Keluaran 32:1-35
32 Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu untuk waktu yang lama dan belum juga turun,+ mereka mengelilingi Harun dan berkata, “Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang telah membawa kami keluar dari Mesir. Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.”+
2 Harun pun berkata, “Tanggalkanlah anting-anting emas+ yang ada pada telinga isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu berikannya kepadaku.”
3 Maka semua orang menanggalkan anting-anting emas mereka dan memberikannya kepada Harun.
4 Harun mengambil emas itu dan membentuknya menjadi sebuah patung anak lembu+ dengan menggunakan alat pengukir. Maka, mereka berkata, “Hai Israel, inilah Tuhan kita yang membawa kita keluar dari Mesir.”+
5 Apabila Harun melihat hal itu, dia membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu lalu berseru, “Esok ada perayaan untuk Yehuwa.”
6 Pada keesokan harinya, orang Israel bangun awal untuk mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta.+
7 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Turunlah dengan segera kerana umat yang engkau bawa keluar dari Mesir itu telah melakukan dosa yang besar.+
8 Cepat sekali mereka menyimpang daripada jalan yang telah Aku perintahkan kepada mereka.+ Mereka telah membuat sebuah patung anak lembu lalu bersujud menyembahnya. Mereka mempersembahkan korban kepadanya sambil berkata, ‘Hai Israel, inilah Tuhan kita yang membawa kita keluar dari Mesir.’”
9 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Aku tahu bahawa umat ini memang degil.+
10 Jadi biarlah Aku membinasakan mereka dengan api kemurkaan-Ku, dan menjadikan engkau sebuah bangsa yang besar.”+
11 Kemudian Musa merayu kepada Yehuwa, Tuhannya,+ dengan berkata, “Ya Yehuwa, mengapakah Engkau murka terhadap umat-Mu setelah Engkau membebaskan mereka dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan yang besar?+
12 Jika Engkau berbuat demikian, orang Mesir pasti berkata, ‘Dia memimpin mereka keluar dengan niat yang jahat. Dia mahu membunuh mereka di pergunungan dan memusnahkan mereka dari muka bumi ini.’+ Janganlah murka lagi dan ubahlah fikiran-Mu. Janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu.
13 Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Israel. Engkau telah bersumpah demi diri-Mu sendiri dan berfirman, ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak, seperti bintang di langit.+ Seluruh negeri ini yang telah Aku janjikan kepada keturunanmu akan sentiasa menjadi milik mereka.’”+
14 Maka Yehuwa mengubah fikiran dan tidak menimpakan bencana itu kepada umat-Nya.+
15 Kemudian Musa turun dari gunung sambil membawa dua keping batu tulis.+ Batu-batu itu bertuliskan perintah Tuhan pada muka depan dan belakangnya.
16 Tuhan sendiri telah membuat batu-batu itu. Tulisan yang terukir pada batu-batu itu ialah tulisan Tuhan.+
17 Apabila Yosua mendengar bunyi teriakan umat itu, dia berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.”
18 Tetapi Musa berkata,
“Bunyi itu bukan laungan kemenangan,Bunyi itu juga bukan ratapan kekalahan,Bunyi itu suara orang menyanyi.”
19 Apabila Musa mendekati perkhemahan, dia melihat patung anak lembu itu+ dan orang Israel yang sedang menari-nari. Dia naik marah lalu melemparkan batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkecai di kaki gunung itu.+
20 Dia mengambil patung yang dibuat oleh mereka dan membakarnya di dalam api lalu menumbuknya sehingga menjadi serbuk.+ Kemudian dia menaburkan serbuk itu ke atas air dan menyuruh orang Israel meminum air itu.+
21 Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga kamu menyebabkan mereka melakukan dosa yang besar?”
22 Harun menjawab, “Tuan, janganlah marah. Kamu tahu benar bahawa umat ini suka berbuat jahat.+
23 Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang telah membawa kami keluar dari Mesir. Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.’+
24 Maka aku berkata kepada mereka, ‘Tanggalkanlah emas yang kamu pakai dan berikannya kepadaku.’ Aku mencampakkan emas itu ke dalam api, lalu keluarlah patung anak lembu ini.”
25 Musa melihat bahawa Harun telah membiarkan umat itu menjadi tidak terkawal, sehingga mereka mendapat malu di hadapan musuh-musuh mereka.
26 Kemudian Musa pergi ke pintu gerbang perkhemahan dan berkata, “Sesiapa yang berpihak kepada Yehuwa haruslah datang ke sini!”+ Lalu semua orang Lewi berkumpul di sekelilingnya.
27 Selepas itu, Musa berkata kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Ikatkanlah pedang pada pinggang kamu dan jelajahilah seluruh perkhemahan, dari satu hujung ke hujung* yang lain, lalu bunuhlah saudara, jiran, dan sahabat karib kamu.’”+
28 Orang Lewi melakukan apa yang diperintahkan Musa. Maka kira-kira 3,000 orang dihukum mati pada hari itu.
29 Musa berkata, “Sucikanlah diri kamu untuk berkhidmat kepada Yehuwa pada hari ini. Kamu telah menentang anak lelaki dan saudara kamu.+ Oleh itu, Dia akan memberkati kamu pada hari ini.”+
30 Pada keesokan harinya, Musa berkata kepada umat itu, “Kamu telah melakukan dosa yang sangat besar. Maka sekarang aku akan pergi menghadap Yehuwa untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak kamu.”+
31 Musa kembali menghadap Yehuwa lalu berkata, “Umat ini telah melakukan dosa yang besar! Mereka telah membuat patung emas untuk disembah!+
32 Jika Engkau rela, ampunkanlah dosa mereka.+ Tetapi jika tidak, hapuskanlah namaku daripada kitab yang telah Engkau tulis.”+
33 Namun Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sesiapa yang berdosa terhadap-Ku, nama orang itulah yang akan Aku hapuskan daripada kitab-Ku.
34 Sekarang pergilah dan pimpinlah umat itu ke tempat yang telah Aku nyatakan kepadamu. Malaikat-Ku akan berada di hadapan kamu.+ Meskipun demikian, akan tiba masanya apabila Aku akan menghakimi dan menghukum umat itu atas dosa mereka.”
35 Kemudian Yehuwa mendatangkan bencana kepada umat itu kerana mereka membuat patung anak lembu. Ya, mereka telah menyuruh Harun untuk membuat patung anak lembu itu.
Nota Kaki
^ Atau “dari satu pintu masuk ke pintu masuk.”