (Ayub 14:15) Tidakkah anda tertarik kepada Tuhan kita yang begitu ingin menggunakan kuasa-Nya dalam cara yang pengasih? Tetapi ingatlah bahawa pembangkitan hanyalah salah satu aspek kerja pemulihan yang akan dijalankan oleh Yehuwa. Semoga anda terus menghampiri Yehuwa dan menantikan masanya apabila semuanya menjadi baharu.​—Wahyu 21:5.

a ‘Masanya untuk memulihkan semua perkara’ bermula semasa Kerajaan Mesias ditubuhkan. Yehuwa telah berjanji kepada Daud bahawa salah seorang keturunannya akan memerintah buat selama-lamanya. (Mazmur 89:35-37) Tetapi selepas Babilon memusnahkan Yerusalem pada tahun 607 Sebelum Masihi, tidak ada keturunan Daud yang memerintah sebagai wakil Tuhan di bumi. Yesus, yang dilahirkan di bumi sebagai pewaris takhta Daud, menjadi raja yang telah dijanjikan itu semasa dia ditabalkan di syurga.

b Misalnya, Musa, Yesaya, Yeremia, Yehezkiel, Hosea, Yoel, Amos, Obaja, Mikha, dan Zefanya telah bernubuat tentang hal ini.