9 JUN 2023
COLOMBIA
Perhimpunan dalam Bahasa Guambiano dan Emberá (Chamí) Diadakan buat Kali Pertama
Pada Ahad, 26 Mac 2023, satu perhimpunan berbilang bahasa telah diadakan di Cali, Colombia. Buat kali pertama, perhimpunan litar dalam bahasa Sepanyol telah diterjemahkan secara serentak ke dalam dua bahasa peribumi, iaitu bahasa Guambiano dan Emberá (Chamí). Lebih daripada 1,600 orang telah menghadiri acara ini. Daripada jumlah itu, terdapat 48 orang yang menuturkan bahasa Guambiano dan 78 orang yang menuturkan bahasa Emberá (Chamí).
Di Colombia, bahasa Guambiano merupakan bahasa ibunda bagi lebih daripada 21,000 orang, dan bahasa Emberá (Chamí) pula ialah bahasa ibunda bagi lebih daripada 77,000 orang. Sebelum ini, Dewan Perhimpunan di Colombia tidak mempunyai perlengkapan yang membolehkan terjemahan program dilakukan secara serentak. Maka, saudara saudari daripada kedua-dua suku ini akan menghadiri program dalam bahasa Sepanyol walaupun mereka susah memahaminya.
Apabila mereka mendapat tahu bahawa perhimpunan akan diadakan dalam bahasa mereka, mereka mula menyimpan wang agar dapat membuat perjalanan untuk menghadirinya. Contohnya, perhatikan pengalaman keluarga Carrasco. Terdapat lapan orang dalam keluarga itu dan mereka tinggal di kawasan yang sangat terpencil. Untuk pergi ke Dewan Perhimpunan, mereka perlu berjalan selama 3 jam dan menaiki bas selama 12 jam. Walaupun mereka perlu buat perjalanan jauh dan membelanjakan wang, mereka tetap bersemangat dan ingin menghadirinya. Jadi, mereka berusaha menyimpan lebih banyak wang beberapa bulan sebelum itu dengan membuat dan menjual barangan kraf tangan. Hasilnya, mereka sekeluarga telah menghadiri perhimpunan itu, dan salah seorang anak mereka, Henry, yang berumur 12 tahun telah dibaptis. Dia ialah salah seorang daripada dua calon pembaptisan yang menuturkan bahasa Emberá (Chamí). Selain mereka berdua, terdapat dua lagi calon pembaptisan daripada kumpulan bahasa Guambiano.
Saudari Adrianin Morales, yang membantu menterjemah program perhimpunan ke dalam bahasa Guambiano, berkata, “Memang sangat menakjubkan kita dapat mendengar program perhimpunan dalam bahasa sendiri. Saya sangat gembira sebab semua orang yang hadir dapat menikmati program ini dalam bahasa ibunda mereka.”
Saudara Diomedes Velasco, seorang penterjemah bahasa Guambiano, berkata, “Pada mulanya, saya rasa takut untuk melakukan tugasan ini. Tapi, saya dapat beranikan diri kerana saya melihat keprihatinan Yehuwa dan apa yang Dia ingin lakukan untuk masyarakat orang asli. Tugasan ini datang daripada Yehuwa, dan saya berbesar hati dapat melakukannya.”
Kita bersukacita kerana dapat melihat orang daripada pelbagai bahasa berkata, “Marilah kita naik ke gunung Yehuwa.”—Yesaya 2:3.