Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 96

Yesus Memilih Saulus

Yesus Memilih Saulus

Saulus ialah seorang rakyat Roma yang dilahirkan di Tarsus. Sebagai orang Farisi, dia mahir dalam Hukum orang Yahudi. Dia membenci orang Kristian dan memenjarakan mereka. Dia juga melihat murid Yesus, iaitu Stefanus, dilempari dengan batu sehingga mati.

Selain orang Kristian di Yerusalem, Saulus juga mahu menganiaya orang Kristian di Damsyik. Setelah mendapatkan keizinan imam agung, dia pun berangkat ke sana. Dalam perjalanannya, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekelilingnya dan dia rebah ke tanah. Dia mendengar suara yang berkata, “Saulus, mengapa kamu menganiaya saya?” Saulus bertanya, “Siapakah tuan?” “Saya ialah Yesus. Pergilah ke Damsyik. Di sana kamu akan tahu apa yang harus kamu lakukan,” jawab Yesus. Pada saat itu, Saulus menjadi buta. Jadi orang yang bersama Saulus terpaksa memimpinnya ke Damsyik.

Di Damsyik, terdapat seorang lelaki Kristian yang bernama Ananias. Dalam suatu penglihatan, Yesus berkata kepadanya, “Pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus dan cari lelaki yang bernama Saulus.” Ananias menjawab, “Tuan, saya tahu siapa lelaki itu. Dialah yang memenjarakan pengikut Tuan!” Tetapi Yesus berkata, “Carilah dia kerana saya sudah memilihnya untuk menginjil kepada bangsa-bangsa lain.”

Setelah menemui Saulus, Ananias berkata, “Yesus telah mengutus saya untuk menyembuhkan kamu.” Dengan serta-merta, Saulus dapat melihat semula. Dia belajar tentang Yesus dan menjadi pengikutnya. Kemudian, Saulus dibaptiskan dan mula menginjil di rumah ibadat bersama murid Yesus yang lain. Bayangkan perasaan orang Yahudi semasa melihat Saulus mengajar orang tentang Yesus! Mereka berkata, “Bukankah dia lelaki yang selalu menentang pengikut Yesus?”

Selama tiga tahun, Saulus menginjil di Damsyik. Orang Yahudi membencinya dan ingin membunuhnya. Jadi, orang Kristian yang lain membantu Saulus untuk melarikan diri. Mereka menurunkan Saulus dalam sebuah bakul melalui sebuah tingkap di tembok kota.

Setibanya di Yerusalem, Saulus mencari orang Kristian di sana. Tetapi mereka sangat takut kepadanya. Jadi, seorang murid Yesus yang bernama Barnabas ingin membantu Saulus. Dia membawa Saulus kepada para rasul dan menjelaskan bahawa Saulus telah berubah. Selepas itu, Saulus menginjil dengan bersemangat bersama sidang di Yerusalem. Pada kemudian hari, Saulus dikenali sebagai Paulus.

“Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan pendosa. Antara mereka, akulah yang paling teruk.”​—1 Timotius 1:15