10 JUN 2022
UKRAINE
TERKINI #9 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Dengan adanya bantuan daripada 27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC), pejabat cawangan Ukraine terus menjaga saudara saudari yang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan melarikan diri ke tempat lain di Ukraine. Sejak perang bermula, lebih daripada 250 tan bantuan kemanusiaan telah dihantar dari Poland, termasuk makanan, pakaian, dan produk kebersihan. Selain itu, saudara saudari di kawasan yang lebih selamat di Ukraine telah memberikan lebih daripada 80 tan makanan.
Mengenai bantuan yang diterima daripada DRC, seorang saudari dari Kyiv yang bernama Valentyna menulis, “Semasa perang bermula, sangat bahaya untuk terus tinggal di bandar. Jadi, saya melarikan diri ke sebuah pekan kecil di wilayah Cherkasy. Saya sudah tinggal di sini untuk lebih daripada dua bulan. Saudara saudari di sidang sangat prihatin terhadap saya. Mereka beri saya beberapa kotak berisi makanan dan produk kebersihan. Semasa melihat semua bantuan ini, saya sangat tersentuh. Dalam salah sebuah kotak itu, terdapat lukisan yang dibuat oleh Blanca yang berumur empat tahun, dan sekeping poskad yang dilukis dengan cat air . . . saya akan simpannya sebagai kenangan. Saya betul-betul berterima kasih kepada semua saudara saudari dan terutamanya kepada Yehuwa.”
Seorang saudari kurang upaya yang berumur 83 tahun, yang juga bernama Valentyna, dari Sieverodonetsk, menulis, “Semasa perang bermula, saya tinggal seorang diri. Satu-satunya anak lelaki saya sudah meninggal sebelum perang bermula. Keadaannya sangat menakutkan kerana kawasan kami dibom sepanjang hari. Kami tiada air, tiada elektrik, dan tiada gas, dan sambungan Internet pun teruk. Saya sangat berterima kasih kepada saudara-saudara yang sanggup membahayakan nyawa untuk membantu saya.”
Valentyna menambah, “Selepas itu, para saudara membawa saya dan dua orang saudari lain yang kurang upaya ke Dnipro, sebuah bandar yang lebih selamat. Di situ, mereka tolong saya cari tempat tinggal. Sekarang, saya tinggal bersama keluarga rakan seiman. Mereka jaga saya seperti keluarga sendiri. Mereka bahkan membantu saya mendapatkan telefon pintar supaya saya menghadiri perjumpaan dan memberi komen. Saya tidak akan lupakan kebaikan hati saudara saudari.”
Kita sangat gembira dan bersyukur kepada Yehuwa, Bapa kita yang penyayang, kerana Dia terus menjaga saudara saudari kita di Ukraine dan memastikan mereka ‘tidak kekurangan apa-apa yang baik.’—Mazmur 34:10.
Setakat 7 Jun 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
42 penyiar meninggal
82 penyiar tercedera
46,145 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
469 rumah musnah
540 rumah alami kerosakan besar
1,405 rumah alami kerosakan kecil
5 Dewan Perjumpaan musnah
8 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
33 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
50,663 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
22,995 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian