Lompat ke kandungan

Foto Muzium Peringatan Ravensbrück di Fürstenberg, Jerman.

10 JANUARI 2019
JERMAN

Sebuah Muzium Mengadakan Pameran tentang Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Jerman

Sebuah Muzium Mengadakan Pameran tentang Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Jerman

Muzium Peringatan Ravensbrück telah mengadakan pameran bergerak yang bertajuk “Dilarang dan Dianiaya—Saksi-Saksi Yehuwa di Kem Konsentrasi Ravensbrück dan Penjara-Penjara GDR.” Pameran ini menunjukkan kesusahan yang dihadapi oleh Saksi-Saksi Yehuwa di bawah pemerintahan rejim Nazi (1933-1945), Republik Demokratik Jerman (GDR atau Jerman Timur; 1949-1990), dan Republik Weimar (1918-1933). (Lihat kotak “ Penganiayaan dan Masalah Perundangan Di Bawah Pemerintahan Tiga Kerajaan di Jerman.”) Pameran ini mula ditunjukkan pada hari Ahad, 22 April 2018, di Muzium Peringatan Kem Konsentrasi Ravensbrück di Fürstenberg, Jerman. Pada tahun 2019, pameran ini akan diadakan di beberapa kota seperti Erfurt, Rostock, dan Potsdam. Di Potsdam, pameran ini akan diadakan di dalam bangunan parlimen di Brandenburg.

Kisah hidup Adolf Graf yang ditindas oleh dua kerajaan di Jerman merupakan sebahagian daripada pameran ini.

Pameran ini memaparkan 12 kisah hidup saudara saudari kita yang pernah menjadi mangsa penindasan dua kerajaan yang berbeza di Jerman. Mereka dianiaya oleh rejim Nazi dan kemudiannya Komunis pada zaman pemerintahan GDR. Para pelawat dapat mendengar rakaman audio dan surat terakhir para Saksi sebelum dihukum mati. Selain itu, para pelawat juga dapat mendengar rakaman pembacaan rencana surat khabar dan dokumen penting yang lain dari zaman Nazi. Ratusan ribu orang yang dipenjarakan pada zaman itu dipenjarakan kerana bangsa mereka, pandangan politik mereka, atau jenayah yang dilakukan oleh mereka. Tetapi pameran ini jelas menunjukkan bahawa saudara saudari kita dipenjarakan kerana iman mereka.

Dalam ceramah semasa upacara perasmian pameran ini, seorang sejarawan yang bernama Dr. Detlef Garbe menjelaskan, “Dari dahulu lagi, Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai iman dan keyakinan yang teguh, perpaduan, dan pendirian yang teguh. Hal itu membuat mereka menjadi sasaran kebencian askar SS. . . . Bahkan di kem-kem konsentrasi, Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai semangat yang kental dan keyakinan yang teguh kerana mereka bersatu padu dan yakin bahawa Tuhan akan menyelamatkan mereka.”

Dewasa ini, Saksi-Saksi Yehuwa masih perlu menghadapi tentangan dan larangan kerajaan, contohnya di Rusia. Namun mereka tetap yakin bahawa Yehuwa akan terus menyokong dan membantu mereka.—Yesaya 54:17.