Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PELAJARAN 8

Mengapakah Tuhan Membenarkan Kejahatan dan Penderitaan?

Mengapakah Tuhan Membenarkan Kejahatan dan Penderitaan?

1. Bagaimanakah kejahatan bermula?

Tuhan membenarkan manusia memerintah buat seketika untuk membuktikan bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan masalah manusia

Kejahatan bermula apabila Syaitan mengatakan dusta yang pertama. Pada mulanya, Syaitan ialah malaikat yang sempurna, namun “dia tidak berpegang teguh pada kebenaran.” (Yohanes 8:44) Dia menginginkan penyembahan yang sepatutnya diberikan kepada Tuhan sahaja. Syaitan menipu Hawa lalu meyakinkan Hawa untuk mematuhinya dan mengingkari Tuhan. Seperti Hawa, Adam mengingkari Tuhan. Pilihan Adam membawa penderitaan dan kematian.​—Baca Kejadian 3:1-6, 19.

Dengan meyakinkan Hawa untuk mengingkari Tuhan, Syaitan menentang kedaulatan Tuhan, atau hak-Nya untuk memerintah. Kebanyakan manusia menyebelahi Syaitan dan menolak Tuhan sebagai Pemerintah mereka. Maka, Syaitan menjadi “pemerintah dunia ini.”​—Baca Yohanes 14:30; 1 Yohanes 5:19.

2. Adakah ciptaan Tuhan tidak sempurna?

Semua ciptaan Tuhan adalah sempurna. Manusia dan malaikat yang diciptakan Tuhan memiliki kemampuan untuk mematuhi segala hukum-Nya. (Ulangan 32:4, 5) Tuhan memberi kita kebebasan untuk memilih sama ada untuk berbuat baik atau berbuat jahat. Jadi, kita berpeluang menunjukkan kasih kepada Tuhan.​—Baca Yakobus 1:13-15; 1 Yohanes 5:3.

3. Mengapakah Tuhan membenarkan penderitaan berterusan?

Sejak kejadian di Taman Eden, Yehuwa membenarkan pemberontakan terhadap kedaulatan-Nya berterusan hingga hari ini. Mengapa? Dia mahu menunjukkan bahawa hanya pemerintahan-Nya yang dapat memenuhi keperluan manusia. (Pengkhutbah 7:29; 8:9) Apakah hasilnya? Selepas 6,000 tahun sejarah manusia, masih tiada pemerintah yang berjaya menghapuskan peperangan, jenayah, ketidakadilan, atau penyakit.​—Baca Yeremia 10:23; Roma 9:17.

Sebaliknya, Kerajaan Tuhan dapat memenuhi keperluan mereka yang menerimanya. (Yesaya 48:17, 18) Tidak lama lagi, Yehuwa akan memusnahkan semua kerajaan manusia. Hanya orang yang menerima pemerintahan Tuhan akan mendiami bumi.​—Yesaya 11:9. Baca Daniel 2:44.

Tonton video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan?

4. Kesabaran Tuhan membolehkan kita melakukan apa?

Syaitan mendakwa bahawa manusia menyembah Tuhan hanya demi kepentingan diri. Inginkah anda menyangkal dakwaan palsu ini? Anda dapat berbuat demikian! Kesabaran Tuhan memberi kita peluang untuk memilih pemerintahan Tuhan atau pemerintahan manusia. Cara hidup kita mencerminkan pilihan kita.​—Baca Ayub 1:8-12; Amsal 27:11.

5. Bagaimanakah kita memilih Tuhan sebagai Pemerintah?

Tunjukkanlah bahawa anda memilih pemerintahan Tuhan

Kita memilih Tuhan sebagai Pemerintah dengan mempelajari Bible dan menyembah-Nya mengikut kehendak-Nya. (Yohanes 4:23) Seperti Yesus, kita menolak pemerintahan Syaitan dengan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan politik dan peperangan.​—Baca Yohanes 17:14.

Syaitan menggunakan kuasanya untuk menggalakkan amalan yang buruk dan tidak bermoral. Apabila kita menolak amalan sebegini, keluarga dan sahabat kita mungkin mengejek atau menentang kita. (1 Petrus 4:3, 4) Jadi, adakah kita akan memilih untuk bergaul dengan orang yang mengasihi Tuhan, dan mematuhi hukum-Nya yang bijaksana dan pengasih? Jika kita berbuat demikian, kita membuktikan bahawa Syaitan berbohong kerana manusia memang dapat mematuhi Tuhan meskipun menghadapi kesusahan.​—Baca 1 Korintus 6:9, 10; 15:33.

Kita yakin sepenuhnya bahawa Tuhan akan mengakhiri kejahatan dan penderitaan kerana Dia mengasihi manusia. Mereka yang beriman kepada Tuhan akan menikmati hidup kekal di bumi.​—Baca Yohanes 3:16.