BAB 3
Carilah Sahabat yang Mengasihi Tuhan
“Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.”—AMSAL 13:20.
1-3. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada Amsal 13:20? (b) Mengapakah kita harus memilih sahabat yang baik?
SEORANG bayi selalu memerhatikan apa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Bayi ibarat kapas yang akan menyerap apa-apa sahaja di sekelilingnya. Apabila bayi itu membesar, dia akan mengikut gerak-geri ibu bapanya. Demikian juga, orang dewasa mudah mengikut sikap dan perbuatan kawan rapat mereka.
2 Amsal 13:20 menyatakan, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.” Ungkapan “bergaul dengan” boleh membawa maksud meluangkan banyak masa dengan seseorang kerana kita mengasihinya. Tidakkah anda bersetuju bahawa kita cenderung meniru orang yang kita kasihi, terutamanya jika kita meluangkan banyak masa dengan mereka?
3 Sahabat kita dapat mempengaruhi kita untuk berbuat baik atau jahat. Amsal 13:20 menyambung, “Orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” Sahabat yang mengasihi Yehuwa akan menggalakkan kita untuk terus setia kepada-Nya. Untuk membantu kita memilih sahabat yang baik, marilah kita melihat bagaimana Yehuwa memilih sahabat-Nya.
SAHABAT YEHUWA
4. Mengapakah persahabatan dengan Yehuwa merupakan penghormatan yang terbesar? Mengapakah Yehuwa memanggil Abraham “sahabat-Ku”?
4 Meskipun Yehuwa ialah pemerintah alam semesta, Dia memberi manusia peluang untuk menjadi sahabat-Nya. Persahabatan dengan-Nya merupakan penghormatan yang terbesar. Maka tidak hairanlah Yehuwa memilih sahabat-Nya dengan teliti. Dia memilih orang yang mengasihi-Nya dan beriman kepada-Nya, seperti Abraham. Abraham rela melakukan apa sahaja demi Tuhan. Sepanjang hidupnya, Abraham membuktikan bahawa dia setia dan patuh kepada Tuhan. Dia bahkan sanggup mempersembahkan anaknya sebagai korban kerana dia percaya bahawa ‘Tuhan dapat membangkitkan anaknya daripada kematian.’ (Ibrani 11:17-19; Kejadian 22:1, 2, 9-13) Ya, Yehuwa memanggil Abraham “sahabat-Ku” kerana Abraham setia dan patuh kepada-Nya.—Yesaya 41:8; Yakobus 2:21-23.
5. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang yang setia kepada-Nya?
5 Yehuwa mengasihi mereka yang mengasihi-Nya, mematuhi-Nya, mengutamakan-Nya, dan setia kepada-Nya. (Baca 2 Samuel 22:26.) Bible menyatakan bahawa Tuhan “akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.” (Amsal 3:32) Yehuwa menjemput sahabat-Nya untuk menjadi tetamu di ‘khemah-Nya.’ Ya, Dia menjemput mereka untuk menyembah-Nya dan berdoa kepada-Nya pada bila-bila masa sahaja.—Mazmur 15:1-5.
6. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengasihi Yesus?
6 Yesus berkata, “Sesiapa yang mengasihi aku akan mematuhi ajaranku. Bapaku akan mengasihinya.” (Yohanes 14:23) Maka untuk menjadi sahabat Yehuwa, kita perlu mengasihi Yesus dan mematuhi ajarannya. Sebagai contoh, kita mematuhi perintah Yesus untuk menginjil dan menjadikan orang muridnya. (Matius 28:19, 20; Yohanes 14:15, 21) Kita juga “mengikut jejaknya dengan teliti.” (1 Petrus 2:21) Yehuwa gembira apabila kita meniru teladan Anak-Nya.
7. Mengapakah kita harus memilih sahabat yang mengasihi Yehuwa?
7 Sahabat Yehuwa setia dan patuh kepada-Nya. Mereka juga mengasihi Anak-Nya. Adakah kita memilih sahabat yang mempunyai sifat sebegini? Jika sahabat kita meniru teladan Yesus dan rajin menginjil, mereka dapat membantu kita memupuk sifat yang baik dan tetap setia kepada Yehuwa.
BELAJAR DARIPADA CONTOH DALAM BIBLE
8. Apakah yang anda suka tentang persahabatan antara Rut dengan Naomi?
8 Bible mengandungi banyak contoh tentang persahabatan yang baik. Contohnya, persahabatan antara Rut dengan Naomi. Naomi jauh lebih tua daripada Rut, dan mereka juga mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi mereka dapat menjadi sahabat baik kerana mereka mengasihi Yehuwa. Semasa Naomi hendak pulang ke Israel, “Rut enggan meninggalkan ibu mentuanya.” Dia memberitahu Naomi, “Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang mak sembah, akan saya sembah juga.” (Rut 1:14, 16) Kemudian apabila mereka tiba di Israel, Rut bekerja keras untuk menjaga keperluan Naomi. Rut sangat baik terhadap Naomi, dan Naomi pula sangat mengasihi Rut dan memberinya nasihat yang baik. Rut mengikut nasihatnya dan mereka berdua mendapat berkat yang melimpah.—Rut 3:6.
9. Apakah yang anda suka tentang persahabatan antara Daud dengan Yonatan?
9 Satu lagi contoh persahabatan yang baik ialah persahabatan antara Daud dengan Yonatan. Mereka berdua setia kepada Yehuwa. Yonatan berusia kira-kira 30 tahun lebih tua daripada Daud, dan selepas Saul mati, dialah yang sepatutnya menjadi raja Israel. (1 Samuel 17:33; 31:2; 2 Samuel 5:4) Tetapi apabila dia mengetahui bahawa Yehuwa telah memilih Daud untuk menjadi raja, dia tidak cemburu. Sebaliknya dia menyokong Daud. Semasa nyawa Daud terancam, dia “menguatkan keyakinan Daud terhadap Yehuwa.” Dia bahkan sanggup mati demi Daud. (1 Samuel 23:16, 17) Daud juga setia kepada Yonatan. Dia berjanji untuk menjaga keluarga Yonatan dan dia tetap menepati janjinya bahkan selepas Yonatan mati.—1 Samuel 18:1; 20:15-17, 30-34; 2 Samuel 9:1-7.
10. Apakah yang anda pelajari tentang persahabatan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego?
10 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego ialah tiga orang pemuda Ibrani yang dipisahkan daripada keluarga mereka dan dibawa ke Babilon sebagai tawanan. Biarpun mereka masih muda, mereka membantu satu sama lain untuk tetap setia kepada Yehuwa. Apabila mereka menjadi dewasa, iman mereka diuji semasa raja menyuruh mereka untuk menyembah patung emas. Tetapi dengan berani, mereka memberitahu raja, ‘Kami tidak akan menyembah dewa dewi tuanku ataupun patung emas yang tuanku dirikan.’ Ya, semasa iman mereka diuji, mereka tetap setia kepada Yehuwa.—Daniel 1:1-17; 3:12, 16-28.
11. Bagaimanakah Paulus dan Timotius menjadi sahabat baik?
11 Semasa Paulus berjumpa dengan Timotius, dia nampak bahawa Timotius mengasihi Yehuwa dan mengambil berat tentang orang di sidangnya. Maka dia melatih Timotius untuk membantu saudara saudari di sidang-sidang yang lain. (Kisah 16:1-8; 17:10-14) Timotius begitu rajin sehingga Paulus berkata, “Dia bekerja keras bersama aku untuk menyebarkan berita baik.” Paulus tahu bahawa Timotius “benar-benar mengambil berat” tentang saudara saudarinya. Semasa mereka berdua berkhidmat kepada Yehuwa, mereka menjadi sahabat baik.—Filipi 2:20-22; 1 Korintus 4:17.
CARA MEMILIH SAHABAT YANG BAIK
12, 13. (a) Mengapakah kita mesti memilih sahabat dengan teliti bahkan di sidang? (b) Mengapakah Paulus memberikan amaran di 1 Korintus 15:33?
12 Saudara saudari kita datang daripada pelbagai latar belakang, dan kita dapat belajar daripada satu sama lain. Kita mahu saling membantu untuk tetap setia kepada Tuhan. (Baca Roma 1:11, 12.) Tetapi bahkan di sidang pun, kita mesti memilih sahabat dengan teliti. Sesetengah orang di sidang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menjadi matang secara rohani, sepertimana sesetengah buah mengambil masa yang lebih lama untuk menjadi masak. Namun, kita patut sentiasa bersabar dan mengasihi satu sama lain.—Roma 14:1; 15:1; Ibrani 5:12–6:3.
13 Kadangkala masalah yang besar mungkin timbul di sidang, dan kita perlu berhati-hati. Misalnya, seorang saudara atau saudari mungkin melanggar hukum Tuhan, atau suka bersungut-sungut sehingga merosakkan perpaduan sidang. Hal ini tidak menghairankan kita kerana sidang-sidang pada abad pertama pun pernah menghadapi masalah yang sama. Itulah sebabnya Paulus memberikan amaran berikut kepada mereka: “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:12, 33) Paulus juga mengingatkan Timotius bahawa dia harus memilih sahabatnya dengan cermat. Hari ini, kita pun perlu berbuat demikian.—Baca 2 Timotius 2:20-22.
14. Bagaimanakah sahabat kita dapat mempengaruhi persahabatan kita dengan Yehuwa?
14 Persahabatan kita dengan Yehuwa sangat berharga. Maka kita tidak mahu bersahabat dengan orang yang akan melemahkan iman kita dan menjejaskan persahabatan itu. Sepertimana kapas yang diletakkan di dalam cuka akan menyerap cuka, kita juga akan turut terpengaruh untuk berbuat jahat jika kita bersahabat dengan orang yang berbuat jahat. Oleh itu, kita harus memilih sahabat kita dengan cermat.—1 Korintus 5:6; 2 Tesalonika 3:6, 7, 14.
15. Bagaimanakah anda dapat mencari sahabat di sidang?
15 Di sidang, anda dapat mencari kawan yang mengasihi Yehuwa. (Mazmur 133:1) Janganlah berkawan dengan orang yang sebangsa atau seumur dengan anda sahaja. Ingatlah bahawa Yonatan jauh lebih tua daripada Daud, dan Rut jauh lebih muda daripada Naomi. Kita mahu mengikut nasihat Bible berikut: “Bukalah hati kamu lebar-lebar.” (2 Korintus 6:13; baca 1 Petrus 2:17.) Jika kita meniru teladan Yehuwa, orang lain akan tertarik untuk menjadi sahabat kita.
APABILA MASALAH TIMBUL
16, 17. Jika seseorang di sidang menyinggung perasaan kita, apakah yang tidak patut kita lakukan?
16 Ahli sidang adalah seperti ahli keluarga yang mempunyai keperibadian dan pendapat yang berbeza-beza. Hal ini membuat sidang lebih menarik, dan kita dapat belajar daripada satu sama lain. Tetapi ada kalanya perselisihan faham mungkin timbul, dan kita mungkin tersinggung atau berasa sakit hati. (Amsal 12:18) Patutkah kita berasa tawar hati atau menjauhkan diri daripada sidang apabila hal ini berlaku?
17 Tidak. Meskipun kita berasa kecewa, kita tidak akan menjauhkan diri daripada sidang. Hal ini demikian kerana bukannya Yehuwa yang melukai hati kita. Yehuwa telah memberi kita nyawa dan segala-galanya, maka Dia layak menerima kasih dan kesetiaan kita. (Wahyu 4:11) Sidang juga merupakan pemberian daripada Yehuwa untuk menguatkan iman kita. (Ibrani 13:17) Kita tidak patut menolak pemberian itu semata-mata kerana seseorang telah menyinggung perasaan kita.—Baca Mazmur 119:165.
18. (a) Apakah yang membantu kita memelihara hubungan yang baik dengan saudara saudari kita? (b) Mengapakah kita harus mengampuni orang lain?
18 Kita mengasihi saudara saudari kita dan mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka. Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada mereka, dan kita juga tidak patut berbuat demikian. (Amsal 17:9; 1 Petrus 4:8) Kita semua berbuat salah, tetapi kasih akan membantu kita untuk “mengampuni dengan rela hati.” (Kolose 3:13) Jika kita asyik bertumpu kepada kesalahan orang lain, kita akan terus berasa geram dan menaruh dendam. Jika kita menaruh dendam, kita akan melukai diri sendiri dan hilang ketenangan minda. Sebaliknya jika kita sudi memaafkan orang lain, kita akan menikmati ketenangan hati dan fikiran. Selain itu, kedamaian di sidang akan terpelihara, dan yang terpenting, hubungan kita dengan Yehuwa tidak akan terjejas.—Matius 6:14, 15; Lukas 17:3, 4; Roma 14:19.
APABILA SESEORANG DISINGKIRKAN
19. Bilakah kita harus memutuskan persahabatan dengan seseorang di sidang?
19 Dalam sebuah keluarga, setiap ahli keluarga harus memainkan peranan masing-masing agar mereka dapat hidup dengan bahagia. Tetapi bayangkan jika salah seorang ahli keluarga mula memberontak. Setiap orang dalam keluarganya cuba membantunya berkali-kali, tetapi dia terus berdegil. Barangkali dia akan meninggalkan rumahnya atau ketua keluarga mungkin menyuruh dia untuk meninggalkan rumah. Demikian juga, seseorang di sidang mungkin asyik melakukan hal-hal yang melanggar hukum Yehuwa atau yang merosakkan kerohanian ahli sidang yang lain. Dia berdegil dan tidak mahu mengubah sikapnya. Akhirnya dia mungkin membuat keputusan untuk meninggalkan sidang atau dia mungkin disingkirkan dari sidang. Jika hal ini berlaku, Bible menyatakan bahawa kita tidak boleh bergaul dengannya lagi. (Baca 1 Korintus 5:11-13; 2 Yohanes 9-11) Hal ini mungkin susah bagi kita jika dia ialah kawan atau ahli keluarga kita. Tetapi ingatlah bahawa kesetiaan kepada Yehuwa lebih penting daripada kesetiaan kepada manusia.—Lihat Penjelasan 8.
20, 21. (a) Bagaimanakah aturan penyingkiran memperlihatkan kasih Yehuwa? (b) Mengapakah kita harus memilih sahabat dengan bijak?
20 Aturan penyingkiran memperlihatkan kasih Yehuwa. Aturan ini melindungi ahli sidang daripada orang yang sengaja melanggar hukum Yehuwa. (1 Korintus 5:7; Ibrani 12:15, 16) Aturan ini memberikan peluang kepada kita untuk menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa, menjunjung nama suci-Nya, dan menghormati piawaian-Nya. (1 Petrus 1:15, 16) Aturan ini juga menunjukkan kasih Yehuwa kepada orang yang disingkirkan. Disiplin yang tegas ini dapat membantunya untuk sedar bahawa dia harus berhenti berbuat dosa dan bertaubat. Sebenarnya banyak orang yang disingkirkan telah kembali kepada Yehuwa dan dialu-alukan dengan ramah oleh saudara saudari di sidang.—Ibrani 12:11.
21 Sesungguhnya sahabat kita dapat mempengaruhi kita. Maka kita harus memilih sahabat dengan bijak. Jika kita bersahabat dengan orang yang dikasihi Yehuwa, kita akan dikelilingi oleh sahabat yang dapat membantu kita untuk tetap setia kepada Yehuwa buat selama-lamanya.