Satu Samuel 31:1-13
-
Kematian Saul dan tiga orang anak lelakinya (1-13)
31 Orang Filistin berperang dengan orang Israel,+ dan orang Israel melarikan diri daripada orang Filistin. Banyak orang yang terbunuh di Gunung Gilboa.+
2 Saul dan anak-anak lelakinya menjadi sasaran utama orang Filistin. Orang Filistin mengejar mereka dan membunuh anak-anak Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malki-sua.+
3 Pertempuran di sekeliling Saul menjadi sengit. Akhirnya, para pemanah menemui Saul, dan dia cedera parah kerana terkena anak panah mereka.+
4 Maka Saul berkata kepada askar yang membawa senjatanya, “Hunuskanlah pedangmu dan tikamlah beta. Beta tidak ingin ditikam dan diperlakukan dengan kejam oleh bangsa yang tidak bersunat ini.”+ Tetapi askar itu enggan berbuat demikian kerana dia sangat takut. Oleh itu, Saul mengambil pedang itu dan menikam dirinya.*+
5 Apabila askar itu nampak bahawa Saul sudah meninggal,+ dia juga menikam dirinya dengan pedang* lalu mati bersama Saul.
6 Demikianlah Saul, tiga orang anak lelakinya, askar yang membawa senjatanya, dan semua askarnya meninggal pada hari itu.+
7 Apabila orang Israel yang tinggal di kawasan lembah* dan di kawasan Sungai Yordan nampak bahawa orang Israel telah melarikan diri dan Saul serta anak-anak lelakinya telah mati, mereka pun meninggalkan kota mereka dan melarikan diri.+ Maka orang Filistin datang dan tinggal di situ.
8 Keesokan harinya, apabila orang Filistin datang untuk mengambil barang-barang yang ada pada mayat, mereka menjumpai mayat Saul dan mayat tiga orang anak lelakinya di Gunung Gilboa.+
9 Maka mereka memenggal kepala Saul lalu menanggalkan baju zirahnya.* Kemudian mereka mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan berita itu+ di kuil-kuil berhala.+ Mereka juga menyampaikan berita itu kepada seluruh rakyat.
10 Kemudian mereka meletakkan baju zirah Saul di kuil Asytoret dan menggantungkan mayatnya pada tembok kota Bet-sean.+
11 Penduduk di Yabes-gilead+ mendengar apa yang telah dilakukan oleh orang Filistin terhadap Saul.
12 Maka pahlawan-pahlawan mereka berjalan sepanjang malam ke kota Bet-sean. Mereka mengambil mayat Saul dan mayat anak-anak lelakinya dari tembok kota itu. Kemudian mereka kembali ke Yabes dan membakar mayat-mayat itu.
13 Setelah itu, mereka mengambil dan menanam tulang-tulang itu+ di bawah sebatang pokok* di Yabes,+ dan mereka berpuasa selama tujuh hari.
Nota Kaki
^ Atau “merebahkan dirinya ke atas pedang itu.”
^ Atau “merebahkan dirinya ke atas pedang itu.”
^ Atau “kawasan dataran rendah.”
^ Atau “mengambil senjatanya.”
^ Harfiah, “pokok tamarisk.”