CERITA 52
Gideon dan 300 Orang Askarnya
BOLEHKAH adik nampak apa yang sedang berlaku di sini? Semua lelaki yang berada di sini ialah askar Israel. Mereka yang membongkokkan badan sedang meminum air. Lelaki yang berdiri berdekatan mereka ialah Hakim Gideon. Dia sedang memerhatikan cara mereka minum air.
Perhatikan pelbagai cara yang digunakan oleh mereka untuk minum air. Beberapa orang askar sedang berlutut dengan muka mereka dekat pada permukaan air. Tetapi seorang lelaki sedang mengambil air dengan menggunakan tangannya. Dia berbuat demikian supaya dia dapat melihat apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Hal ini adalah penting kerana Yehuwa telah menyuruh Gideon untuk memilih askar-askar yang meminum air sambil memerhatikan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Tuhan memberitahu Gideon bahawa semua lelaki yang lain patut disuruh pulang ke rumah masing-masing. Marilah kita lihat mengapa Tuhan berkata sedemikian.
Sekali lagi, orang Israel menghadapi banyak kesukaran kerana mereka tidak mematuhi kata-kata Yehuwa. Orang Midian telah menjadi semakin berkuasa dan memperlakukan mereka dengan kejam. Maka, orang Israel berdoa kepada Yehuwa untuk meminta bantuan, dan Yehuwa mendengar doa mereka.
Yehuwa menyuruh Gideon mengumpulkan sepasukan askar. Maka Gideon mengumpulkan 32,000 orang askar dari Israel. Tetapi musuh Israel berjumlah 135,000 orang. Namun begitu, Yehuwa memberitahu Gideon, “Bilangan askarmu adalah terlalu banyak.” Mengapakah Yehuwa berkata sedemikian?
Hal ini adalah kerana jika orang Israel menang dalam perang itu, mereka mungkin berfikir bahawa mereka telah menang atas kekuatan sendiri. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka tidak memerlukan bantuan Yehuwa. Maka, Yehuwa memberitahu Gideon, “Sesiapa yang berasa takut harus pulang ke rumahnya.” Selepas Gideon menyampaikan perintah ini, 22,000 orang askar Israel pulang ke rumah masing-masing. Jadi, terdapat 10,000 orang askar Israel sahaja yang tinggal untuk melawan 135,000 orang askar Midian!
Tetapi, dengarlah kata-kata Yehuwa yang seterusnya, “Bilangan askarmu masih terlalu banyak.” Maka Dia menyuruh Gideon meminta askar-askarnya minum air di anak sungai ini. Askar-askar yang meminum air dengan muka mereka dekat pada permukaan air disuruh pulang. Tuhan berjanji kepada Gideon, “Aku akan memberi engkau kemenangan dengan 300 orang askarmu yang minum sambil memerhatikan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.”
Masa pertempuran sudah tiba. Gideon membahagikan 300 orang askarnya kepada tiga kumpulan. Dia memberi setiap askar sebuah trompet tanduk dan sebuah bekas tembikar yang mengandungi obor. Sekitar tengah malam, mereka berkumpul di sekeliling khemah musuh mereka. Kemudian, mereka meniup trompet tanduk masing-masing dan memecahkan bekas tembikar mereka lalu menjerit bersama-sama, “Pedang Yehuwa dan pedang Gideon!” Apabila askar-askar musuh terjaga daripada tidur, mereka berasa takut dan keliru. Mereka semua cabut lari dan orang Israel menang dalam pertempuran itu.