Lompat ke kandungan

12 MEI 2023
REPUBLIK CZECH

Penerbitan Majalah Menara Pengawal Bahasa Czech selama 100 Tahun

Penerbitan Majalah Menara Pengawal Bahasa Czech selama 100 Tahun

Tahun 2023 merupakan ulang tahun ke-100 sejak majalah Menara Pengawal diterbitkan dalam bahasa Czech. Ketika kerja penterjemahan bermula pada tahun 1923, hanya terdapat 30 saudara saudari di seluruh Czechoslovakia. Hari ini, angka penyiar Saksi-Saksi Yehuwa di Republik Czech sudah melebihi 16,000 orang.

Saudari Jarmila Hálová

Sepanjang 100 tahun yang lalu, para penterjemah di negara itu telah menghadapi pelbagai masalah untuk menyediakan bahan bacaan. Tetapi, masa yang paling mencabar bagi mereka adalah dari tahun 1948 hingga 1989, iaitu sewaktu Czechoslovakia di bawah pemerintahan komunis. Sepanjang kira-kira 40 tahun itu, kerja penterjemahan dan percetakan majalah Menara Pengawal terpaksa dibuat secara rahsia. Saudara saudari lain tidak tahu siapa yang terlibat dalam kerja menterjemah, menyemak teks, atau mencetak majalah tersebut. Walaupun menghadapi cabaran yang besar, iman mereka yang melakukan kerja ini telah dikuatkan kerana mereka melihat bantuan Yehuwa. Saudari Jarmila Hálová, seorang penterjemah yang membantu menyediakan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Czech selama bertahun-tahun, berkata, “Saya sangat yakin Yehuwa amat mengasihi umat-Nya. Bahan bacaan kita ialah bukti kasih-Nya. Saya berbesar hati dapat membantu dalam kerja penterjemahan. Bila saya fikir kembali pengalaman pada masa itu, saya ada banyak kenangan manis, dan semua ini membuat hidup saya lebih bermakna.”

Kiri: Pejabat penterjemahan bahasa Czech di Horní Bludovice. Kanan: Pejabat penterjemahan Bahasa Isyarat Czech di Havířov

Kini, terdapat lebih daripada 20 saudara saudari yang membantu menterjemah bahan terbitan ke dalam bahasa Czech dan Bahasa Isyarat Czech. Mereka bekerja di dua pejabat penterjemahan yang terletak di Havířov dan Horní Bludovice.

Kita sangat bersyukur atas makanan rohani yang telah Yehuwa sediakan melalui majalah Menara Pengawal bahasa Czech sepanjang 100 tahun ini!—Amsal 10:22.