Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 12

Ucapkanlah Kata-Kata yang Menguatkan Orang

Ucapkanlah Kata-Kata yang Menguatkan Orang

‘Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu. Sebaliknya, ucapkanlah kata-kata baik yang dapat menguatkan orang.’​—EFESUS 4:29.

1-3. (a) Apakah salah satu pemberian yang kita terima daripada Yehuwa? Bagaimanakah pemberian ini mungkin disalahgunakan? (b) Bagaimanakah pemberian ini sepatutnya digunakan?

 SEORANG bapa memberi anaknya sebuah basikal. Tetapi anak itu menunggang basikalnya dengan cuai lalu mencederakan orang lain. Apakah perasaan bapa itu?

2 Kebolehan bercakap ialah salah satu pemberian daripada Yehuwa. (Yakobus 1:17) Kita dapat menggunakan pemberian ini untuk meluahkan fikiran dan perasaan kita, dan mengucapkan kata-kata yang menggembirakan orang. Malangnya kata-kata kita juga dapat melukai perasaan orang.

3 Yehuwa mahu kita menggunakan pemberian-Nya dengan baik. Dia berfirman, ‘Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu. Sebaliknya, ucapkanlah kata-kata baik yang dapat menguatkan orang, supaya orang yang mendengar akan mendapat manfaat.’ (Efesus 4:29) Maka marilah kita melihat bagaimana kita dapat menggunakan pemberian ini dalam cara yang dapat menyenangkan hati Tuhan dan menggalakkan orang.

FIKIR SEBELUM BERCAKAP

4, 5. Apakah pengajaran yang dapat kita peroleh daripada Amsal?

4 Kata-kata amat berkuasa. Maka kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita katakan dan cara kita mengatakannya. Amsal 15:4 menyatakan, “Kata-kata yang menenangkan bagaikan pokok kehidupan, tetapi kata-kata yang berputar belit mematahkan semangat.” Sebagaimana pokok yang hijau menyegarkan mata orang yang memandang, kata-kata yang baik dapat menyegarkan jiwa orang yang mendengarnya. Kata-kata yang kasar pula dapat melukai perasaan orang.​—Amsal 18:21.

Kata-kata yang lembut menyegarkan jiwa

5 Amsal 12:18 menyatakan, “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang, tetapi kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.” Kata-kata yang kasar dapat merosakkan persahabatan. Barangkali anda masih ingat bagaimana kata-kata seseorang telah melukai hati anda. Tetapi jika kita berfikir sebelum bercakap, kita dapat menyembuhkan hati yang terluka dan memulihkan persahabatan. (Baca Amsal 16:24.) Ya, kata-kata kita dapat mempengaruhi orang lain, maka kita patut berfikir sebelum bercakap.

6. Mengapakah tidak mudah untuk mengawal percakapan kita?

6 Bible menyatakan bahawa orang mengucapkan perkara yang terkandung dalam hati, dan hati manusia cenderung berbuat jahat kerana kita tidak sempurna. (Kejadian 8:21; Lukas 6:45) Maka tidak mudah untuk mengawal percakapan kita. (Baca Yakobus 3:2-4.) Biarpun begitu, kita perlu terus berusaha untuk memperbaik cara kita bercakap.

7, 8. Bagaimanakah kata-kata kita dapat mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa?

7 Cara kita bercakap dapat mempengaruhi persahabatan kita dengan Yehuwa. Yakobus 1:26 menyatakan, “Jika seseorang menganggap dirinya penyembah Tuhan tetapi tidak mengekang lidahnya dengan baik, dia menipu dirinya sendiri dan ibadatnya sia-sia sahaja.” Jadi jika kita tidak berhati-hati semasa bercakap, kita akan merosakkan dan bahkan memusnahkan persahabatan kita dengan Yehuwa.​—Yakobus 3:8-10.

8 Jelaslah bahawa kita patut berhati-hati dengan apa yang kita katakan dan cara kita mengatakannya. Untuk membantu kita bercakap dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa, kita perlu mengetahui percakapan yang perlu dihindari.

KATA-KATA YANG MELEMAHKAN SEMANGAT

9, 10. (a) Dewasa ini, bagaimanakah percakapan kebanyakan orang? (b) Mengapakah kita harus menjauhi kata-kata yang lucah?

9 Banyak orang menggunakan kata-kata yang lucah. Mereka suka menggunakan kata-kata yang tidak sopan untuk meluahkan perasaan mereka. Ada pula yang menggunakan kata-kata yang lucah untuk membuat orang ketawa. Tetapi Paulus berkata, “Kamu mesti menyingkirkan hal-hal ini daripada diri kamu: Perasaan berang, kemarahan, kejahatan, kata-kata hinaan, dan kata-kata lucah, daripada mulut kamu.” (Kolose 3:8) Dia juga menyuruh kita agar tidak ‘menyebut tentang jenaka yang lucah.’​—Efesus 5:3, 4.

10 Yehuwa dan umat-Nya memandang kata-kata yang lucah sebagai sesuatu yang najis. “Kenajisan” ialah salah satu perbuatan yang berdosa. (Galatia 5:19-21) “Kenajisan” merujuk kepada pelbagai jenis kelakuan yang salah, dan satu tabiat yang najis boleh membawa kepada tabiat najis yang lain. Jika seseorang selalu menggunakan kata-kata yang lucah dan dia enggan berubah, dia akan disingkirkan dari sidang.​—2 Korintus 12:21; Efesus 4:19; lihat Penjelasan 23.

11, 12. (a) Apakah maksud mengumpat? (b) Mengapakah kita tidak patut memfitnah orang lain?

11 Kita juga tidak patut mengumpat. Tidak salah untuk berbual tentang orang lain dan berkongsi berita tentang keluarga dan kawan kita. Orang Kristian pada masa awal juga berbuat demikian. (Efesus 6:21, 22; Kolose 4:8, 9) Tetapi perbualan sedemikian mungkin dapat berubah menjadi umpatan. Jika kita mengumpat tentang orang lain, kita mungkin akan bercakap tentang sesuatu yang tidak benar atau mendedahkan hal peribadi orang lain. Jika kita tidak berhati-hati, umpatan senang berubah menjadi fitnah. Contohnya, orang Farisi memfitnah Yesus dengan membuat tuduhan yang palsu tentangnya. (Matius 9:32-34; 12:22-24) Fitnah dapat merosakkan nama baik seseorang, menyebabkan pertengkaran, dan merosakkan persahabatan.​—Amsal 26:20.

12 Syaitan Si Iblis ialah pemfitnah yang pertama, dan dia telah memfitnah Tuhan. (Wahyu 12:9, 10) Dewasa ini, orang suka memfitnah orang lain. Tetapi orang Kristian tidak patut berbuat demikian. (Galatia 5:19-21) Yehuwa mahu kita mengucapkan kata-kata yang menguatkan orang. Dia membenci “sesiapa sahaja yang menyebabkan pertengkaran antara saudara.” (Amsal 6:16-19) Maka kita patut berhati-hati dengan apa yang kita katakan dan selalu berfikir sebelum bercakap. Sebelum anda mengulangi khabar angin tentang seseorang, tanyalah diri, “Adakah hal ini benar, baik, atau menggalakkan? Adakah saya berani mengatakan hal ini jika orang itu ada di sini? Apakah perasaan saya jika orang lain berkata sedemikian tentang saya?”​—Baca 1 Tesalonika 4:11.

13, 14. (a) Apakah kesan kata-kata hinaan terhadap orang lain? (b) Mengapakah orang Kristian patut menjauhi tabiat suka mencaci?

13 Semua orang pernah mengkritik atau bercakap buruk tentang orang lain. Tetapi kita tidak patut menjadikan hal ini suatu kebiasaan. Kita harus menjauhi kata-kata hinaan. Paulus berkata, ‘Buangkanlah segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, dan kata-kata hinaan.’ (Efesus 4:31) “Kata-kata hinaan” juga bererti “kata-kata yang jahat,” “percakapan yang buruk,” dan “kata-kata cacian.” Percakapan sedemikian menjatuhkan maruah orang lain dan membuat mereka berasa tidak berguna. Kanak-kanak terutamanya mudah dilukai, maka kita perlu lebih berhati-hati agar tidak mematahkan semangat mereka dengan percakapan kita.​—Kolose 3:21.

14 Bible juga menyuruh kita menjauhi tabiat suka mencaci. Seseorang yang mempunyai tabiat ini suka menyakiti orang dengan kata-katanya. Jika dia enggan berubah, dia akan disingkirkan dari sidang. (1 Korintus 5:11-13; 6:9, 10) Maka jika kita mahu memelihara hubungan kita dengan Yehuwa dan orang lain, kita patut menghindari kata-kata yang lucah, yang tidak benar, dan yang tidak memperlihatkan kasih.

KATA-KATA YANG MENGUATKAN ORANG

15. Bagaimanakah kita dapat bercakap dalam cara yang menguatkan orang lain?

15 Bible tidak memberitahu kita apa yang patut atau tidak patut dikatakan. Tetapi kita digalakkan untuk ‘mengucapkan kata-kata baik yang dapat menguatkan orang.’ (Efesus 4:29) Kata-kata yang menguatkan orang ialah kata-kata yang sopan, benar, dan memperlihatkan kasih. Yehuwa ingin kita mengucapkan kata-kata yang dapat menggalakkan orang lain. Namun hal ini mungkin mencabar kerana kita cenderung untuk bercakap tanpa berfikir dan mengucapkan kata-kata yang negatif. (Titus 2:8) Maka marilah kita membincangkan cara untuk menguatkan orang melalui kata-kata.

16, 17. (a) Mengapakah kita patut memuji orang? (b) Anda dapat memuji siapa?

16 Yehuwa dan Yesus selalu memuji orang. Kita patut meniru contoh mereka. (Matius 3:17; 25:19-23; Yohanes 1:47) Untuk memberikan pujian yang ikhlas, kita perlu berfikir sebelum bercakap dan benar-benar prihatin terhadap orang. Amsal 15:23 menyatakan, “Alangkah baiknya kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya!” Kita digalakkan apabila orang lain memuji kita dengan ikhlas atau menghargai usaha kita.​—Baca Matius 7:12; lihat Penjelasan 27.

17 Jika anda selalu mencari kebaikan orang, anda dapat memuji mereka dengan ikhlas, dan hal ini dapat menggalakkan mereka. Contohnya, anda dapat memuji orang muda yang mempertahankan kebenaran di sekolah, orang tua yang selalu menginjil, dan saudara saudari yang berusaha menyampaikan tugasan atau memberikan komen. Seorang suami juga patut memberitahu isterinya bahawa dia mengasihi dan menghargai isterinya. (Amsal 31:10, 28) Sepertimana tumbuhan memerlukan air dan cahaya, orang juga memerlukan pujian, khususnya kanak-kanak. Maka carilah peluang untuk memuji orang. Kata-kata pujian dapat membina keberanian dan keyakinan mereka, dan menggalakkan mereka untuk terus berusaha melakukan apa yang benar.

Apa yang kita katakan dan cara kita mengatakannya dapat mempengaruhi orang lain

18, 19. Mengapakah kita perlu berusaha untuk menggalakkan dan melegakan hati orang lain? Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

18 Apabila kita menggalakkan dan melegakan hati orang lain, kita meniru teladan Yehuwa. Dia amat prihatin terhadap orang “yang remuk hati dan rendah hati.” (Yesaya 57:15) Yehuwa mahu kita terus ‘menggalakkan satu sama lain’ dan “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung.” (1 Tesalonika 5:11, 14) Jadi Dia pasti akan menghargai usaha kita untuk berbuat demikian.

19 Bagaimanakah anda dapat membantu seseorang yang tawar hati atau murung? Anda mungkin tidak dapat menyelesaikan masalahnya, tetapi anda boleh menunjukkan keprihatinan anda. Misalnya, anda boleh meluangkan masa bersamanya, membaca satu ayat Bible untuk menggalakkannya, atau berdoa bersamanya. (Mazmur 34:18; Matius 10:29-31) Bercakaplah kepadanya dengan ikhlas, yakinkannya bahawa saudara saudari yang lain mengasihinya.​—Baca Amsal 12:25; 1 Korintus 12:12-26; Yakobus 5:14, 15.

20, 21. Bagaimanakah kita dapat memberikan nasihat dalam cara yang lebih senang diterima?

20 Kita semua tidak sempurna, dan ada masanya kita memerlukan nasihat. Maka kita dapat menguatkan orang lain dengan memberikan nasihat yang baik. Amsal 19:20 menyatakan, “Dengarkanlah nasihat dan terimalah disiplin. Dengan demikian kamu akan menjadi bijaksana kelak.” Bukan penatua sahaja yang perlu menasihati orang lain. Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka. (Efesus 6:4) Saudari yang matang perlu menasihati saudari yang lebih muda. (Titus 2:3-5) Tetapi bagaimanakah kita dapat memberikan nasihat dalam cara yang lebih senang untuk diterima?

21 Semasa memberikan nasihat kepada seseorang, kita perlu menunjukkan bahawa kita benar-benar mengambil berat terhadap orang itu. Kita juga perlu bercakap dalam cara yang memperlihatkan kasih. (Kolose 4:6) Kita patut mendasarkan nasihat kita pada Bible. (2 Timotius 3:16) Biarpun kita tidak memetik ayat Bible secara langsung, semua nasihat kita haruslah berdasarkan prinsip Bible. Kita tidak seharusnya memaksa orang lain menerima pendapat kita, atau memutarbelitkan ayat Bible untuk menyokong pendapat kita sendiri. Semua petunjuk ini dapat membantu kita untuk memberikan nasihat dalam cara yang baik.

22. Bagaimanakah kita patut menggunakan kebolehan untuk bercakap?

22 Kebolehan untuk bercakap ialah pemberian Tuhan, dan kita patut menggunakan kebolehan ini dengan baik. Ingatlah bahawa kata-kata kita dapat menguatkan atau melemahkan semangat orang. Maka marilah kita berusaha untuk bercakap dalam cara yang dapat menguatkan dan menggalakkan orang lain.