8 DISEMBER 2020
BULGARIA
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Membuat Keputusan yang Memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Bulgaria
Pada 10 November 2020, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan bahawa kerajaan Bulgaria telah mencabuli hak kebebasan beragama saudara saudari kita. Keputusan ini bererti bahawa pihak berkuasa sepatutnya membenarkan kerja pembinaan Dewan Perjumpaan diteruskan di bandar Varna, Bulgaria. Projek pembinaan itu tergendala selama lebih daripada 10 tahun kerana tentangan daripada pihak kerajaan. Tambahan lagi, ECHR mengarahkan kerajaan Bulgaria untuk membayar pampasan sebanyak 9,600 euro (RM 47,500) kepada para saudara.
Kes ini tentang pembinaan Dewan Perjumpaan di sebidang tanah yang telah dibeli oleh para saudara pada Januari 2006. Majlis perbandaran Varna meluluskan projek itu pada Mei 2007, dan kerja pembinaan dimulakan dengan serta-merta. Tetapi pada bulan Julai tahun itu, datuk bandar menghentikan kerja pembinaan dengan alasan bahawa saudara kita melanggar peraturan. Pada bulan yang sama, sebuah parti politik nasionalis Bulgaria yang terkemuka telah meletakkan poster pada tapak pembinaan dan mengadakan bantahan berskala besar.
Menurut ECHR, majlis perbandaran Varna kemudiannya membuat kenyataan umum yang merosakkan nama baik Saksi-Saksi Yehuwa dan “menyokong bantahan itu secara terang-terangan.” Datuk bandar juga berkata kepada pihak media bahawa dia menyokong bantahan itu.
Tindakan datuk bandar dan para pegawai lain jelas menunjukkan bahawa mereka berprasangka terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi mereka mendakwa bahawa projek itu dihentikan kerana masalah pengagihan zon, dan bukan kerana prasangka agama.
Para saudara berkali-kali membuat rayuan di beberapa mahkamah, termasuk Mahkamah Pentadbiran Agung, tetapi rayuan mereka tidak dihiraukan. Sepanjang masa itu, sidang tempatan terpaksa menyewa dewan lain untuk mengadakan perjumpaan mereka.
Dengan persetujuan enam daripada tujuh orang hakim, ECHR telah membuat keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa. ECHR menyatakan bahawa para pegawai itu tidak patut menghalang projek pembinaan Dewan Perjumpaan. Tindakan para pegawai itu mencabuli “hak kebebasan berfikir, hati nurani, dan agama” yang dijamin di bawah Perkara 9 dan 11 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah.
Kita berharap agar pegawai kerajaan Bulgaria akan mematuhi keputusan ECHR dengan sepenuhnya dan membenarkan projek pembinaan diselesaikan. Kami juga berharap bahawa bangunan ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada penduduk Varna, tetapi juga memuliakan nama Yehuwa. Kita bersyukur kerana Yehuwa terus menyokong saudara saudari kita di Bulgaria.—Mazmur 54:4.