CERITA 66
Ezra Mengajarkan Hukum Tuhan
Kini, 70 tahun sudah berlalu. Banyak orang Israel telah kembali ke Yerusalem. Namun, ada yang masih tinggal di kawasan kerajaan Persia. Salah seorangnya ialah Ezra. Sebagai imam, dia mengajarkan Hukum Yehuwa. Ezra ingin membantu umat Israel di Yerusalem kerana mereka tidak lagi mengikut Hukum Tuhan. Raja Artahsasta dari Persia berkata kepadanya, “Tuhan menjadikan kamu bijak agar kamu boleh mengajarkan perintah-Nya. Pergilah ke Yerusalem. Bawa sesiapa yang ingin mengikut kamu.” Setelah berdoa untuk perlindungan Yehuwa, Ezra dan orang lain pun berangkat.
Empat bulan kemudian, mereka tiba di Yerusalem. Para pemimpin memberitahu Ezra, “Umat Israel tidak mentaati Yehuwa dan mengahwini wanita yang menyembah tuhan palsu.” Maka, Ezra segera berdoa, “Yehuwa, Engkau selalu membantu kami. Tapi kami berdosa terhadap-Mu.” Orang Israel bertaubat, tetapi mereka masih memerlukan bantuan untuk melakukan perkara yang betul. Jadi, Ezra memilih pemimpin dan hakim untuk membimbing mereka. Sepanjang tiga bulan yang seterusnya, orang yang tidak menyembah Yehuwa diusir dari sana.
Dua belas tahun telah berlalu. Tembok Yerusalem sudah siap dibina. Maka, Ezra mengumpulkan umat Israel dan membacakan Hukum Tuhan. Semua orang berdiri apabila Ezra membuka kitab itu. Dia memuji Yehuwa lalu orang ramai mengangkat tangan untuk menunjukkan mereka bersetuju dengannya. Mereka mendengar dengan teliti semasa Ezra membacakan dan menerangkan Hukum Tuhan. Mereka menangis kerana mereka telah mengingkari Yehuwa. Keesokan harinya, Ezra membacakan Hukum Tuhan lagi. Setelah menyedari bahawa mereka harus menyambut Perayaan Pondok Daun, mereka pun membuat persiapan dengan segera.
Perayaan itu berlangsung selama tujuh hari. Mereka belum pernah menyambut perayaan seperti ini sejak zaman Yosua. Semua orang bergembira dan bersyukur kepada Yehuwa kerana memberkati mereka dengan banyak tuaian. Kemudian, mereka berdoa, “Yehuwa, Engkau
menyelamatkan kami daripada menjadi hamba. Engkau memberi kami makanan di padang gurun dan tempat tinggal yang indah di sini. Tapi kami asyik mengingkari-Mu dan tidak mendengar amaran nabi-Mu. Namun, Engkau bersabar dan menepati janji-Mu kepada Abraham. Sekarang, kami berjanji untuk mentaati-Mu.” Mereka menuliskan janji itu lalu para pemimpin, orang Lewi, dan para imam, mengesahkan janji itu.“Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”—Lukas 11:28