Daniel 8:1-27

  • Penglihatan tentang bebiri jantan dan kambing jantan (1-14)

    • Tanduk kecil berlagak sombong (9-12)

    • Selama 2,300 pagi dan petang (14)

  • Gabriel menjelaskan erti penglihatan (15-27)

    • Penjelasan tentang bebiri jantan dan kambing jantan (20, 21)

    • Seorang raja yang berwajah garang muncul (23-25)

8  Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Belsyazar,+ aku, Daniel, mendapat satu lagi penglihatan.+ 2  Aku sedang berada di kota berkubu* Susan,*+ yang terletak di wilayah Elam,+ semasa aku mendapat penglihatan itu. Dalam penglihatan itu, aku sedang berdiri dekat Sungai* Ulai. 3  Aku nampak seekor bebiri jantan+ berdiri di hadapan sungai itu. Bebiri itu mempunyai dua buah tanduk yang panjang;+ sebuah tanduk lebih panjang daripada tanduk yang satu lagi. Tanduk yang lebih panjang itu muncul kemudian.+ 4  Bebiri itu menanduk ke arah barat, utara, dan selatan. Tiada binatang liar yang dapat menghalangnya, dan tiada sesiapa yang dapat melepaskan binatang-binatang liar itu daripada kuasanya.+ Bebiri itu bertindak sesuka hati dan berlagak besar. 5  Kemudian aku nampak seekor kambing jantan+ datang dari arah barat,* dan merentasi seluruh bumi tanpa menyentuh tanah. Kambing itu mempunyai tanduk yang menonjol di antara matanya.+ 6  Kambing itu menuju ke arah bebiri jantan yang mempunyai dua tanduk itu, yang sedang berdiri di hadapan sungai. Kambing itu berlari ke arah bebiri itu dengan kemarahan yang dahsyat. 7  Aku nampak kambing tersebut mendekati bebiri jantan itu dengan penuh kemarahan. Kambing itu menyerang bebiri itu dan mematahkan kedua-dua tanduknya sehingga bebiri itu tidak mampu melawan. Kambing itu menjatuhkan bebiri itu ke tanah lalu memijak-mijaknya. Tiada sesiapa yang dapat menyelamatkan bebiri itu daripada kuasa kambing tersebut. 8  Kemudian kambing jantan itu berlagak besar, tetapi sebaik sahaja kambing itu menjadi perkasa, tanduknya yang besar patah. Empat buah tanduk yang menonjol muncul untuk menggantikan tanduk yang patah itu. Empat tanduk itu menghadap ke empat arah yang berlainan.*+ 9  Daripada salah sebuah tanduk itu, muncul sebuah tanduk yang kecil. Tanduk ini membesar ke arah selatan, ke arah timur,* dan ke arah Tanah yang Indah.*+ 10  Tanduk ini menjadi begitu besar sehingga mencapai angkatan tentera di langit,* dan menyebabkan sebahagian daripada angkatan itu dan bintang-bintang jatuh ke bumi. Kemudian tanduk ini memijak-mijak semua itu. 11  Tanduk ini berlagak sombong bahkan di hadapan Pemimpin yang mengetuai angkatan itu. Tanduk ini merampas korban harian Pemimpin itu, dan merobohkan tempat suci yang didirikan-Nya.+ 12  Angkatan tentera dan korban harian diserahkan kepada tanduk ini kerana pelanggaran hukum telah berlaku. Tanduk ini terus mencampakkan kebenaran ke bumi dan apa yang dilakukannya berjaya. 13  Aku mendengar satu malaikat bercakap, dan satu lagi malaikat bertanya kepadanya, “Berapa lamakah perkara yang dilihat dalam penglihatan tentang korban harian dan pelanggaran hukum yang menyebabkan pembinasaan, akan terus berlaku?+ Berapa lamakah angkatan tentera dan tempat suci itu akan dipijak-pijak?” 14  Maka malaikat itu berkata kepadaku, “Selama 2,300 petang dan pagi. Selepas itu, barulah tempat suci akan dipulihkan kepada keadaan asalnya.” 15  Sedang aku melihat dan berusaha untuk memahami penglihatan itu, tiba-tiba aku nampak seseorang yang kelihatan seperti seorang lelaki berdiri di hadapanku. 16  Kemudian aku mendengar suara seorang lelaki dari tengah-tengah Sungai Ulai.+ Lelaki itu berseru, “Gabriel,+ jelaskanlah erti penglihatan ini kepadanya.”+ 17  Apabila Gabriel mendekati tempat aku berdiri, aku berasa begitu takut sehingga aku bersujud ke tanah. Dia berkata, “Wahai anak manusia, fahamilah bahawa penglihatan itu akan menjadi kenyataan pada akhir zaman.”+ 18  Tetapi semasa dia masih bercakap, aku tertidur dan mukaku menghadap tanah. Maka dia menyentuh aku dan membantu aku berdiri semula.+ 19  Dia berkata, “Sekarang aku akan memberitahu engkau apa yang akan berlaku pada akhir tempoh penghakiman* Tuhan, kerana penglihatan itu akan menjadi kenyataan pada waktu yang telah ditentukan semasa akhir zaman.+ 20  “Bebiri jantan yang mempunyai dua buah tanduk itu melambangkan raja-raja Media dan Persia.+ 21  Kambing jantan yang berbulu tebal itu melambangkan raja Yunani,+ dan tanduk besar yang timbul di antara matanya melambangkan raja yang pertama.+ 22  Kemudian tanduk besar itu patah, dan empat buah tanduk yang lain muncul.+ Empat tanduk itu melambangkan empat kerajaan yang akan menggantikan raja yang pertama, tetapi kekuatan kerajaan-kerajaan itu tidak setanding kekuatannya. 23  “Pada akhir pemerintahan mereka, iaitu apabila kejahatan sudah memuncak, akan muncul seorang raja yang berwajah garang dan yang memahami kata-kata tersirat.* 24  Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia membawa kemusnahan yang mengerikan,* dan apa yang dilakukannya akan berjaya. Dia akan memusnahkan orang yang berkuasa dan umat yang suci.+ 25  Dengan licik, dia menggunakan tipu helah untuk mencapai kejayaan. Dia akan berlagak sombong, dan membinasakan banyak orang pada masa damai.* Dia malah berani mencabar Pemimpin Yang Agung. Dia akan dibinasakan, tetapi kebinasaannya itu bukan akibat perbuatan manusia. 26  “Apa yang telah dikatakan mengenai petang dan pagi dalam penglihatan itu memang benar. Tetapi engkau mesti merahsiakan penglihatan itu kerana masih lama lagi sebelum penglihatan itu menjadi kenyataan.”+ 27  Aku berasa sangat letih sehingga jatuh sakit selama beberapa hari.+ Apabila aku sudah sihat dan kembali menjalankan tugas yang diberikan oleh raja,+ aku masih kagum dengan apa yang telah aku nampak, dan tiada sesiapa pun yang dapat memahaminya.+

Nota Kaki

Atau “istana.”
Atau “Susa.”
Atau “Terusan.”
Atau “arah matahari terbenam.”
Harfiah, “empat angin dari langit.”
Atau “ke arah matahari terbit.”
Atau “dan ke arah Perhiasan.”
Ungkapan “angkatan tentera” boleh merujuk kepada makhluk roh di syurga.
Atau “tempoh kemurkaan.”
Atau “yang pandai berkomplot.”
Atau “yang luar biasa.”
Atau mungkin, “dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran.”