Dua Raja-Raja 13:1-25
13 Yehoahas anak Yehu+ menjadi raja Israel pada tahun ke-23 pemerintahan Yehoas+ anak Ahazia,+ raja Yehuda. Yehoahas memerintah di Samaria selama 17 tahun.
2 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Dia enggan berpaling daripada haluan yang jahat itu.
3 Oleh itu, Yehuwa sangat murka+ terhadap orang Israel.+ Dia membiarkan Raja Hazael+ dari Siria dan anak lelakinya, Ben-hadad,+ mengalahkan Israel berulang kali.
4 Yehoahas memohon perkenan Yehuwa, dan Yehuwa mendengarkannya kerana Dia telah nampak bagaimana raja Siria menindas orang Israel dengan kejam.+
5 Yehuwa pun mengutus seorang penyelamat+ untuk membebaskan orang Israel daripada cengkaman Siria. Maka orang Israel dapat hidup aman seperti dahulu.
6 (Namun, mereka tidak bertaubat daripada haluan jahat keluarga Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Mereka terus mengikut haluan yang jahat dan tidak merobohkan tiang suci*+ yang ada di Samaria.)
7 Sebelum ini, raja Siria telah memusnahkan angkatan tentera Yehoahas,+ dan memijak-mijak mereka seolah-olah mereka ialah debu di tempat mengirik gandum.+ Maka Yehoahas hanya mempunyai 50 orang askar berkuda, 10 buah kereta kuda, dan 10,000 orang askar yang berjalan kaki.
8 Berkenaan kisah hidup Yehoahas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.
9 Kemudian Yehoahas meninggal dan dikebumikan di Samaria.+ Anak lelakinya, Yehoas, menggantikannya sebagai raja.
10 Pada tahun ke-37 pemerintahan Raja Yehoas dari Yehuda, Yehoas+ anak Yehoahas menjadi raja Israel, dan dia memerintah di Samaria selama 16 tahun.
11 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan enggan meninggalkan haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Dia terus melakukan dosa-dosa itu.
12 Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan bagaimana dia melawan Raja Amazia dari Yehuda,+ semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.
13 Kemudian Yehoas meninggal dan dikebumikan di Samaria bersama raja-raja Israel yang lain. Selepas itu, Yerobeam*+ menggantikannya sebagai raja.+
14 Pada suatu waktu, Elisa+ sakit tenat dan hampir mati. Maka Raja Yehoas dari Israel pergi melawatnya. Sambil memeluk Elisa, dia menangis dan berkata, “Tuanku, oh tuanku!* Kereta kuda Israel dan penunggang kudanya!”+
15 Elisa berkata kepada raja, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun berbuat demikian.
16 Kemudian Elisa berkata lagi, “Letakkan tangan tuan pada busur itu.” Yehoas melakukan apa yang dimintanya, lalu Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja.
17 Elisa berkata, “Bukalah tingkap yang menghadap ke arah timur.” Yehoas membuka tingkap itu, lalu Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Yehoas pun berbuat demikian. Lalu Elisa berkata, “Anak panah kemenangan* milik Yehuwa! Anak panah yang akan mengalahkan Siria! Tuanku akan mengalahkan mereka di Afek+ dan menghapuskan mereka sama sekali.”
18 “Ambillah beberapa anak panah,” kata Elisa. Yehoas pun menurut kata-kata Elisa. Setelah itu, Elisa berkata kepadanya, “Pukullah tanah.” Maka Yehoas memukul tanah sebanyak tiga kali lalu berhenti.
19 Nabi Elisa marah kepadanya lalu berkata, “Tuan sepatutnya memukul tanah sebanyak lima atau enam kali! Jika tuan berbuat demikian, tuan pasti dapat mengalahkan orang Siria dan menghapuskan mereka sama sekali. Tetapi sekarang tuan hanya dapat mengalahkan orang Siria sebanyak tiga kali.”+
20 Tidak lama kemudian, Elisa meninggal dan dikebumikan. Pada awal tahun,* kumpulan perompak dari Moab+ datang ke negeri Israel.
21 Semasa beberapa orang sedang menguburkan mayat seorang lelaki, mereka nampak kumpulan perompak itu datang. Maka mereka terus melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisa lalu melarikan diri. Apabila mayat itu tersentuh tulang-tulang Elisa, mayat itu bangun dan hidup kembali.+
22 Sepanjang masa pemerintahan Yehoahas, Raja Hazael+ dari Siria menindas orang Israel.+
23 Oleh sebab Yehuwa telah membuat perjanjian dengan Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub,+ Dia menunjukkan belas kasihan,+ keprihatinan, dan perkenan-Nya kepada orang Israel. Dia tidak mahu memusnahkan mereka, dan sehingga hari ini, Dia tidak mengusir mereka dari hadirat-Nya.
24 Setelah Raja Hazael dari Siria meninggal, anak lelakinya, Ben-hadad, menggantikannya sebagai raja.
25 Yehoas anak Yehoahas merampas semula kota-kota yang telah ditawan oleh Ben-hadad anak Hazael pada masa pemerintahan Yehoahas. Yehoas mengalahkan Ben-hadad sebanyak tiga kali,+ dan mendapatkan semula kota-kota Israel.
Nota Kaki
^ Iaitu, Yerobeam II.
^ Harfiah, “Bapaku, bapaku!”
^ Atau “penyelamatan.”
^ Mungkin merujuk kepada musim bunga.