BAB 6
Cara untuk Memilih Hiburan yang Sihat
“Lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.”—1 KORINTUS 10:31.
1, 2. Mengapakah kita harus memilih hiburan dengan cermat?
BAYANGKAN anda ingin memakan sebiji buah tetapi anda mendapati bahawa sebahagian daripadanya sudah rosak. Apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan memakan seluruh buah itu, membuang buah itu, atau membuang bahagian yang rosak dan memakan bahagian yang elok?
2 Hiburan boleh disamakan dengan buah itu. Ada hiburan yang baik, dan ada juga hiburan yang buruk, atau “rosak,” kerana mengandungi unsur seks, keganasan, atau spiritisme. Maka jika anda ingin menikmati hiburan, apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan berkata, “Ini pilihan peribadi saya. Saya boleh buat sesuka hati”? Atau, adakah anda menghindari semua hiburan? Atau, adakah anda menghindari hiburan yang buruk dan menikmati hiburan yang sihat?
3. Apakah soalan yang harus kita fikirkan?
3 Kita semua memerlukan rekreasi dan hiburan, dan kita mahu membuat pilihan dengan bijak. Maka kita harus menanya diri, “Bagaimanakah hiburan yang saya pilih mempengaruhi ibadat saya kepada Yehuwa?”
“LAKUKANLAH SEMUANYA UNTUK MEMULIAKAN TUHAN”
4. Apakah satu prinsip Bible yang dapat membantu kita semasa memilih hiburan?
4 Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berjanji bahawa kita akan menggunakan hidup kita untuk berkhidmat kepada-Nya. (Baca Pengkhutbah 5:4.) Kita berjanji akan ‘melakukan semuanya untuk memuliakan Tuhan.’ (1 Korintus 10:31) Hal ini bermaksud bahawa semua aspek kehidupan kita, termasuk hiburan yang kita pilih, haruslah memuliakan Tuhan.
5. Apakah yang harus kita lakukan agar ibadat kita diterima oleh Yehuwa?
5 Berkenaan ibadat kita kepada Yehuwa, Paulus berkata, ‘Persembahkanlah tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan.’ (Roma 12:1) Yesus berkata, ‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa dengan segenap hati, segenap jiwa, segenap akal, dan segenap kekuatan.’ (Markus 12:30) Ya, kita mahu memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Pada zaman Israel kuno, korban yang mempunyai kecacatan tidak diterima oleh Yehuwa. (Imamat 22:18-20) Dalam cara yang sama, ibadat seorang Kristian mungkin ditolak oleh Yehuwa. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?
6, 7. Bagaimanakah hiburan kita dapat mempengaruhi penyembahan kita kepada Yehuwa?
6 Yehuwa berfirman, “Kamu mesti suci, kerana Aku suci.” (1 Petrus 1:14-16; 2 Petrus 3:11) Yehuwa hanya akan menerima penyembahan yang suci, atau bersih. (Ulangan 15:21) Dia tidak akan menerima penyembahan kita jika kita melakukan hal-hal yang tidak bermoral, ganas, dan yang ada kaitan dengan roh-roh jahat. (Roma 6:12-14; 8:13) Jika kita suka hiburan yang mengandungi unsur-unsur seperti itu, Yehuwa mungkin tidak akan menerima penyembahan kita dan hubungan kita dengan-Nya juga akan rosak.
7 Maka, bagaimanakah kita dapat memilih hiburan dengan bijak? Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu kita?
BENCILAH APA YANG JAHAT
8, 9. Apakah hiburan yang mesti dijauhi oleh orang Kristian, dan mengapa?
8 Terdapat banyak hiburan dewasa ini. Ada hiburan yang sesuai untuk orang Kristian dan ada yang tidak. Sekarang mari kita membincangkan hiburan yang mesti dijauhi oleh orang Kristian.
9 Banyak filem, laman web, rancangan TV, permainan video, dan lagu, mengandungi unsur spiritisme, keganasan, dan perbuatan yang tidak bermoral. Dunia hiburan membuat hal-hal yang jahat kelihatan baik dan lucu. Jadi orang Kristian harus berhati-hati dan menghindari hiburan yang dibenci oleh Tuhan. (Kisah 15:28, 29; 1 Korintus 6:9, 10) Dengan menolak hiburan yang tidak sihat, kita membuktikan kepada Yehuwa bahawa kita benar-benar membenci apa yang jahat.—Mazmur 34:14; Roma 12:9.
10. Apakah yang akan berlaku jika seseorang asyik menonton hiburan yang tidak sihat?
10 Tetapi ada orang berfikir, “Saya cuma menonton hiburan yang tidak sihat, tetapi saya tidak akan melakukannya.” Fikiran sedemikian amat bahaya kerana Bible memberitahu kita, “Hati manusia nekad dan lebih licik daripada segala-galanya.” (Yeremia 17:9) Jika kita menikmati hiburan yang dikutuk oleh Yehuwa, adakah kita benar-benar membenci apa yang jahat? Sebenarnya jika kita asyik mendedahkan diri kita kepada perbuatan yang salah, hati nurani kita akan menjadi tidak peka dan akhirnya tidak berfungsi sama sekali.—Mazmur 119:70; 1 Timotius 4:1, 2.
11. Bagaimanakah Galatia 6:7 dapat membantu kita?
11 Bible menyatakan, “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.” (Galatia 6:7) Jika kita selalu menonton hiburan yang tidak sihat, kita akan dipengaruhi untuk berbuat salah. Sebagai contoh, sesetengah orang Kristian melakukan perbuatan yang tidak bermoral kerana dipengaruhi oleh hiburan yang tidak bermoral. Jadi bagaimanakah kita dapat memilih hiburan yang sihat?
MEMBUAT KEPUTUSAN BERDASARKAN PRINSIP BIBLE
12. Apakah yang dapat membantu kita untuk membuat keputusan yang bijak dalam soal hiburan?
12 Kita memang patut menjauhi hiburan yang dibenci oleh Yehuwa. Tetapi bagaimana pula jika kita tidak pasti sama ada sesuatu hiburan sesuai untuk kita atau tidak? Yehuwa tidak memberi kita senarai peraturan yang harus diikuti. Sebaliknya, Dia mahu kita menggunakan hati nurani kita yang terlatih untuk membuat keputusan sendiri. (Baca Galatia 6:5.) Dia memberi kita prinsip-prinsip Bible yang mengajar kita tentang pandangan-Nya. Prinsip-prinsip ini dapat membantu kita “memahami kehendak Yehuwa” agar kita dapat membuat keputusan yang bijak.—Efesus 5:17.
13. Mengapakah kita membuat keputusan yang berbeza-beza dalam soal hiburan? Tetapi apakah yang harus dilakukan oleh setiap orang?
13 Kita membuat keputusan yang berbeza-beza dalam soal hiburan kerana kita mempunyai minat yang berbeza. Lagipun, hiburan yang boleh diterima oleh seseorang mungkin akan mengganggu hati nurani orang yang lain. Biarpun begitu, setiap orang haruslah membuat keputusan menurut prinsip-prinsip Bible. (Filipi 1:9) Prinsip-prinsip itu akan membantu kita memilih hiburan yang disenangi Tuhan.—Mazmur 119:11, 129; 1 Petrus 2:16.
14. (a) Mengapakah kita perlu berfikir tentang jumlah masa yang kita luangkan untuk hiburan? (b) Apakah nasihat Paulus kepada orang Kristian?
14 Sebagai orang Kristian, kita mahu mengutamakan khidmat kita kepada Yehuwa. (Baca Matius 6:33.) Tetapi, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin menghabiskan terlalu banyak masa untuk hiburan. Paulus menasihati orang Kristian, “Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.” (Efesus 5:15, 16) Ya, kita perlu mengehadkan masa untuk hiburan dan memastikan bahawa kita mengutamakan ibadat kita.—Filipi 1:10.
15. Bagaimanakah kita dapat melindungi diri daripada hiburan yang mungkin akan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa?
15 Tetapi bagaimana pula jika kita masih tidak pasti sama ada sesuatu hiburan diterima oleh Yehuwa atau tidak? Bayangkanlah bahawa anda sedang berjalan di lorong pejalan kaki. Adakah anda akan berjalan sedekat mungkin dengan pinggir jalan raya? Tidak, kerana anda tidak mahu dilanggar kereta. Begitu juga, anda perlu menjauhi hiburan yang tidak sihat. Bible menyatakan, “Berpalinglah daripada apa yang jahat.” (Amsal 4:25-27) Maka kita bukan sahaja menjauhi hiburan yang buruk, kita bahkan juga akan menjauhi apa-apa sahaja hiburan yang mungkin merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.
MEMUPUK PANDANGAN YEHUWA
16. (a) Apakah hal-hal yang dibenci oleh Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita membenci apa yang dibenci oleh-Nya?
16 Pemazmur berkata, “Wahai orang yang mengasihi Yehuwa, bencilah apa yang jahat.” (Mazmur 97:10) Semasa mempelajari Bible, kita dapat memahami fikiran dan perasaan Yehuwa. Contohnya, kita belajar bahawa Yehuwa membenci ‘lidah yang menipu, tangan yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah, hati yang merancang perkara yang keji, dan kaki yang bergegas melakukan kejahatan.’ (Amsal 6:16-19) Kita juga belajar bahawa kita perlu menjauhi ‘perbuatan seks yang tidak bermoral, penyembahan berhala, ilmu sihir, kecemburuan, ledakan kemarahan, perasaan iri hati, kemabukan, pesta liar,’ dan sebagainya. (Galatia 5:19-21) Ya, prinsip-prinsip Bible ini dapat membantu kita memilih hiburan yang sihat, dan kita mahu mematuhinya tidak kira semasa kita bersendirian atau bersama orang lain. (2 Korintus 3:18) Biasanya, hiburan yang kita pilih semasa kita bersendirian menunjukkan sifat kita yang sebenar.—Mazmur 11:4; 16:8.
17. Apakah soalan-soalan yang patut anda fikirkan?
17 Sebelum anda memilih hiburan, tanyalah diri, “Bagaimanakah pilihan saya mempengaruhi hubungan saya dengan Yehuwa? Apakah kesannya atas hati nurani saya?” Marilah kita mempelajari beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita memilih hiburan.
18, 19. (a) Apakah nasihat Paulus kepada orang Kristian? (b) Nyatakan beberapa prinsip Bible yang dapat membantu kita memilih hiburan.
18 Hiburan yang kita pilih akan mempengaruhi fikiran kita. Paulus menulis, ‘Teruslah memikirkan semua perkara yang benar, yang serius, yang diperkenankan Tuhan, yang murni, yang patut dikasihi, yang terhormat, yang baik, dan yang patut dipuji.’ (Filipi 4:8) Jika kita mengisi minda kita dengan perkara-perkara sedemikian, ‘renungan hati dan kata-kata kita pasti akan menyenangkan hati Yehuwa.’—Mazmur 19:14.
19 Tanyalah diri, “Adakah saya mengisi minda saya dengan perkara yang baik? Selepas menonton sesuatu filem atau rancangan TV, adakah saya rasa disegarkan? Adakah hati nurani saya berasa tenang? (Efesus 5:5; 1 Timotius 1:5, 19) Atau adakah saya berasa malu untuk berdoa kepada Yehuwa? Adakah perkara yang ganas dan tidak bermoral muncul dalam fikiran saya? (Matius 12:33; Markus 7:20-23) Adakah saya terpengaruh untuk mengikut sikap dunia ini?” (Roma 12:2) Ya, kita perlu menjauhi hal-hal yang dapat merosakkan persahabatan kita dengan Yehuwa. Kita patut mencontohi pemazmur yang berdoa, “Palingkanlah pandanganku daripada perkara yang sia-sia.” *—Mazmur 119:37.
KEPUTUSAN KITA MEMPENGARUHI ORANG LAIN
20, 21. Mengapakah kita perlu berfikir tentang perasaan orang lain apabila kita memilih hiburan?
20 Paulus memberitahu kita satu lagi prinsip yang penting, “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya menguatkan orang. Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.” (1 Korintus 10:23, 24) Biarpun kita berhak untuk melakukan sesuatu, hal itu tidak bererti bahawa kita patut melakukannya kerana keputusan kita dapat mempengaruhi orang lain.
21 Hati nurani setiap orang berbeza-beza. Contohnya, hati nurani anda mungkin membenarkan anda untuk menonton suatu filem. Tetapi hati nurani orang lain mungkin tidak membenarkannya berbuat demikian. Jadi apakah yang akan anda lakukan? Meskipun anda berhak untuk menonton filem itu, anda mungkin tidak berbuat demikian. Mengapa? Anda tidak mahu ‘berdosa terhadap saudara-saudara anda,’ atau “berdosa terhadap Kristus.” (1 Korintus 8:12) Ya, kita tidak mahu melakukan apa-apa yang akan membuat rakan seiman kita tersandung.—Roma 14:1; 15:1; 1 Korintus 10:32.
22. Apakah sepatutnya reaksi kita terhadap keputusan orang lain?
22 Sebaliknya bagaimana pula jika hati nurani anda tidak membenarkan anda untuk menonton, membaca, atau melakukan sesuatu, tetapi hati nurani orang lain membenarkannya untuk berbuat demikian? Seperti seorang pemandu yang tidak akan memaksa pemandu lain untuk memandu mengikut kelajuannya, anda juga tidak akan memaksa orang lain mengikut keputusan anda. Meskipun anda dan rakan seiman anda mempunyai pandangan yang sedikit berbeza terhadap hiburan, anda berdua masih mengikut prinsip-prinsip Bible.—Pengkhutbah 7:16; Filipi 4:5.
23. Apakah yang akan membantu kita membuat keputusan yang bijak semasa memilih hiburan?
23 Hati nurani yang terlatih dan kasih terhadap saudara saudari akan membantu kita membuat keputusan yang bijak semasa memilih hiburan. Kita pasti akan berasa gembira apabila kita “melakukan semuanya untuk memuliakan Tuhan.”
^ Prinsip-prinsip Bible lain yang dapat membantu kita memilih hiburan: Amsal 3:31; 13:20; Efesus 5:3, 4; dan Kolose 3:5, 8, 20.