14 OKTOBER 2020
RUSIA
Tiga Generasi Saksi yang Tetap Setia meskipun Dianiaya
Saudara Ivan Puyda menghadapi tuduhan jenayah dengan berani. Dia belajar daripada teladan bapa dan datuknya yang setia
Saudara Ivan Puyda mempunyai kenangan manis tentang bapanya yang pulang pada waktu petang dan membacakan Buku Cerita Bible Saya kepada dia dan tujuh orang adik-beradiknya. Dia juga ingat dengan jelas bagaimana dia dan bapanya, Grigoriy, menginjil di kampung kecil mereka yang bernama Kvitok. Mereka selalu mengunjungi rumah cikgu dan rakan sekelasnya. Sewaktu dia masih remaja, Saudara Puyda menginjil bersama datuk sebelah ibunya, Saudara Pyotr Partsey, di kawasan yang belum ditugaskan kepada mana-mana sidang. Pada waktu itu, dia melihat bagaimana datuknya menunjukkan sifat tidak mementingkan diri dan semangat yang membara untuk kerja penyebaran.
Saudara Puyda selalu nampak bapa dan datuknya membaca Bible dan bahan bacaan Bible. Jadi dia mahu mencontohi teladan mereka.
Tetapi sekarang, Saudara Puyda, yang berusia 41 tahun, mencontohi teladan mereka dalam cara yang tidak dijangka. Dia ditangkap dan dipenjarakan kerana menjadi penyembah Yehuwa. Pada 30 Mei 2018, pegawai daripada Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menahannya. Dia dipenjarakan selama empat bulan. Selepas dia dibebaskan, dia ditahan selama enam bulan lagi di dalam rumah. Datuknya, Saudara Partsey, pernah ditahan dan dipenjarakan oleh Kerajaan Nazi dan Soviet. Bapanya, Saudara Grigoriy Puyda, juga pernah dipenjarakan oleh Kesatuan Soviet.
Saudara Ivan Puyda berkata, “Rasul Paulus menulis di 2 Timotius 3:14, ‘Hendaklah kamu terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan. Kamu tahu siapa yang mengajarkannya kepada kamu.’ Ya, saya mendapat kekuatan dengan mempelajari teladan baik mereka yang mengajarkan kebenaran kepada saya. Tiada kerajaan atau penjara yang dapat menghalang mereka daripada menyembah Yehuwa, dan penganiayaan pasti akan berakhir. Sekarang saya mengikut haluan ini dan meniru teladan mereka. Selagi saya setia kepada Yehuwa, saya tahu Dia akan memberkati saya.” Saudara Puyda sedang menunggu keputusan kesnya.
Dia menyatakan bahawa apabila ayah dan datuknya menceritakan pengalaman mereka di penjara, mereka tidak akan menyebut tentang betapa susahnya keadaan di situ. Sebaliknya, mereka akan bercerita tentang pengalaman mereka menyebarkan berita baik di dalam penjara.
Grigoriy, yang kini berusia 64 tahun, telah dibaptis pada tahun 1975 setelah dipenjarakan selama setahun di kem buruh Soviet kerana enggan menyertai khidmat tentera. Dia telah dibebaskan pada tahun 1977. Pada tahun 1986, dia dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana memiliki bahan bacaan Bible yang diharamkan. Bapanya, yang juga bernama Ivan, pernah dipenjarakan di kem buruh dari tahun 1944 hingga 1950 kerana berpendirian neutral.
Grigoriy berkata, “Saya dapat menghadapi penganiayaan kerana saya telah memupuk iman yang kukuh. Saya tidak pernah meragui bahawa inilah jalan kebenaran dan Yehuwa ialah Tuhan yang benar.”
Sekarang anaknya, Ivan, menghadapi situasi yang sama. Grigoriy berkata, “Saya ingat apa yang berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Soviet, dan hal yang sama sedang berlaku hari ini. Oleh itu, saya berdoa agar Ivan tetap setia sepanjang masa ini, dan menyucikan nama Yehuwa dengan ketabahannya.”
Pada tahun 1943, datuk Ivan, iaitu Saudara Partsey (yang kini sudah meninggal), telah dihantar ke kem Majdanek dan kemudiannya Ravensbrück oleh Kerajaan Nazi kerana dia enggan menandatangani dokumen yang menyangkal imannya. Pada tahun 1945, dia telah dibebaskan oleh Angkatan Tentera Bersekutu. Pada tahun 1952, dia ditahan sekali lagi dan dijatuhkan hukuman mati. Tetapi hukumannya telah diubah, dan dia dibebaskan pada tahun 1956. Selepas itu, pada tahun 1958, Saudara Partsey sekali lagi dipenjarakan kerana imannya dan dia dibebaskan pada tahun 1964.
Ivan berkata, “Teladan baik dan kesetiaan datuk saya telah menguatkan saya. Apabila dia dibangkitkan nanti, saya akan beritahu dia bahawa seperti dia, saya telah menghadapi banyak cabaran dan teladannya telah menggalakkan saya untuk tetap setia dan berani.”
Ivan menyambung, “Tiada sesiapa pun yang dapat merampas iman dan kasih saya kepada Tuhan Yehuwa. Sudah berkali-kali saya memberitahu para penyiasat, ‘Kamu hanya dapat menangkap dan memenjarakan saya, tetapi kamu tidak dapat mengawal minda dan hati saya.’”
Apakah yang membantu saudara-saudara ini semasa mereka menghadapi cabaran?
Ivan menjawab, “Kisah 14:22 kata, ‘Kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk memasuki Kerajaan Tuhan.’ Setiap orang Kristian pasti menghadapi cabaran. Cabaran itu tidak semestinya merujuk kepada hukuman penjara. Kita juga mungkin akan menghadapi cabaran lain, seperti penyakit atau kematian orang yang tersayang. Jika kita mempunyai sikap yang baik dan hubungan yang rapat dengan Yehuwa, kita pasti dapat bertabah. Yehuwa sentiasa bersedia untuk menyokong umat-Nya.”
Ayahnya Grigoriy berkata, “Kukuhkanlah hubungan anda dengan Yehuwa. Jadilah sahabat Tuhan yang sejati. Jika anda mempunyai bukti yang kukuh bahawa anda memiliki kebenaran, barulah anda sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk terus menyembah Yehuwa. Usaha anda pasti diberkati.”
Kita sangat digalakkan setelah membaca kisah tentang bagaimana Yehuwa menyokong saudara saudari kita yang dianiaya kerana iman mereka. Kita akan terus berdoa bagi saudara saudari kita di Rusia agar mereka tetap berani dan mendapat kekuatan daripada janji Yehuwa: “Janganlah takut . . . Engkau akan mendapat berkat yang melimpah.”—Kejadian 15:1.