Lukas 4:1-44

  • Iblis menggoda Yesus (1-13)

  • Yesus mula menginjil di Galilea (14, 15)

  • Yesus tidak diterima di Nasaret (16-30)

  • Di rumah ibadat di Kapernaum (31-37)

  • Ibu mentua Simon dan orang lain disembuhkan (38-41)

  • Orang ramai menemui Yesus di tempat sunyi (42-44)

4  Selepas itu, Yesus yang dipenuhi dengan daya aktif Tuhan bertolak dari Sungai Yordan. Dia dipimpin oleh daya aktif ke padang belantara  dan di sana, Iblis menggodanya. Sepanjang 40 hari di situ, dia tidak makan apa-apa. Jadi selepas tempoh itu berakhir, dia berasa lapar.  Maka Iblis berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu ini menjadi roti.”  Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’”  Kemudian dalam sekelip mata, Iblis membawanya ke atas sebuah gunung dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan di bumi.  Iblis berkata kepadanya, “Semua kuasa dan kemuliaan daripada kerajaan-kerajaan ini akan aku berikan kepadamu, kerana semua ini telah diberikan kepada aku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka.  Semua ini akan menjadi milik kamu jika kamu menyembah aku.”*  Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Yehuwa Tuhanmu yang mesti kamu sembah, dan kepada Dia sahaja kamu mesti memberikan khidmat suci.’”  Kemudian Iblis membawa dia ke Yerusalem lalu menempatkannya di puncak tembok Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, terjunlah ke bawah, 10  kerana ada tertulis, ‘Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungimu,’ 11  dan, ‘Mereka akan menyambut kamu dengan tangan mereka supaya kakimu tidak akan terhantuk pada batu.’” 12  Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Jangan menguji Yehuwa, Tuhanmu.’” 13  Selepas Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan Yesus dan menantikan kesempatan yang lain. 14  Setelah itu, Yesus dipenuhi kuasa daripada daya aktif Tuhan dan dia kembali ke Galilea. Laporan yang baik tentang Yesus tersebar ke kawasan di sekitar daerah itu. 15  Dia juga mula mengajar di rumah-rumah ibadat dan semua orang memuji-mujinya. 16  Kemudian dia pergi ke Nasaret, tempat dia dibesarkan. Seperti yang dilakukannya pada setiap hari Sabat, dia pergi ke rumah ibadat. Apabila dia berdiri untuk membaca Ayat-Ayat Suci, 17  gulungan nabi Yesaya diserahkan kepadanya. Dia membuka gulungan itu dan mencari ayat yang berikut: 18  “Daya aktif Yehuwa ada padaku kerana Dialah yang mengurapi aku untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang miskin; Dia mengutus aku untuk mengumumkan kepada orang yang ditawan bahawa mereka akan dibebaskan dan mengumumkan kepada orang buta bahawa penglihatan mereka akan dipulihkan. Dia juga mengutus aku untuk membebaskan orang yang tertindas, 19  dan mengisytiharkan tahun yang diperkenankan Yehuwa.” 20  Kemudian, dia menggulung gulungan itu, mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu padanya. 21  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Pada hari ini, ayat yang baru kamu dengar tadi sudah menjadi kenyataan.” 22  Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus menawan hati pendengarnya. Mereka semua berasa kagum dan tergerak untuk memuji-mujinya. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?” 23  Maka dia berkata, “Tentu kamu semua akan menujukan kata-kata ini kepadaku: ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri. Kami mendengar tentang hal-hal yang kamu lakukan di Kapernaum. Lakukanlah hal itu di kampung halamanmu juga.’” 24  Dia juga berkata, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah diterima di kampung halamannya sendiri. 25  Contohnya: Pada zaman Elia, hujan tidak turun selama tiga tahun enam bulan, dan kebuluran yang dahsyat berlaku di seluruh negeri itu. Walaupun ada banyak balu di Israel, 26  Elia tidak diutus untuk pergi kepada mana-mana wanita di situ. Sebaliknya dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat, yang terletak di tanah Sidon. 27  Demikian juga, ada banyak pesakit kusta di Israel pada zaman nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” 28  Semua orang di rumah ibadat yang mendengar hal itu menjadi sangat marah. 29  Mereka bangkit lalu segera menghalau Yesus ke luar kota. Mereka membawanya ke tebing gunung tempat kota mereka dibina dan mahu menolaknya ke bawah. 30  Tetapi Yesus berjalan di antara mereka dan meneruskan perjalanannya. 31  Kemudian dia pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea dan mengajar orang di situ pada hari Sabat. 32  Mereka sangat kagum dengan cara dia mengajar kerana dia bercakap dengan penuh kewibawaan. 33  Di rumah ibadat itu ada seorang lelaki yang dirasuk roh jahat. Dia berteriak dengan kuat, 34  “Apa kena-mengena kami denganmu, hai Yesus orang Nasaret? Adakah kamu datang untuk membinasakan kami? Aku tahu siapa kamu. Kamu Hamba Suci Tuhan.” 35  Yesus menegur roh jahat itu dan berkata, “Diamlah dan keluarlah daripada lelaki ini!” Selepas menghempaskan lelaki itu di tengah-tengah mereka, roh itu keluar tanpa mencederakannya. 36  Semua orang di situ hairan dan mula berbincang sesama sendiri. Mereka berkata, “Kata-katanya sungguh berwibawa dan berkuasa! Roh-roh jahat pun keluar atas perintahnya.” 37  Maka berita tentang Yesus tersebar ke seluruh pelosok daerah itu. 38  Selepas meninggalkan rumah ibadat, dia masuk ke dalam rumah Simon. Pada masa itu, ibu mentua Simon menderita kerana demam panas, maka mereka meminta Yesus membantu dia. 39  Yesus berdiri di sisinya lalu menyembuhkan demamnya. Dengan serta-merta, dia berdiri dan mula melayani mereka. 40  Semasa matahari terbenam, semua orang sakit dibawa kepada Yesus. Dengan meletakkan tangannya ke atas setiap orang, dia telah menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. 41  Roh-roh jahat juga keluar daripada banyak orang sambil berseru, “Kamu Anak Tuhan.” Tetapi Yesus menegur roh-roh jahat itu dan tidak mengizinkan mereka untuk mengatakan apa-apa kerana mereka tahu bahawa dia ialah Kristus. 42  Semasa matahari terbit, dia beredar dan pergi ke suatu tempat yang sunyi. Jadi orang ramai mula mencari-cari dia. Selepas mereka menemuinya, mereka cuba menghalangnya daripada meninggalkan mereka. 43  Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.” 44  Jadi dia pergi menyebarkan berita baik dalam rumah-rumah ibadat di Yudea.

Nota Kaki

Atau “menyembah aku satu kali.”