29 APRIL 2024
FILIPINA
Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Filipina
Pada 21 April 2024, Saudara Dean Jacek, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Filipina, telah mengeluarkan buku Matius dalam Bahasa Isyarat Filipina. Pengeluaran ini diumumkan semasa program istimewa yang diadakan di pejabat cawangan Filipina, Quezon City. Sebanyak 413 orang menghadirinya secara bersemuka dan 3,998 orang dari seluruh negara menghadirinya melalui persidangan video. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta melalui jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.
Adalah dianggarkan bahawa sekurang-kurangnya 500,000 orang menggunakan Bahasa Isyarat Filipina. Sidang Bahasa Isyarat Filipina yang pertama telah ditubuhkan di Quezon City pada 1999. Bahan bacaan Bible pula diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Filipina sejak 2011. Hari ini, lebih daripada 3,000 saudara saudari berkhidmat dalam 72 sidang dan kumpulan bahasa isyarat di seluruh Filipina.
Pengeluaran buku Matius ini ialah buku Bible pertama yang pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Filipina. Seorang saudara yang pekak berkata, “Sebelum ini, kami hanya ada beberapa ayat dalam buku Matius dalam Bahasa Isyarat Filipina. Rasanya seolah-olah kami hanya ada beberapa keping puzzle untuk satu gambar yang besar. Gambarnya tidak berapa lengkap. Tapi sekarang, kami dapat lihat seluruh gambarnya!” Seorang penatua dalam sidang Bahasa Isyarat Filipina berkata, “Buku Matius ada banyak prinsip-prinsip yang berguna. Kami dapat gunakannya semasa membuat penggembalaan atau menggalakkan sidang. Contohnya, Matius 5:23, 24 menasihati kita untuk berdamai dengan rakan seiman semasa timbulnya perselisihan faham. Saya amat bersyukur kepada Yehuwa kerana kami dapat belajar hal-hal penting ini dalam bahasa kami sendiri.”
Kita bersukacita dengan pengeluaran buku Matius dalam Bahasa Isyarat Filipina. Sememangnya, ramai orang yang berhati jujur dapat memperoleh manfaat daripada Firman Tuhan.—Matius 7:24, 25.