Lompat ke kandungan

Adakah Tuhan Berada di Mana-Mana Sahaja pada Setiap Waktu?

Adakah Tuhan Berada di Mana-Mana Sahaja pada Setiap Waktu?

Jawapan Bible

 Tuhan dapat melihat segala sesuatu. Dia juga dapat melakukan apa yang diinginkan-Nya di mana-mana sahaja. (Amsal 15:3; Ibrani 4:13) Namun, Bible tidak mengajarkan bahawa Tuhan berada di mana-mana sahaja pada setiap waktu. Sebaliknya, Bible mengajarkan bahawa Tuhan merupakan makhluk roh yang mempunyai tempat kediaman.

  •   Tubuh Tuhan: Tuhan ialah roh. (Yohanes 4:​24) Manusia tidak dapat melihat-Nya. (Yohanes 1:​18) Catatan Bible mengenai penglihatan tentang Tuhan selalunya menunjukkan bahawa Dia berada di suatu tempat yang spesifik, bukannya di setiap tempat.​—Yesaya 6:​1, 2; Wahyu 4:​2, 3, 8.

  •   Kediaman Tuhan: Tuhan tinggal di alam roh yang berbeza daripada alam fizikal. Tuhan mempunyai ‘kediaman di syurga.’ (1 Raja-Raja 8:​30) Bible pernah menyebut bahawa makhluk-makhluk syurga pergi ‘menghadap Yehuwa.’ a Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan berada di sebuah tempat yang spesifik.​—Ayub 1:6.

Dapatkah Tuhan membantu saya jika Dia tidak berada di mana-mana sahaja pada setiap waktu?

 Ya. Tuhan amat prihatin terhadap setiap orang. Meskipun Tuhan tinggal di alam roh, Dia memerhatikan orang yang ingin menyenangkan hati-Nya, dan Dia akan membantu mereka. (1 Raja-Raja 8:​39; 2 Tawarikh 16:9) Perhatikan bagaimana Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengambil berat terhadap penyembah-Nya yang tulus hati:

  •   Apabila anda berdoa: Sebaik sahaja anda berdoa, Yehuwa akan mendengar doa anda.​—2 Tawarikh 18:31.

  •   Apabila anda tawar hati: ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’​—Mazmur 34:19.

  •   Apabila anda memerlukan bimbingan: Menerusi Bible, Yehuwa “akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti.”​—Mazmur 32:8.

Tanggapan yang salah mengenai kehadiran Tuhan

 Tanggapan yang salah: Tuhan berada di mana-mana sahaja.

 Kebenaran: Tuhan tidak tinggal di bumi atau di alam fizikal. (1 Raja-Raja 8:​27) Bible memang menunjukkan bahawa bintang dan ciptaan yang lain ‘menyatakan kemuliaan Tuhan.’ (Mazmur 19:2) Namun, sebagaimana seorang pelukis tidak tinggal dalam hasil lukisannya, Tuhan juga tidak tinggal di dalam alam fizikal yang diciptakan-Nya. Meskipun demikian, kita dapat lebih mengenali pelukis tersebut menerusi hasil karyanya. Begitu juga, kita dapat mengenali Pencipta kita dan “sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan,” seperti kuasa, hikmat, dan kasih, menerusi ciptaan-Nya.​—Roma 1:​20.

 Tanggapan yang salah: Tuhan harus berada di mana-mana sahaja pada setiap waktu agar Dia dapat menunjukkan kuasa-Nya dan mengetahui segala perkara yang berlaku.

 Kebenaran: Melalui daya aktif Tuhan atau kuasa-Nya, Tuhan dapat mengetahui segala sesuatu dan melakukan apa sahaja pada bila-bila masa, biarpun Dia tidak berada di sebuah tempat yang tertentu.​—Mazmur 139:7.

 Tanggapan yang salah: Tuhan berada di mana-mana sahaja pada setiap waktu kerana Mazmur 139:8 menyatakan, “Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga.”

 Kebenaran: Ayat ini bukan sedang menyatakan lokasi Tuhan. Sebaliknya, ayat yang ditulis dalam bentuk puisi ini mengajar kita bahawa Tuhan dapat membantu kita tidak kira di mana kita berada.

a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.