Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 46

Ujian di Gunung Karmel

Ujian di Gunung Karmel

Banyak raja yang jahat telah memerintah 10 suku Israel, tetapi raja yang paling teruk ialah Raja Ahab. Isterinya, Izebel, sangat jahat dan merupakan penyembah Baal. Mereka membunuh nabi-nabi Yehuwa dan menggalakkan rakyat untuk menyembah Baal. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa? Dia menghantar Nabi Elia untuk menyampaikan pesanan kepada Ahab.

Elia memberitahu Raja Ahab bahawa kejahatannya akan menyebabkan kemarau di Israel. Selama lebih daripada tiga tahun, tanaman tidak dapat tumbuh dan rakyat kelaparan. Jadi, Yehuwa menyuruh Elia berjumpa dengan Ahab. Raja Ahab berkata, “Kamulah penyebab masalah ini! Semuanya salah kamu!” Tetapi Elia menjawab, “Ini bukan salah saya. Hal ini berlaku kerana tuanku menyembah Baal. Suruh semua orang dan nabi Baal berkumpul di Gunung Karmel. Kita akan adakan suatu ujian di sana.”

Semua orang pun berkumpul di gunung itu, lalu Elia berkata, “Buatlah pilihan! Jika Yehuwa ialah Tuhan yang benar, ikutlah Dia. Tapi jika Baal ialah Tuhan yang benar, ikutlah Baal. Inilah yang akan kita lakukan. Semua 450 nabi Baal harus menyediakan korban dan memanggil nama tuhan mereka. Saya juga akan menyediakan korban, tapi saya akan memanggil nama Yehuwa. Tuhan yang menurunkan api ialah Tuhan yang benar.” Semua orang bersetuju.

Nabi-nabi Baal mula mempersembahkan korban dan berteriak sepanjang hari, “Baal, jawablah kami!” Tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Jadi, Elia mula mengejek-ejek Baal. Dia berkata, “Kuatkan lagi suaramu. Mungkin Baal tertidur dan perlu dibangunkan.” Mereka terus berseru sehingga petang, namun seruan mereka tidak dijawab.

Kemudian, Elia meletakkan korban di atas mazbah dan menuangkan air ke atasnya. Dia berdoa, “Ya Yehuwa, biarlah semua orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan yang benar.” Dengan serta-merta, api turun lalu membakar korban itu. Semua orang mula menjerit, “Yehuwalah Tuhan yang benar!” Elia berkata, “Jangan biarkan nabi-nabi Baal melarikan diri!” Pada hari itu, 450 nabi Baal dibunuh.

Apabila awan kecil naik dari laut, Elia memberitahu Ahab, “Naiklah kereta kuda dan pulang. Ribut akan melanda.” Tiba-tiba langit menjadi gelap, angin kencang bertiup, dan hujan mula turun. Maka, berakhirlah musim kemarau! Ahab menunggang kereta kudanya dengan laju. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, Elia berlari lebih laju daripada kereta kuda Ahab! Apakah cabaran yang dihadapi Elia selepas itu? Lihatlah kisah yang berikut.

“Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.”​—Mazmur 83:18