Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 24

Mereka Mungkir Janji

Mereka Mungkir Janji

Yehuwa berkata kepada Musa, “Naiklah ke atas gunung untuk menghadap Aku. Aku akan memberi kamu batu-batu yang mengandungi hukum-hukum-Ku.” Musa naik ke atas gunung dan tinggal di sana selama 40 hari dan 40 malam. Di sana, Yehuwa menulis Sepuluh Hukum pada dua keping batu dan memberikannya kepada Musa.

Orang Israel berfikir bahawa Musa sudah meninggalkan mereka. Jadi, mereka memberitahu Harun, “Buatlah satu tuhan untuk memimpin kami!” Harun berkata, “Berilah saya semua emas kamu.” Dia meleburkan emas itu dan membuat sebuah patung anak lembu. Kemudian orang Israel berkata, “Inilah Tuhan yang membebaskan kita dari Mesir.” Mereka mula menyembah patung itu dan bersuka ria. Adakah perbuatan mereka salah? Ya, kerana mereka sudah berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja. Tetapi, mereka mungkir janji pula.

Yehuwa melihat apa yang sedang berlaku. Jadi Dia memberitahu Musa, “Cepatlah turun kerana orang Israel melupakan janji mereka. Mereka sembah tuhan palsu.” Musa segera turun dari gunung sambil membawa dua keping batu yang diberikan Yehuwa.

Apabila Musa mendekati khemah orang Israel, dia terdengar nyanyian mereka. Ada juga yang sedang menari dan menyembah patung itu. Musa naik marah lalu melemparkan dua keping batu yang dipegangnya. Batu itu hancur berkecai. Kemudian, Musa segera menghancurkan patung lembu itu. Dia berkata kepada Harun, “Apa yang terjadi? Mengapa kamu sanggup melakukan perbuatan yang teruk ini?” Harun menjawab, “Janganlah marah. Kamu tahu sikap mereka. Ini permintaan mereka. Jadi saya ambil emas mereka dan buang ke dalam api, lalu keluarlah patung anak lembu ini!” Harun tidak sepatutnya berbuat begitu. Selepas itu, Musa naik semula ke gunung dan merayu supaya Yehuwa memaafkan orang Israel.

Yehuwa memaafkan mereka yang rela mentaati-Nya. Tidakkah hal ini menunjukkan betapa pentingnya bagi orang Israel untuk menunggu arahan Musa, pemimpin mereka?

“Apabila kamu berikrar kepada Tuhan, tunaikanlah ikrar itu secepat mungkin, kerana Dia tidak suka orang yang bodoh. Tepatilah apa yang telah kamu ikrarkan.”​—Pengkhutbah 5:4