Lompat ke kandungan

Saudara Aleksandr Serebryakov dalam bilik tahanan mahkamah Moscow

18 DISEMBER 2024
RUSIA

Aleksandr Serebryakov Disabitkan untuk Kali Kedua dan Dihukum Penjara selama Lima Tahun

Aleksandr Serebryakov Disabitkan untuk Kali Kedua dan Dihukum Penjara selama Lima Tahun

Pada 13 Disember 2024, Mahkamah Daerah Savelovskiy di Moscow mensabitkan Saudara Aleksandr Serebryakov. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun. Sebelum ini, dia sudah dibicarakan dan disabitkan pada 8 Ogos 2022 dan diberi hukuman penjara tertangguh selama enam tahun.

Semasa tahun pertama menjalankan hukuman penjara tertangguh, pegawai FSB menyerbu rumah Aleksandr sekali lagi dan menangkapnya. Keesokan harinya, pada 20 September 2023, pihak berkuasa meletakkannya di pusat tahanan sebelum perbicaraan dan dia terus berada di sana sehinggalah dia dijatuhkan hukuman penjara.

Dalam kedua-dua kes jenayah, Aleksandr didakwa mengaturkan perjumpaan agama dan aktiviti Saksi-Saksi Yehuwa. Dalam ucapan terakhir Aleksandr kepada mahkamah semasa perbicaraannya yang kedua, dia kata, “Rasul Paulus menulis bahawa ‘semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.’ (2 Timotius 3:12) Paulus dibicarakan sekurang-kurangnya dua kali kerana imannya. Namun, dia tetap setia. Seperti Paulus, saya bertekad untuk membuktikan kasih saya kepada Tuhan. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia memberi saya kekuatan, kedamaian hati, dan membantu saya tetap bersikap positif. Semua pujian harus diberikan kepada Yehuwa!”

Seraya kita berdoa untuk Aleksandr, kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menjadi kubu perlindungan kepada semua orang yang berlindung kepada-Nya.—Nahum 1:7.