Kejadian 25:1-34

  • Abraham berkahwin lagi (1-6)

  • Kematian Abraham (7-11)

  • Anak-anak lelaki Ismael (12-18)

  • Kelahiran Yakub dan Esau (19-26)

  • Esau menjual haknya sebagai anak sulung (27-34)

25  Abraham berkahwin lagi, dan nama isterinya ialah Ketura. 2  Isterinya kemudian melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian,+ Isbak, dan Suah.+ 3  Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letush, dan orang Leum. 4  Anak-anak lelaki Midian ialah Efa, Efer, Hanokh, Abida, dan Eldaa. Mereka semua ialah cucu Ketura. 5  Abraham mewariskan segala hartanya kepada Ishak,+ 6  tetapi dia memberikan hadiah kepada anak-anak lelakinya yang dilahirkan oleh gundik-gundiknya. Semasa Abraham masih hidup, dia menyuruh mereka berpindah ke negeri yang terletak di Timur, jauh daripada anak lelakinya Ishak.+ 7  Abraham hidup selama 175 tahun. 8  Abraham menikmati umur yang panjang dan puas hati dengan kehidupannya. Dia menghembuskan nafas yang terakhir lalu dikebumikan seperti nenek moyangnya. 9  Anak lelakinya Ishak dan Ismael mengebumikannya di dalam Gua Makhpela dekat Mamre+ di tanah milik Efron anak Zohar, orang Het itu. 10  Tanah itu sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het. Abraham dikebumikan di situ bersama isterinya Sara.+ 11  Setelah Abraham meninggal, Tuhan terus memberkati Ishak,+ dan Ishak tinggal berhampiran Beer-lahai-roi.+ 12  Inilah senarai keturunan Ismael,+ iaitu anak Abraham yang dilahirkan oleh Hagar,+ iaitu hamba Sara dari Mesir. 13  Berikut ialah nama anak-anak lelaki Ismael menurut asal usul keluarga mereka: Anak sulung Ismael ialah Nebayot.+ Adik-adiknya ialah Kedar,+ Adbeel, Mibsam,+ 14  Mishma, Duma, Massa, 15  Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedema. 16  Itulah nama anak-anak lelaki Ismael, iaitu nama 12 orang ketua suku.+ Perkampungan dan perkhemahan mereka juga disebut menurut nama mereka. 17  Ismael hidup selama 137 tahun. Kemudian dia menghembuskan nafas yang terakhir dan dikebumikan seperti nenek moyangnya. 18  Keturunannya tinggal di kawasan di antara Hawila+ dan Assyria. Hawila terletak berdekatan Syur,+ yang berdekatan Mesir. Mereka tinggal berhampiran dengan semua saudara mereka.*+ 19  Inilah kisah Ishak anak Abraham.+ Abraham ialah bapa Ishak. 20  Sewaktu Ishak berumur 40 tahun, dia berkahwin dengan Ribka. Ribka ialah anak perempuan kepada Betuel,+ orang Aram dari Padan-aram, dan adik perempuan kepada Laban, seorang lelaki Aram. 21  Ishak terus merayu kepada Yehuwa kerana isterinya mandul. Maka Yehuwa menjawab doanya lalu Ribka mengandung. 22  Anak-anak lelaki di dalam rahimnya mula bergelut dengan satu sama lain.+ Maka Ribka berkata, “Jika aku harus menderita seperti ini, buat apa aku terus hidup?” Oleh itu, dia bertanya kepada Yehuwa tentang hal ini. 23  Yehuwa berfirman kepadanya, “Terdapat dua orang anak lelaki* di dalam rahimmu.+ Anak-anak ini akan dipisahkan dan mereka akan membentuk dua bangsa yang berbeza.+ Satu bangsa akan menjadi lebih kuat daripada bangsa yang satu lagi,+ dan yang sulung akan melayani yang bongsu.”+ 24  Apabila tiba masanya Ribka bersalin, ternyata memang ada anak kembar di dalam kandungannya. 25  Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu.+ Itulah sebabnya mereka menamakan anak itu Esau.*+ 26  Semasa adiknya dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau.+ Maka namanya dipanggil Yakub.*+ Ishak berumur 60 tahun semasa Ribka melahirkan mereka. 27  Anak-anak itu semakin membesar. Esau menjadi seorang pemburu yang mahir,+ dan dia suka keluar memburu. Yakub pula seorang yang tidak bercela, dan dia suka tinggal di dalam khemah.+ 28  Ishak sayang akan Esau, kerana dia suka makan daging binatang buruan, manakala Ribka sayang akan Yakub.+ 29  Pada suatu hari, ketika Yakub sedang memasak bubur kacang, Esau pulang dari memburu. Dia berasa letih sekali, 30  maka dia berkata kepada Yakub, “Cepat! Berilah aku sedikit bubur kacang merah itu. Aku penat dan sangat lapar!” Itulah sebabnya namanya disebut Edom.*+ 31  Yakub berkata, “Juallah dahulu hakmu sebagai anak sulung kepadaku.”+ 32  Esau berkata, “Aku sudah hampir mati! Apa gunanya hak itu bagiku?” 33  Yakub berkata, “Bersumpahlah dahulu kepadaku!” Maka Esau bersumpah dan menjual haknya sebagai anak sulung kepada Yakub.+ 34  Lalu Yakub memberikan roti dan bubur kacang kepada Esau. Selepas makan dan minum, Esau pun beredar. Demikianlah Esau memandang remeh haknya sebagai anak sulung.

Nota Kaki

Atau mungkin, “Mereka bermusuhan dengan semua saudara mereka.”
Harfiah, “dua bangsa.”
Maksudnya “Berbulu.”
Maksudnya “Pemegang Tumit; Pengambil Alih.”
Maksudnya “Merah.”