Lompat ke kandungan

Saudara Taurai Mazarura memegang tablet yang menunjukkan buku Matius dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe semasa rakaman program disiarkan

26 JANUARI 2021
ZIMBABWE

Saksi-Saksi Yehuwa Mengeluarkan Buku Matius dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe

Saksi-Saksi Yehuwa Mengeluarkan Buku Matius dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe

Pada 24 Januari 2021, Bible—Berita Baik Menurut Matius telah dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Zimbabwe (ZSL). Dalam satu rakaman program, Saudara Taurai Mazarura, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe, mengeluarkan Bible tersebut.

Terdapat 401 penyiar yang berkhidmat di sidang-sidang ZSL. Mereka sangat teruja menerima pengeluaran buku Matius dan menantikan saat untuk menggunakannya dalam pembelajaran peribadi dan kerja penyebaran.

Kumpulan penterjemah Bahasa Isyarat Zimbabwe semasa sesi rakaman dijalankan

Pandemik yang berterusan menyebabkan kerja terjemahan lebih mencabar bagi kumpulan penterjemah ZSL. Biasanya, penterjemah sering kali mengunjungi orang yang menggunakan ZSL di komuniti untuk memastikan bahasa isyarat yang diterjemahkan adalah senang difahami. Tetapi, disebabkan COVID-19, penterjemah langsung tidak dapat berinteraksi dengan orang pekak di komuniti. Jadi, penterjemah mengatasi cabaran ini dengan selalu berhubung dengan mereka menerusi persidangan video. Dengan demikian, penterjemah dapat menghasilkan terjemahan bahasa isyarat yang mudah difahami oleh semua penduduk Zimbabwe yang pekak.

Saudara John Hunguka, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe berkata, “Pengeluaran buku Matius dalam ZSL merupakan detik permulaan projek Saksi-Saksi Yehuwa untuk menterjemahkan seluruh Bible ke ZSL. Usaha ini akan memakan masa kira-kira 10 tahun untuk selesai.”

Projek ini membuktikan bahawa Yehuwa mengasihi semua orang, termasuk orang pekak. Kita menghargai berkat-Nya sambil kita berusaha menginjil “berita baik yang kekal . . . kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.”—Wahyu 14:6.