Mazmur 74:1-23
Maskil.* Mazmur yang digubah oleh Asaf.+
74 Ya Tuhan, mengapakah Engkau meninggalkan kami buat selama-lamanya?+
Mengapakah kemurkaan-Mu meluap-luap terhadap kawanan bebiri di padang rumput-Mu?+
2 Ingatlah akan umat yang telah Engkau pilih sejak dahulu lagi.+Ingatlah akan suku yang telah Engkau tebus dan yang telah Engkau jadikan sebagai warisan-Mu.+
Ingatlah akan Gunung Sion, tempat kediaman-Mu.+
3 Halakanlah langkah-Mu ke arah tempat yang sudah lama binasa.+
Musuh telah memusnahkan segala yang ada di dalam tempat suci-Mu.+
4 Musuh-musuh-Mu bersorak-sorai di tempat perhimpunan-Mu.+
Mereka telah meletakkan panji-panji mereka di situ sebagai tanda.
5 Mereka seperti lelaki yang mengayunkan kapak untuk menebang pokok di hutan rimba.
6 Mereka merosakkan semua ukiran+ dengan kapak dan batang besi.
7 Mereka membakar tempat suci-Mu dengan api.+
Mereka menajiskan dan merobohkan tempat suci yang dibina untuk memuliakan nama-Mu.
8 Mereka dan keturunan mereka telah berkata dalam hati,
“Semua tempat ibadat untuk menyembah Tuhan di tanah ini haruslah dibakar.”
9 Kami tidak nampak sebarang tanda;Tidak ada lagi nabi,Dan tiada sesiapa pun dalam kalangan kami yang tahu sampai bila hal ini akan berterusan.
10 Ya Tuhan, sampai bilakah musuh akan mengejek-Mu?+
Adakah musuh akan terus menghina nama-Mu buat selama-lamanya?+
11 Mengapakah Engkau menahan tangan kanan-Mu daripada bertindak?+
Hulurkanlah tangan-Mu dan musnahkanlah mereka.
12 Ya Tuhan, Engkaulah Rajaku sejak dahulukala.Engkau telah melakukan penyelamatan di seluruh bumi.+
13 Engkau telah mengocakkan air laut dengan kekuatan-Mu;+Engkau meremukkan kepala-kepala raksasa laut di dalam air.
14 Engkau menghancurkan kepala-kepala Lewiatan;*Engkau memberikan dagingnya sebagai makanan kepada orang yang tinggal di gurun.
15 Engkau membuka aliran mata air dan sungai-sungai;+Engkau mengeringkan sungai-sungai yang tidak pernah kering.+
16 Siang milik-Mu, malam milik-Mu juga.
Engkau telah menciptakan cahaya dan mentari.+
17 Engkau menetapkan semua sempadan di bumi;+Engkau menciptakan musim panas dan musim sejuk.+
18 Ya Yehuwa, ingatlah bagaimana musuh mengejek-Mu.Ingatlah bagaimana bangsa yang bodoh menghina nama-Mu.+
19 Janganlah serahkan nyawa burung tekukur-Mu kepada binatang buas.
Janganlah sekali-kali lupa akan nyawa umat-Mu yang ditindas.
20 Ingatlah akan perjanjian yang telah Engkau buat dengan kami,Kerana tempat-tempat gelap di bumi sudah menjadi sarang keganasan.
21 Semoga orang yang ditindas tidak beredar dengan tawar hati;+Semoga orang yang miskin dan hina memuji nama-Mu.+
22 Ya Tuhan, bangkitlah dan pertahankanlah perkara-Mu.
Ingatlah bagaimana orang yang bodoh mengejek-Mu sepanjang hari.+
23 Janganlah lupakan kata-kata musuh-Mu.
Teriakan orang yang menentang-Mu semakin kuat.*